Masalah tersebut dilihat akan membantutkan perkembangan industri tanaman yang bernilai komersial khususnya bunga hiasan.

Mekanisme terbaik bagi mencari jalan penyelesaian masalah tersebut adalah menerusi penyelidikan berterusan. Ini kerana dengan adanya usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pelbagai bidang terbukti ia bukan sahaja membantu perkembangan industri, bahkan dalam masa yang sama, dapat membantu pengusaha terutama di luar bandar.

Antara kejayaan yang boleh diketengahkan adalah menerusi penggunaan teknologi nuklear menghasilkan pelbagai varieti tanaman industri dan hiasan.

Kejayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Nuklear Malaysia menghasilkan tanaman mutan menggunakan teknologi sinaran jelas memberi manfaat kepada masyarakat.

Teknologi aruhan mutasi (biak baka mutasi) menggunakan teknologi nuklear (sinaran mengion) diperkenal sejak 1990-an lagi dengan mendedahkan biji benih tanaman kepada sinaran tersebut pada dos dan tempoh tertentu dan akhirnya menghasilkan varieti yang lebih baik.

Menurut Pengurus Kumpulan Pembaikbakaan Tanaman Bahagian Agroteknologi dan Biosains agensi berkenaan, Dr. Zaiton Ahmad, tujuan penyelidikan tersebut adalah untuk membantu industri tanaman hiasan supaya mempunyai anak benih berkualiti.

“Kami banyak menerima aduan dari nurseri bahawa mereka kekurangan benih dan terlalu bergantung kepada varieti import,” ujarnya ketika ditemui pada majlis penyerahan projek Inovasi Sosial MOSTI (MSI) Agensi Nuklear Malaysia dan Program Mesra Komuniti di Pekan Nabalu Tuaran, Sabah baru-baru ini.

Justeru kata beliau, selepas mendapat maklumat dari nurseri, pihaknya mendapat idea memanfatakan teknologi tersebut dengan menggunakan tanaman hiasan tempatan kerana sesuai dengan iklim negara ini.

Untuk tujuan itu, beliau berkata, kekuatan sinaran yang digunakan adalah 35 Grey dengan tempoh dedahan secara purata selama 15 saat.

Benih yang telah didedahkan kepada sinaran kemudiannya ditanam atau dan dibiakkan menggunakan kaedah kultur tisu.

“Selepas itu kita besarkan dan tanam sebanyak lima kali untuk menyaring benih yang berkualti yang tidak akan kembali kepada sifat-sifat induk (asal) kerana varieti baharu ini sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang lebih baik,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, antara mereka yang mendapat faedah daripada teknologi tersebut ialah John Sintian yang mula berjinak-jinak dengan industri tanaman hiasan sejak 2010.

Anak jati Kenunukan Tenompok Bundu Tuhan itu yang merupakan pemegang diploma pereka bentuk dalaman di sebuah pusat pengajian di ibu negara.

Beliau pada mulanya memanfaatkan kepakaran yang dimiliki dengan berkhidmat sebagai pereka dalaman di sebuah syarikat swasta di Kota Kinabalu dan Tawau sebelum membuka syarikat sendiri.

Tidak lama kemudiannya, John terlibat dengan pembukaan pusat peranginan Hounon Ridge Farmstay and Camping di Ranau yang merupakan perniagaan keluarga. Keputusan itu diambil setelah terfikir untuk kembali ke Ranau untuk memajukan potensi ekonomi yang ada di kampung halamannya pada 2013.

John berkata, sesuai dengan kedudukan Bundu Tuhan dan yang memiliki keindahan semula jadi, dia berasakan bahawa membabitkan diri dalam projek pelancongan berasaskan alam sekitar amat sesuai.

Kekerapannya mengunjungi pelbagai pameran termasuklah yang dianjurkan oleh Nuklear Malaysia membawanya kepada penglibatan dalam bidang tersebut dengan lebih serius.

Dia mendapat maklumat mengenai kejayaan agensi berkenaan dalam bidang baik baka tanaman. Bermula dari situ, kedua-dua pihak mula bekerjasama menerusi Koperasi KI’Nabalu melibatkan 21 peserta kesemuanya.

Pada 2016, John memulakan kerja-kerja pembinaan di kawasan seluas 1.2 hektar (tiga ekar) di Bundu Tuhan dengan kos keseluruhan termasuk infrastruktur sebanyak RM200,000.

Menerusi projek tersebut dia menanam orkid dan bunga kekwa dan memanfaatkan pusat nurseri milik MOSTI yang ada sebagai tempat pembiakan.

Dia juga menyertai kursus berkaitan penanaman, pembiakan dan pemasaran bunga hiasan selama seminggu yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian dan agensi berkenaan.

“Saya merancang membina kemudahan chalet atau kabin sebanyak 18 unit berkonsepkan taman yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya.

Setakat ini, bunga orkid dan kekwa yang dihasilkan mendapat sambutan dan dijual di pasar tamu dan gerai, manakala spesies lain yang dirancang untuk dikomersialkan adalah tulip, ros dan carnation.

“Saya berharap supaya ahli koperasi bersatu memajukan industri bung kekwa yang mempunyai potensi di pasaran, ujarnya yang kini mempunyai lapan pekerja.

Hasil pelbagai varieti tanaman

BAGI Zaiton Ahmad, teknologi aruhan mutasi memang dimanfaatkan oleh Agensi Nuklear Malaysia bagi menghasilkan pelbagai vareiti (jenis) tanaman sejak dahulu lagi terutama yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Dalam industri tanaman hiasan, pihaknya memilih kekwa kerana ia cepat matang, manakala bunga raya kerana kedudukanya sebagai bunga kebangsaan. Bunga kekwa dan orkid boleh dijual sebagai pokok pasuan atau bunga keratan.

Agensi berkenaan juga pernah menghasilkan rumput varieti kluang comel dan padi, serta stevia menggunakan teknologi tersebut.

Tanaman lain, kata beliau, antaranya nanas dan pisang.

Menurut beliau lagi , varieti tanaman baharu atau mutan itu mempunyai beberapa ciri-ciri yang lebih baik, antaranya daya ketahanan terhadap penyakit dan cuaca ekstrem, manakala hasil buah lebih manis dan besar.

Selain itu, kadar tumbesaran juga lebih cepat dan tanaman yang dihasilkan selamat untuk digunakan.

Projek MSI merupakan pakej pemindahan dan penanaman hasil biak baka mutasi hiasan agensi berkenaan untuk menjana ekonomi komuniti atau kumpulan sasar.

Pakej penanaman yang diberi kepada penduduk Bundu Tuhan itu juga meliputi penggunaan produk-produk biobaja dan penggalak pertumbuhan ologokitosan yang dibangunkan untuk meningkatkan kualiti hasil bunga dan membantu menawal serangga perosak.