Di Negara Gajah Putih itu, CGI bukan sahaja digunakan dalam filem-filem cereka, tetapi ia juga semakin banyak diterapkan menerusi drama-drama tv, dokumentari, iklan dan berita.

Menyedari kemajuan pesat CGI di Thailand, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) belum rasa terlewat untuk berkongsi pengalaman dan teknologi dengan para penggiat seni dan teknik CGI di negara itu.

Menurut Presiden PTVM, Datuk Jurey Latif Rosli, pihaknya tertarik dengan pendekatan itu dan berharap ia juga dapat digunakan oleh ahli-ahlinya demi kemajuan dalam bidang tersebut.

“Teknik CGI kini semakin banyak dalam program-program tv termasuklah dalam segmen berita di saluran-saluran tv di Thailand menjadikannya lebih menarik, berinformatif dan berkesan kepada para penonton.

“Kos pembikinan CGI di sana juga murah yang mana nilai tambah seperti inilah yang perlu diterapkan dalam program-program tv di negara kita agar mutunya dapat ditingkatkan lagi pada masa depan,” katanya.

Jurey ditemui selepas mengadakan lawatan ke stesen penyiaran Thairath TV di Bangkok, Thailand baru-baru ini bersama ahli-ahli PTVM dan juga wakil media Malaysia ke stesen tv terbabit.

Thairath TV memulakan penggunaan teknik-teknik CGI dalam rancangan-rancangan terbitannya termasuk segmen berita dan telah menggunakan teknik itu sejak tahun 2014 dan ia diminati oleh para penonton.

Malah, stesen tv terestrial itu juga disiarkan dalam bentuk definisi tinggi (HD) dan ia salah satu daripada enam saluran tv seumpama itu yang beroperasi di Thailand sejak tiga tahun lalu.

Katanya, banyak elemen tambahan seperti virtual dan info grafik yang turut membantu bagi menghidupkan lagi penggunaan CGI dalam program-program di saluran tv terbabit.

Penambahbaikan

Jelas Jurey, PTVM yang mempunyai 174 ahli dan 74 daripadanya merupakan ahli yang aktif wajar mempelajari teknik-teknik CGI dan pendekatan yang telah digunakan oleh stesen seperti Thairath TV.

“Dunia penyiaran berkembang pesat di seluruh dunia dengan pelbagai teknologi terbaharu termasuk CGI yang menjadi nilai tambah bagi memadatkan lagi isi kandungan sesebuah program tv.

“Selain ahli-ahli PTVM, saya fikir stesen-stesen tv kita juga harus berkongsi pengalaman dengan stesen-stesen tv di Thailand yang lebih maju dan banyak bilangannya berbanding stesen tv di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Grafik di stesen tv itu, Netipikat Tangkapaisarn berkata, penambahbaikan dalam isi kandungan rancangan-rancangan tv tidak dapat dielakkan atas permintaan para penonton.

Ujarnya, dunia Internet dan pelbagai kemudahan canggih termasuk aplikasi-aplikasi percuma yang banyak disediakan menjadi persaingan sengit buat stesen-stesen tv terestrial lain supaya lebih berdaya saing.

“Orang zaman sekarang mahukan maklumat dengan cepat, ringkas, padat dan mempunyai nilai-nilai tambah yang menarik serta membantu menambahkan lagi kefahaman mereka sewaktu menonton.

“Sebab itu, setiap stesen tv perlu sentiasa peka dan menggunakan apa juga teknologi canggih terbaharu yang ada di pasaran demi memenuhi kepuasan penonton,” katanya.

Tambah Netipikat, Thairath TV yang bernaung di bawah salah sebuah organisasi media cetak terbesar di Thailand sejak 60 tahun lalu terus komited dalam meluaskan teknik tersebut.

Beliau yakin, CGI merupakan teknik yang boleh membantu meningkatkan lagi gaya persembahan dalam sesebuah rancangan tv dan ia akan terus berkembang pesat dalam waktu terdekat ini di seluruh dunia.

“Di Thairath TV kami mempunyai 13 jam segmen yang disiarkan secara langsung termasuk dalam segmen-segmen berita dan kebanyakkannya telah pun menggunakan teknik-teknik CGI yang terbaharu.

“Ini merupakan salah satu cara kami menarik para penonton dengan memberi maklumat yang lebih berkualiti selain bahan-bahan berita serta infografik yang turut membantu dalam sesebuah program itu,” jelasnya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Presiden PTVM, Richard Ung, ahli-ahli PTVM dan juga syarikat penerbit tv seperti Fimtab Unik Sdn. Bhd. dan Pentas Wayang Production Sdn. Bhd.