Bagi membantu orang awam dalam memastikan setiap produk selamat untuk digunakan, SIRIM Berhad telah mewujudkan Makmal Pengujian Toksikologi dan Mikrobiologi bawah Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian (IBRC).

IBRC menawarkan perkhidmatan pengujian keselamatan dan bioserasi bagi produk peranti perubatan, ubat-ubatan, makanan, bahan kimia dan pelbagai lagi.

Menurut Pengurus Besar IBRC, SIRIM Berhad, Dr. Ahmad Hazri Ab. Rashid, IBRC mula beroperasi menawarkan perkhidmatan pengujian bioserasi dan biokeselamatan sejak tahun 2000.

“Walau bagaimanapun, pada ketika itu pengujian yang ditawarkan adalah tertakluk kepada sampel pengujian yang diterima.

“Antaranya adalah sampel yang diterima menerusi kerjasama projek dana Sciencefund; Technofund; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); projek kerajaan; serta kerjasama bersama syarikat antarabangsa,” katanya.

Tambah Dr. Ahmad Hazri, ketika awal pembukaan makmal tersebut, mereka menumpukan kepada tiga bidang utama untuk diuji.

Kini makmal tersebut menyediakan 33 ujian untuk memenuhi keperluan pihak industri, agensi kerajaan dan individu.

Ujian yang dilaksanakan tersebut adalah bagi membantu industri tempatan memenuhi keperluan pensijilan serta penilaian bioserasi dan biokeselamatan.

Selain itu, makmal itu juga menyediakan kepakaran teknikal dan saintifik untuk menjalankan penilaian bioserasi dan biokeselamatan ke atas produk-produk daripada sektor kosmetik, farmseutikal, peranti perubatan dan barangan lain.

Penumpuan terhadap produk tersebut adalah berdasarkan peningkatan kesedaran mengenai bahaya dan keselamatan pengguna.

Lambakan ubat-ubatan tradisional dan bahan kosmetik yang tidak dikenal pasti sumbernya di pasaran juga kian menjadi perhatian masyarakat.

“Pengguna mulai mengambil berat produk yang berada di pasaran bagi memastikan ia selamat untuk digunakan.

“Tidak hanya terhad kepada produk kosmetik dan ubat-ubatan, kini ujian meliputi hampir ke semua barangan yang berada di sekeliling kita,” katanya.

Walau bagaimanapun, SIRIM telah memfokuskan kepada tujuh bahagian utama mengikut perkembangan industri masa ini.

Tujuh bahagian tersebut adalah Industri Peranti Perubatan, Industri Bahan Kimia, Industri Kosmetik, Industri Makanan, Produk Semula Jadi, Industri Ubat-ubatan dan Industri Bahan Sisa Buangan.

Pengujian terhadap produk peranti perubatan adalah berdasarkan ISO 10993 yang memberikan perlindungan manusia daripada potensi risiko biologi yang timbul daripada penggunaan peranti perubatan.

Seterusnya, pengujian bahan kimia yang tertumpu kepada kerja-kerja mengklasifikasikan bahan kimia mengikut keracunan utamanya (intrinsic toxicity).

Ujian tersebut adalah bertepatan dengan standard yang dikeluarkan oleh Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) mengenai klasifikasi, pembungkusan dan pelabelan bahan-bahan berbahaya.

Bagi industri kosmetik pula, ujian dilakukan bagi menilai keselamatan ke atas kesihatan manusia untuk produk siap, ramuan, struktur kimia serta tahap pendedahannya.

Penilaian keselamatan bagi bidang kosmetik akan dilakukan oleh pakar yang berkelayakan yang ditakrifkan sebagai penilai keselamatan.