Projek tanaman dengan kos sebanyak RM102.6 juta menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) itu juga selaras dengan usaha memenuhi permintaan tinggi eksport nanas ke luar negara. Daripada keluasan hektar itu, sebanyak 3,500 hektar tanah akan dibangunkan di Sarawak, sekali gus menjadikan Sarawak sebagai negeri pengeluar nanas terbesar negara ini, manakala 5,000 hektar lagi di beberapa negeri di Semenanjung.

Atas usaha yang sama, LPNM juga menyediakan dana berjumlah RM104.25 juta untuk pembangunan industri nanas melibakan tujuh projek utama sepanjang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang bermula pada 2016 sehingga 2020.

Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, sehingga kini, untuk tujuan tersebut sejumlah RM46 juta telah diluluskan.

“LPNM mempunyai tanggungjawab yang besar untuk pembangunan industri nanas negara. Tumpuan bukan sahaja untuk membangunkan industri nanas, tetapi juga melahirkan usahawan dengan matlamat utama adalah peningkatan pendapatan petani.

“LPNM menyasarkan peningkatan pendapatan usahawan nanas pada kadar RM5,000 sebulan berbanding RM2,000 sebulan pada ketika ini, ‘’ ujarnya kepada Mega Sains baru-baru ini.

Beliau berkata, beberapa program utama telah dirancang dan dilaksana untuk tujuan pembangunan usahawan nanas antaranya termasuklah program yang selari dengan matlamat melahirkan usahawan.

Beliau berkata, pengusaha bawah program-program tersebut dibantu secara langsung menerusi bantuan seperti bahan tanaman, input pertanian serta khidmat nasihat dan teknikal.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, misi utama pembangunan industri nanas adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri nanas pada peringkat global menjelang tahun 2025.

Beliau berkata, pada era 1970-an dan 1980-an, Malaysia merupakan pemain industri utama pada peringkat dunia dalam sektor nanas kaleng sebaris dengan negara-negara utama nanas dunia seperti Costa Rica dan Thailand.

“Namun kini, apabila segmentasi pasaran nanas beralih ke pasaran nanas segar, Malaysia agak sedikit jatuh ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain terutama dengan negara-negara jiran Asia Tenggara,’’ ujar beliau lagi.

Menurutnya, Malaysia kini berada pada kedudukan yang ke-22 daripada senarai pengeluar utama nanas dunia. Misi LPNM pula adalah untuk memperbaiki kedudukan tersebut sekurang-kurang untuk terus berada dalam kedudukan 10 terbaik pada peringkat dunia.

Justeru itu, katanya, penggemblengan secara menyeluruh sumber-sumber sedia ada menerusi perancangan strategik LPNM diharap dapat memastikan misinya untuk menjadi peneraju dalam industri nanas negara dapat tercapai.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, industri nanas ketika ini berdepan dengan masalah utama iaitu persaingan guna tanah dan saiz guna tanah yang kecil. Persaingan guna tanah merujuk kepada sektor tanaman buah-buahan dan khususnya nanas mengalami persaingan dari segi guna tanah dengan tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah.

Pada tahun 2017, lebih kurang 6.8 juta hektar (ha) kawasan pertanian adalah diusahakan dengan tanaman komoditi berbanding kawasan tanaman buah-buahan hanya sekitar 208,590 ha.

Faktor ini menyebabkan kesukaran kepada perkembangan industri nanas negara khususnya apabila kawasan tanaman terhad.

Bagi saiz guna tanah yang kecil ia merujuk tanaman yang kecil tidak bersaiz ekonomik.

Tanaman nanas sepatutnya berskala ekonomik bagi mendapatkan pulangan yang optimum iaitu pengusaha perlu mengusahakan tanaman sekurang-kurangnya dua ha.

Namun begitu, kebanyakan pengusaha nanas mempunyai kawasan pemilikan tanah yang kurang daripada sehektar. Saiz guna tanah yang kecil ini kurang memberi kesan kepada pertumbuhan sektor tanaman nanas dan pulangan pendapatan kepada pengusaha.

MD2 varieti terbaik

TRANSFORMASI pengusaha nanas di Malaysia kepada tanaman nanas bernilai tinggi seperti varieti MD2 adalah merupakan hasrat utama LPNM dalam memastikan pengusaha-pengusaha nanas dapat menerokai pasaran baharu, sekali gus dapat mengangkat mereka menjadi usahawan yang berjaya dan mendapat pulangan yang bernilai tinggi.

Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, varieti yang disyorkan pada ketika ini adalah MD2 kerana ia merupakan varieti premium yang mendapat permintaan tinggi peringkat domestik dan luar negara.

Varieti MD2 mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri sehinggakan ia menjadi varieti nanas yang diterima oleh penduduk dunia dan peringkat antarabangsa.

Kajian yang dilakukan dimakmal mendapati lazimnya kandungan gula nanas MD2 diantara 13 - 18 darjah Brixs iaitu pada kadar tahap kemanisan amat tinggi untuk buah tropika seperti nanas.

Nanas varieti lain lazimnya mempunyai tahap kandungan gula antara lapan hingga 12 darjah Brix sahaja.

Pasaran eksport nanas hibrid seperti MD2 berkembang cepat dan Malaysia sepatutnya mengambil peluang tersebut untuk menjadi negara pengeluar bagi memenuhi permintaan pasaran global.

Nanas MD2 mempunyai permintaan tinggi di pasaran luar seperti China, Korea Selatan dan Jepun.