Apapun jenis aktiviti itu ia tetap mengundang bahaya kepada tasik dan kolam sehingga menyebabkan pencemaran dan kemusnahan sebuah ekosistem.

Bukan mudah memulihkan tasik atau kolam yang telah tercemar kerana airnya jenis yang tidak mengalir dan kosnya juga tinggi.

Kekecewaan seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Norhayati Abdullah terhadap kerosakan ekosistem tasik akibat pencemaran mendorong beliau menjalankan penyelidikan menghasilkan sejenis resin yang bertujuan memulihkan pencemaran.

“Resin merupakan satu medium yang direka khusus untuk proses penukaran ion yang tertentu di dalam badan air.

“Fokus ciptaan ini adalah untuk membersihkan air yang tercemar seperti sungai, tasik, kolam ikan dan sebagainya,’’ ujar pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli UMP itu.

Beliau memberi contoh kolam ikan mengandungi kandungan ion-ion yang berlebihan yang terhasil daripada proses perkumuhan ikan itu sendiri.

Kandungan ion yang berlebihan seperti ion nitrat adalah sangat tidak baik untuk tumbesaran ikan dan memberikan kesan yang buruk kepada hidupan akuatik yang lain.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, idea tersebut tercetus hasil pemerhatiannya mengenai masalah yang sering dihadapi oleh pengusaha- pengusaha kolam yang memerlukan sistem yang besar dan mahal untuk membersihkan kolam-kolam ikan mereka.

Kolam juga terdedah kepada apungan sampah, daun-daun kering dan sisa makanan (dedak) secara berlebihan akan mempercepatkan proses pengotoran kolam.

Proses memulihkan kolam biasanya dilakukan secara manual dengan menggunakan tenaga manusia, dan ini melambatkan proses pembersihan.

Dengan adanya sistem bersepadu tersebut, pembersihan kolam secara automatik dapat dilakukan secara berterusan tanpa menggunakan tenaga manusia di samping mampu menjamin kualiti air seperti yang dikehendaki oleh pengusaha kolam.

“Saya dapati teknologi seumpama ini masih baharu di Malaysia terutama penghasilan resin penukaran ion sendiri dengan menggunakan teknologi tempatan.

“Kebanyakan penyelidik atau pengguna resin membelinya di pasaran dan kosnya juga agak tinggi.

“Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk menghasilkan sendiri resin tersebut dengan kos yang sangat rendah.

“Saya juga dapati tidak ada sistem yang mudah dan senang untuk membersihkan air kolam terutama kolam ikan,” katanya.

Susulan idea resin tersebut, maka satu sistem yang dikenali sebagai sistem bersepadu bukan saja mampu membersihkan permukaan kolam daripada sampah sarap dan daun-daun kering, malah ia mampu merawat air kolam.

Sistem tersebut sangat mudah dikendalikan dan masih baharu di negara ini untuk proses rawatan air.

Beliau bersama rakannya, Dr. Ruzinah Isha dan Aimi Asyiqin Abu Kassim memulakan penyelidikan pada 2014 dan siap pada 2017.

Penyelidikan tersebut beliau namakan Super Anion Exchange resin (Resin SAnEx) dicipta menggunakan teknologi tempatan dan

diguna pakai di dalam sistem bersepadu berkenaan.

Sistem bersepadu tersebut bukan sahaja dibina untuk mengurangkan kandungan ion yang membahayakan, malah mampu membersihkan permukaan kolam daripada sampah sarap dan daun-daun kering.

SISTEM bersepadu membersihkan air kolam menggunakan resin.
SISTEM bersepadu membersihkan air kolam menggunakan resin.

Sistem tersebut berfungsi sebagai penapis untuk mengawal kekeruhan air.

Dengan berlandaskan slogan Perangkap, Tapis dan Bersih, sistem tersebut dibina untuk memerangkap sampah yang berada pada permukaan air, menapis air dan menghasilkan air yang bersih.

Hasil gabungan proses skimmer iaitu alat yang digunakan untuk membuang kotoran di permukaan air, maka sampah pada permukaan akan disedut ke dalam sistem dan melalui sistem bersepadu yang mengandungi resin berkenaan dan beberapa mekanisme lain seperti span bio, gegelung bio, batu karang dan sebagainya.

Kotoran dan ion berlebihan yang berada di dalam air mampu ditapis keluar dengan menggunakan sistem bersepadu ini.

Sistem tersebut terbukti keberkesannnya dari segi merawat air walaupun dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula bersama resin yang dicipta menggunakan teknologi tempatan.

SAnEx mampu menyerap kandungan ion yang tinggi setanding atau hampir sama dengan resin komersial.

Malah kos pembuatan sistem jauh lebih murah jika dibandingkan dengan resin-resin komersial yang diimport.

“Sistem ini juga sangat mesra pengguna dan boleh dipasang serta diubah suai mengikut kesesuaian tempat.

“Di samping itu, proses penyelenggaraan sangat mudah dilakukan bergantung kepada tahap kekotoran kolam,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sistem tersebut boleh diluaskan fungsinya dengan menukar sistem pam daripada menggunakan elektrik kepada sistem solar.

Dengan adanya penambahbaikan seperti itu, sistem berkenaan mampu digunakan di kawasan yang mempunyai bekalan elektrik yang terhad dan sudah pasti menjimatkan dan mesra alam.

“Harapan saya adalah untuk memastikan sistem ini boleh diguna pakai bukan saja untuk rawatan kolam ikan, dalam semua proses rawatan air.

“Pada masa akan datang, saya berhasrat untuk menaiktarafkan sistem yang sedia ada dengan yang lebih baik,” ujarnya sambil menambah sistem tersebut boleh dipasang dengan kos RM80 sahaja.