Malah ada yang menempah lebih awal melalui Internet kerana permintaan yang tinggi, bekalannya yang terhad dan musimnya pendek.

Di Perlis dan kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu mangga yang aromanya harum, manis dan isinya yang tebal kekuningan dimakan dengan pulut sebagai salah satu sajian tradisi.

Namun begitu ia juga enak dimakan begitu sahaja, dibuat jus, jem atau dicampur dalam masakan lain.

Harumanis mengeluarkan bau yang sangat harum apabila betul-betul masak. Isinya yang berwarna oren kekuningan dan rasanya enak dan manis lain daripada buah mangga yang lain menambahkan lagi tarikan orang ramai kepada harumanis.

Tarikan orang ramai kepada harumanis telah membuatkan harganya mencecah RM60 satu kilogram. Laporan lepas menunjukkan harga harumanis pada tahun 2014 ialah antara RM24 hingga RM27, manakala pada tahun 2015 hingga 2017 masing-masing antara RM25 hingga RM28, antara RM30 hingga RM40 dan antara RM20 hingga RM50.

Aliran semasa (trend)peningkatan harga ini mungkin menjejaskan peluang untuk semua rakyat Malaysia memakan harumanis yang musimnya hanya setahun sekali.

Setakat ini negeri Perlis sahaja yang didapati mengeluarkan harumanis secara besar-besaran. Negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia belum lagi berjaya mengeluarkan harumanis ini seperti Perlis dari segi kualiti dan jumlahnya. Penanaman harumanis di Perlis masih lagi terhad.

Pihak berkenaan perlu memikirkan sesuatu bagi meningkatkan pengeluaran, meningkatkan kualiti dan kawalan harga harumanis.

Harga harumanis menjadi mahal kerana permintaan yang tinggi manakala bekalannya tidak mencukupi serta kos penjagaan rapi yang mahal dan kawalan kualiti buahnya.

Dalam Rancangan Malaysia Pertama (1971-1975), Jabatan Pertanian telah memperkenal klon harumanis MA128.

Kemudiannya pada tahun 1979-1982, Jabatan Pertanian Perlis telah menjalankan program baik pulih dusun.

Pada tahun 1985-1993, program harumanis telah diaktifkan secara besar-besaran, manakala pada tahun 2007 pengeluaran harumanis secara industri telah dilaksanakan.

Usaha Jabatan Pertanian selama 46 tahun dengan gabungan sokongan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pengusaha harumanis, industri dan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) mempopularkan lagi harumanis dan meningkatkan pengeluarannya dari segi jumlah dan kualitinya.

Setakat ini, MARDI melaporkan seluas 1037.91 hektar (lebih kurang 1.3 peratus keluasan negeri Perlis) ditanam dengan harumanis dan seluas 655.1 hektar telah mengeluarkan hasil.

Kebanyakan harumanis di Perlis ditanam di kawasan Bukit Bintang dan Sungai Batu Pahat. Kawasan tersebut merupakan pengeluaran harumanis di negara ini.

Dalam seribu ekar tanah sebanyak antara 300 hingga 500 tan harumanis boleh dikeluarkan. Terdapat juga pengusaha harumanis secara kecil-kecilan menyokong pengeluaran mangga in di Perlis.

Pengeluaran harumanis di Perlis terus meningkat bukan sahaja untuk permintaan tempatan tetapi juga untuk di eksport. Cabaran dalam pengeluaran harumanis berkualiti untuk dieksport ialah penjagaan kualiti buahnya.

Penjagaan ini mestilah memenuhi piawai yang ditetapkan untuk pasaran.

Antara sebab kos harumanis meningkat ialah kerana penjagaannya yang rapi untuk menjamin kualitinya.

Program penjagaan pokok sepanjang masa seperti kualiti tanah, pembajaan, penggunaan racun, pengairan secara optimum, keperluan cahaya yang sesuai di samping kerja pemangkasan, melindungi daripada serangan serangga semasa pembesaran buah, pembungkusan, rawatan lain yang sistematik dan pemasaran telah diberikan perhatian serius.

Malah pelanggaran buah dengan ranting juga boleh mempengaruhui kualiti buah.

Hasil nasihat dan pemantauan kerajaan, 75 peratus daripada pengeluaran harumanis mencapai piawai yang dikehendaki.

