Buku yang diterbitkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris berjudul Komunikasi Sains, Tulus, Integriti Demi Kesejahteraan Masyarakat setebal 307 halaman itu menghimpunkan 42 artikel hasil tulisan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau sejak tahun lalu.

Menurut Madius, buku tersebut merungkaikan dengan lebih jelas mengenai kepentingan STI terutama dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara.

“Buku ini sebagai satu usaha dalam memberi pendedahan dan cara komunikasi kepada rakyat berkaitan sains, teknologi dan inovasi terutama dalam membantu negara meningkatkan ekonomi dan untuk ke­sejahteraan rakyat.

“Saya menulis (buku ini) dengan bantuan penyelidik dan pegawai-pegawai. Buku ini me­rupakan rangkuman artikel yang pernah disiarkan dalam akhbar Daily Express Sabah, laman sosial MOSTI dan laman sosial saya sendiri. Kesemua artikel ini disusun mengikut kategori dalam em­pat bab iaitu Ekonomi Kreatif dan Digital (bab pertama), Sains untuk Da­sar dan Diplomasi (bab kedua), Kesejahteraan dan Pemerkasaan Masyarakat (bab ketiga) serta Wawasan dan Bakat Untuk Masa Depan (bab keempat),” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Terdahulu, buku terbitan sulung hasil usaha sama MOSTI dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global 2017 (GEC).

Tambah Madius, buku tersebut juga antara lain memperjelaskan situasi pembaharuan teknologi yang sebenarnya ba­nyak memberi faedah dan kebaikan kepada masyarakat, negara dan dunia daripada aspek ekonomi, teknologi mahupun kesejahteraan kesihatan global.

Katanya, buku itu juga turut menjelaskan kepentingan rakyat mengambil tahu dan memahami setiap teknologi yang berlaku, bagaimana berlaku dan manfaatnya kepada mereka.

“Penulisan ini akan diteruskan pada setiap Ahad sebagai medium komunikasi dan hebahan kepada masyarakat berkaitan peranan kementerian dan perkembangan teknologi semasa.

“Akhirnya kita mahu ma­syarakat menerima kelebihan nilai STI dalam kehidupan dan kerana itu teknologi perlu dirakyatkan. Dalam masa sama pendidikan serta penyelidikan perlu diteruskan supaya dapat menghasilkan teknologi yang baik, selain perlu berionavasi untuk menyelesaikan perma­salahan daripada pelbagai sudut seperti isu kemasyarakatan dan ekonomi,” jelasnya.

Setiap isi dalam buku tersebut diadun lengkap mencakupi pelbagai aspek sebagai garis panduan untuk masa hadapan rakyat Malaysia selaras dengan inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) oleh kerajaan demi persediaan menghadapi masa depan.