Selain manusia, haiwan dan tumbuhan juga memiliki DNA yang akan menentukan asal usul baka atau varietinya tersendiri dan kini teknologi DNA semakin banyak digunakan dalam bidang pertanian.

Sejak tahun 1988, pencapjarian DNA menjadi mekanisme yang sangat penting dalam pengenalpastian genotip bagi pelbagai jenis spesies organisma.

Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan berbeza secara meluas dari segi sifat pembiakan biologinya seperti sistem pembiakan melalui propagasi, sistem kacukan dan penyebaran debunga dan biji benih.

Semua faktor pembiakan ini mempengaruhi kepelbagaian genetik dalam setiap individu atau spesies yang dikaji mahupun intraspesifik atau interspesifik.

Disebabkan profil genetik yang ketara untuk setiap spesis, penggunaan penanda DNA dalam penentuan spesies sesuatu organisma menjadi mudah dan tepat.

Penanda DNA berperanan dalam mengkaji kepelbagaian genetik yang wujud kerana pengenalpastian berasaskan ciri morfologi adalah tidak konsisten dan tidak tepat kerana ciri morfologi boleh dipengaruhi faktor persekitaran, manakala ciri DNA adalah sebaliknya.

Menurut bekas Pengarah Pusat Perkhidmatan Teknikal dan Makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohamad Kamal Abdul Kadir, teknologi pencapjarian DNA sering diguna pakai oleh penyelidik dalam penentuan kultivar (varieti) tertentu yang mempunyai ciri berkepentingan ekonomi.

Beliau yang baharu sahaja dilantik sebagai Pengarah MARDI Johor berkata, menerusi teknologi itu, pokok yang tulen dapat dikenal pasti dan hanya pokok yang benar-benar tulen sahaja akan ditanam secara meluas, manakala pokok yang tidak tulen akan dibuang bagi mengelakkan ketidakseragaman berlaku yang boleh menyebabkan hasil pengeluaran menjadi rendah.

“Sebagai contoh, terdapat permasalahan dalam lambakan benih kelapa Matag tidak tulen yang terhasil daripada generasi F2.

“Hal ini telah menyebabkan berlakunya rasa tidak puas hati dalam kalangan petani akibat daripada perbezaan dari segi pengeluaran hasil buah kelapa.

“Justeru, menerusi teknologi yang ditawarkan di Pusat Penemuan dan Pengesahan Penanda Molekul (CMDV), benih kelapa Matag yang dihasilkan daripada kacukan Malaysian Yellow Dwarf dan Tagnanan dapat dikenal pasti serta ditentukan ketulenannya.

“Secara tidak langsung, ini dapat menyelesaikan masalah penipuan dalam penjualan benih kelapa Matag dan seterusnya meningkatkan hasil kelapa,” jelasnya.

CMDV sebagai pusat sehenti

CMDV ditubuhkan hasil kerjasama antara MARDI dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp.).

Melalui perjanjian custodian agreement (CA), Bioeconomy telah memilih satu pakej teknologi moden yang lengkap meliputi teknologi Marker Assisted Selection (MAS) dari DNA Landmark, Kanada dan melantik MARDI untuk menerajui teknologi itu.

Penubuhan CMDV melibatkan pembangunan makmal yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan robotik dan bertruput tinggi, selain meliputi pembangunan modal insan apabila seramai tujuh orang pegawai MARDI telah dihantar ke DNA Landmark, Kanada.

Kesemua pegawai berkenaan dikehendaki menjalani latihan kemahiran yang merangkumi pelbagai bidang seperti molekul tumbuhan dan haiwan, bioinformatik, teknologi maklumat (IT) serta pengurusan makmal.

Makmal CMDV mula beroperasi pada bulan Ogos 2011 dan pada tahun yang sama juga CMDV menjadi salah satu subkluster Projek Permulaan (EPP) 14: Pembangunan industri benih bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pertanian dan mula mendapat dana bagi membiayai pembangunan infrastruktur, aktiviti penyelidikan dan pembangunan dan operasi makmal.

Banyak kelebihan cmdv

Menurut Dr. Mohamad Kamal Abdul Kadir, CMDV juga mampu melakukan pencapjarian DNA bagi pengesahan ketulenan benih buah-buahan durian D24, Musang king dan Black Thorn, mangga (harumanis dan chokanan), pisang (tanduk, abu, nipah, rastali dan nangka), dan nanas varieti MD2.

Bukan itu sahaja, CMDV juga mampu melakukan pencapjarian DNA terhadap baka kambing di negara ini terutama bagi kambing katjang dan boer.

“Pengesahsahihan benih melalui pencapjarian DNA sering menjadi teknik yang diguna pakai dalam bidang pertanian di luar negara seperti Jepun, China, Amerika Syarikat, Kanada dan Belanda ke atas tanaman padi, gandum, jagung, barli, cili dan kanola.

“Teknologi ini sering menjadi panduan kepada petani dalam pemilihan induk bagi merangka sebuah program pembiakbakaan yang berkesan,” ujarnya.

Selain itu, teknologi tersebut turut digunakan dalam perlindungan varieti serta harta intelek (IP) bagi mengelakkan berlakunya salah guna varieti yang dibangunkan.

Walaupun begitu, situasi berkenaan jarang berlaku di Malaysia kerana tiada makmal khas yang mampu menyediakan perkhidmatan pengesahsahihan benih berskala besar dan ini telah membantut kadar pertumbuhan pertanian di negara ini berbanding negara yang telah mengamalkan pertanian moden.

“Bukan itu sahaja, perbezaan dari segi kepelbagaian biodiversiti di Malaysia dan luar negara juga menyebabkan banyak spesies-spesies yang hanya terdapat di Malaysia kurang dikaji penyelidik.

“Ini bukan sahaja menyumbang kepada pembantutan kadar pertumbuhan pertanian, malah menyebabkan kita gagal mengaplikasi kekayaan biodiversiti yang terdapat di Malaysia dalam pembangunan varieti makanan 
yang baharu,” 
katanya.