Faktor kejayaan penanaman

DENGAN adanya Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP)buah yang dihasilkan selamat dimakan termasuklah buah harumanis. Antara penjagaan kualiti buah ialah buah dibalut sejak putik lagi dan hanya dikutip selepas lapan minggu dan diiberikan rawatan air panas bersuhu antara 48 hingga 53 Celsius bercampur racun kulat yang dibenarkan sebelum dikeringkan dan diperam.

Faktor cuaca sangat mempengaruhi pengeluaran harumanis. Cuaca panas kering yang melampau dan hujan boleh memberikan kesan kepada bunga dan putik buah.

Keadaan yang lembab juga boleh menyebabkan serangan kulat ke atas bunga-bunga harumanis. Jika keadaan cuaca ini terus berlaku, pendapatan pengusaha dan petani boleh terjejas sehingga antara 30 hingga 50 peratus. Suhu panas yang mencecah 38 Celsius selama dua hingga tiga bulan cukup untuk merangsang pengeluaran bunga, manakala taburan hujan minimum 2,700 milimeter (mm) setahun memadai bagi membantu tumbesaran harumanis.

Tanah yang gembur, mempunyai kandungan mineral yang tinggi dan pH di antara 5.5-6.5 serta saliran yang baik menambah kesesuaian harumanis di Perlis.

Bagi tujuan ekspot terutama ke negara seperti Jepun, kualiti harumanis mestilah mendapat tempat dalam pasaran mereka mengikut selera masyarakat Jepun.

Faktor seperti bentuk rupa, saiz dan warna buah sangat penting, di samping rasa dan kesegarannya. Warna kuning kehijauan harumanis memang menarik minat ramai orang.

Rasa buah dan paras gula juga penting dalam kualiti buah. Warna harumanis unik berbanding dengan mangga dari Taiwan dan Mexico yang lebih kemerahan, manakala mangga Thailand dan Filipina lebih kuning. Warna harumanis setanding dengan mangga dari Amerika dan Australia.

Maklumat lengkap tentang kandungan nutrien dalam harumanis juga perlu disediakan bagi menarik pengguna. Bagi mendapatkan kualiti buah dan maklumat nutrien kajian dan penjagaan pokok sangat penting.

Terdapat banyak kajian telah dijalankan bagi meningkatkan pengeluaran dan kualiti harumanis. Misalnya Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melalui teknologi yang telah bangunkan, harumanis mampu mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Projek yang bermula sejak 2009 ini mungkin dapat menyelesaikan isu permintaan yang tinggi dan bekalan harumanis sepanjang tahun.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Pertanian, MARDI dan FAMA serta institusi pengajian tinggi perlu melihat secara lebih dekat isu harumanis ini. Ini termasuk bekerjasama dengan pengeluar mangga lain dan mencari peluang pasaran baharu seperti China, United Kingdom, New Zealand, Negara-negara Arab, Singapura dan Hong Kong. Negara jiran Thailand dan Filipina yang aktif dalam pengeluaran mangga juga perlu didekati bagi mempelajari teknologi dan strategi baharu.

Aktiviti seperti yang dilakukan oleh Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM), MARDI dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melibatkan pengusaha dan peladang harumanis di Perlis adalah suatu usaha yang baik serta perlu dilakukan secara berkala.

Aktiviti melibatkan pakar-pakar berkaitan boleh membantu memantapkan pengeluaran harumanis ikon negeri Perlis.

Penglibatan pengusaha kecil dan peminat harumanis perlu ditambah di negeri Perlis dan dipantau bagi memastikan hasil yang memenuhi piawai yang ditetapkan.

Program pendidikan kepada penanam harumanis secara kecil-kecilan dan penyelidikan berkaitan pengeluaran dan kualiti harumanis mestilah berterusan.

Segala pengetahuan sains asas berkaitan penanaman, pertumbuhan dan pengeluaran buah perlu diterapkan kepada seluruh masyarakat Perlis.

Semua bahagian pokok harumanis terdedah kepada ancaman serangga dari pucuk, daun muda, bunga, buah, batang dan akar.

Pengetahuan asas sains serangga yang dipelajari di sekolah boleh diperkasa semula dalam mengawal serangga yang menyerang harumanis. Jenis-jenis kumbang, rama-rama dan cacing perlu dipelajari dan dikaji. Perubahan cuaca yang berlaku juga mungkin boleh mempengaruhi kitaran hidup serangga.