Secara ringkas, reka bentuk merupakan satu proses yang diibaratkan sebagai sebuah jambatan antara kreativiti dan inovasi.

Kreativiti adalah proses mental yang melibatkan penemuan idea baharu atau konsep baharu atau pembaharuan berkaitan idea sedia ada dan bagaimana idea tersebut dihasilkan, dikemukakan, dikeluarkan, diperoleh, dirumus serta diiktiraf.

Menuju negara maju, bidang reka bentuk lebih ditekankan selari dengan kemajuan dan kehidupan masyarakat yang mahukan produk berlainan serta mempunyai pelbagai ciri kemudahan yang dapat membantu memudahkan aktiviti harian.

Oleh itu, inovasi reka bentuk sangat diperlukan pada masa kini kerana ia tidak hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja disebabkan tekniknya boleh diimplementasikan secara menyeluruh dalam pelbagai bidang seperti perabot, robotik, automotif, alam sekitar dan produk integrasi.

Sebagai usaha memperkembang lagi pengetahuan bidang reka bentuk, institusi pengajian tinggi (IPT) awam turut menawarkan pelbagai program berkaitan bidang berkenaan dan salah satu institusi pendidikan itu ialah Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina (FRSB), UPM, Prof. Madya Dr. Osman Mohd. Tahir berkata, reka bentuk adalah proses yang memerlukan pemikiran kreatif dalam bentuk idea pemikiran hasil daripada cara pemerhatian berbeza, cara pemikiran yang segar dan pelaksanaan yang dilakukan.

“Semua orang mempunyai daya kreativiti masing-masing, cuma ia perlu diasah dan dibangunkan supaya lebih terarah dan seterusnya dapat menjelmakan idea yang ada keaslian serta keunggulan tersendiri.

“Hasil terakhir reka bentuk itu pula akan dilihat dari segi fungsi, estetika dan penerimaan pengguna terhadap apa yang dihasilkan. Dalam erti kata lain, ia mempunyai nilai komersial dan boleh diterima masyarakat.

“Secara tidak langsung, idea reka bentuk yang dihasilkan itu dapat menjana pendapatan dan menjadi pemangkin industri bagi produk tempatan,” katanya ketika ditemui Mega Sains di UPM, Serdang baru-baru ini.

Menurut Dr. Osman, reka bentuk terbahagi kepada lima peringkat iaitu penerokaan masalah, penjanaan idea, penilaian dan pemilihan idea (konsep yang berpotensi), pembangunan konsep kepada reka bentuk terperinci dan menghasilkan produk akhir untuk dimanfaatkan

“Dalam menyuburkan bidang kreativiti dan reka bentuk di FRSB, ada tiga bidang utama iaitu Seni Bina, Seni Bina Landskap dan Reka Bentuk Perindustrian yang menawarkan peluang kepada pelajar untuk meneruskan akademik dan pembangunan profesional mereka dalam persekitaran ceria.

“Dalam masa yang sama, pendidik dan pelajar bersama-sama mendapat manfaat daripada pembelajaran berorientasikan aplikasi yang merangkumi Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE),” katanya.

Tambah beliau, seiring dengan visi dan misi FRSB untuk menjadi sebuah fakulti yang bereputasi antarabangsa dalam bidang reka bentuk dan alam bina mampan serta menyumbang kepada penjanaan kekayaan dan pembangunan negara serta manusia sejagat, FRSB berusaha melahirkan sis yang berkualiti, berdaya saing dan berupaya untuk terus maju melalui pengurusan berkualiti.

“Pada tahun pertama, pelajar akan didedahkan dengan asas reka bentuk seperti falsafah dan teori. Seterusnya mereka akan diajar menjadi pemikir sehingga berupaya untuk memberikan buah fikiran dan juga kritikan sendiri.

“Sepanjang pangajian juga, pelajar akan diberikan projek ringkas dan di sini mereka akan didedahkan untuk melihat permasalahan, menilai perkara-perkara berkaitan seterusnya menyelesaikan masalah tersebut.

“Pada tahun akhir, mereka akan didedahkan dengan ilmu yang lebih kompleks dan juga pembelajaran akan menjadi lebih fokus terhadap komunikasi apabila mereka perlu menjual idea agar dapat diterima masyarakat seterusnya menjana ekonomi,” jelasnya.

Jelasnya lagi, produk-produk yang dihasilkan pelajar akan dikenal pasti keaslian idea dan juga nilainya yang tersendiri, seterusnya akan dipatenkan dan mempunyai hak cipta.

Selain itu, pelajar juga akan didedahkan dengan industri yang melibatkan pereka-pereka daripada pelbagai latar belakang dan menjalankan program bersama supaya mereka dapat bersaing dan mengenal pasti tahap kemahiran serta kebolehan diri, seterusnya mendapat pengiktirafan daripada pelbagai peringkat.

“Sebagai universiti penyelidikan, FRSB turut menerapkan nilai dan budaya penyelidikan kepada pensyarah serta pelajar. Secara tidak langsung, ada simbiosis antara pelajar dan pensyarah untuk memperkembang idea mereka.

“Sehubungan itu juga, hasil reka bentuk yang dikeluarkan FRSB adalah setanding dengan hasil-hasil daripada agensi mahupun pihak-pihak luar yang lain,” katanya.

Ddalam usaha untuk menggalakkan budaya reka cipta dan inovasi bagi kegunaan sendiri, rakyat Malaysia berhadapan dengan sikap masyarakat yang lebih menghargai produk luar.

Justeru, bagi mengikis sikap prejudis masyarakat terhadap produk inovasi tempatan, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dan pemain industri antaranya mengangkat martabat produk tempatan supaya setanding dengan produk luar.

Menurut Prof. Madya Dr. Osman Mohd. Tahir, Malaysia sebenarnya mempunyai produk yang berkualiti dan boleh diketengahkan, seterusnya dapat mengikis sikap tidak mengharagai produk sendiri. Ini menjadi cabaran dalam bidang reka bentuk dan inovasi.

“Apa yang penting, kita harus memastikan produk tempatan mempunyai keaslian dan keunggulan yang tersendiri dan dihasilkan dalam bentuk yang menarik perhatian seperti pembungkusan ataupun reka letak produk itu.

“Seterusnya bagaimana pemasaran produk itu dilakukan, dan juga penjenamaan atau identiti produk. Tidak dinafikan kita perlu mengawal kualiti dan reka bentuk produk, tapi dalam masa yang sama aspek pemasaran dan penjenaam juga penting dan harus diberi perhatian agar dapat memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Tambah beliau, bagi isu pengkomersialan produk tempatan pula, ia turut merangkumi kesemua aspek kualiti, reka bentuk, pemasaran, penjenamaan dan sebagainya. Selain perlu mengetengahkan produk ke pasaran luar negara.

“Pemain industri memainkan peranan yang besar dalam bidang reka bentuk kerana setiap penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mereka laksanakan akan melibatkan pelbagai agensi dan juga melibatkan geran.

“Oleh itu, melihat kepada R&D dalam bidang reka bentuk, ia adalah satu perkara penting dalam menghasilkan produk terbaik dan bersama-sama dengan pihak universiti serta para pereka, usaha ini mampu membawa produk tempatan untuk pergi lebih jauh,” ujarnya.