Penggunaan alat tradisional seperti pemotong plasma perlu mengambil kira beberapa aspek seperti persiapan yang rumit dan kawalan alat yang baik untuk melancarkan kerja-kerja pemotongan.

Disebabkan itu, dua usahawan muda bawah bimbingan Zull Design Autotronic (ZDA) mengambil inisiatif mencipta dua robot pemotong bagi memudahkan kerja-kerja pemotongan plat besi untuk kegunaan industri.

Robot tersebut ialah CNC Plasma Cluster dan Mesin Pemotong CNC yang mempunyai fungsi yang sama, cuma berbeza bahan potongan. CNC Plasma Cluster direka untuk pemotongan besi, manakala Mesin Pemotong CNC untuk aluminium.

CNC atau Computer Numerical Control adalah sistem automasi mesin perkakas yang dioperasikan menerusi pemprograman secara abstrak dan disimpan dalam media penyimpanan. Hal ini berbeza dengan kebiasaan iaitu mesin biasanya dikawal dengan putaran tangan atau automasi sederhana.

Numerical Control bermaksud kawalan numerik. Secara amnya ia adalah gambar yang dilukis dalam perisian dan ditukar kepada bentuk kod untuk mengarahkan pergerakan mesin secara automasi.

Pengatur cara Elektrikal Elektronik ZDA, Muhammad Asfyraff Zulkifli, 28, berkata, automasi robot pemotong itu dapat melakukan kerja-kerja pemotongan plat besi dengan lebih pantas, seragam dan dapat mengurangkan penggunaan tenaga pekerja.

Dengan hanya menggunakan lukisan dua dimensi (2D) yang ditetapkan dalam sistem yang dibangunkan, plat besi tersebut dapat dipotong dengan mudah dan hanya perlu dikawal daripada dalam bilik kawalan.

“Robot pemotong ini sangat jauh berbeza berbanding pemotong konvensional kerana ia boleh dikawal dari jauh dan tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Ia juga dapat mengurangkan pembaziran masa, tenaga dan plat besi kerana pemotongan yang dilakukan telah ditetapkan seperti yang diingini dan tidak akan rosak,” katanya ketika ditemui di kilang pembuatan ZDA di Sungai Choh Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Bagi CNC Plasma Cluster, ia dapat memotong plat besi sehingga setebal 12 milimiter (mm), manakala Mesin Pemotong CNC dapat memotong plat sehingga setebal satu inci.

Sementara itu, pereka bentuk produk, Muhammad Asif Zulkifli, 25, menjelaskan, proses mereka cipta robot tersebut dimulakan pada awal tahun ini dan siap dalam masa sebulan lebih.

Katanya, robot tersebut sangat terjamin dari segi keselamatan kerana pengguna akan mengawal dari dalam bilik kawalan dan jauh dari kerja-kerja pemotongan.

“Dari segi keselamatan, operator hanya perlu duduk dalam bilik, mengawal pemotongan menggunakan komputer dan tidak rapat dengan mesin pemotong.

“Paling penting, harga sudah semestinya lebih murah berbanding pemotong yang diimport yang mencecah RM70,000 bagi satu unit,” ujarnya.