Namun tidak semua daripada kita mempunyai kepakaran atau kemahiran menghasilkan atau memanfaatkan buluh dijadikan bahan berguna.

Justeru jalan penyelesaian tersebut hanya boleh ditemukan dengan adanya bantuan pakar terutama daripada mereka yang mempunyai kemudahan melaksakannya.

Dalam hal ini Agensi Nuklear Malaysia, iaitu agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) tampil membantu penduduk luar bandar menambah pendapatan menerusi program membantu komuniti.

Sasaran mereka sebelum ini adalah penduduk di Tambunan Sabah, yang kaya dengan tanaman buluh.

Penyelidikan tersebut diketuai penyelidik Bahagian Pemprosesan Teknologi Sinaran Nuklear Malaysia, Nor Azwin Shukri menerusi penyelidikan Pembangunan Penghasil Asap Cecair daripada pembakaran buluh di Tambunan.

Seperti diketahui, pokok buluh antara tanaman terbesar di Tambunan dengan sebahagian besar daripada penduduk daerah tersebut berladang dan mencari hasil hutan serta memproses buluh untuk dijadikan produk.

Buluh yang terdapat di kawasan tersebut adalah jenis padu yang sesuai dimanfaatkan untuk dijadikan briket (briquet atau bahan penyala) arang dan dijual di pusat-pusat pengumpulan untuk dijadikan bahan campuran dalam pembajaan dan karbon teraktif.

Menurutnya, menghasilkan arang daripada buluh menerusi pembakaran tertutup atau pirolisis, asap yang terhasil tidak akan terlepas ke persekitaran dan tidak berlaku pencemaran.

Projek berkenaan akan menghasilkan dua produk utama iaitu biochar atau arang buluh dan asap cecair yang dapat dijual terus kepada pengguna sebagai produk pertanian organik.

Projek berkenaan memberi nilai tambah kepada pendapatan sedia ada untuk masyarakat.

“Pada mulanya kami (Nuklear Malaysia) didatangi komuniti Tambunan yang selama tidak begitu memanfaatkan pokok buluh yang terbiar dan hanya ditebang untuk kegunaan tradisional seperti menghasilkan barangan kraf dan ditanam semula.

“Justeru kita berpendapat buluh ini boleh diberi nilai tambah dan menghasilkan sesuatu yang lebih bernilai ekonomi,” ujarnya.

Katanya, antara inovasi yang boleh dihasilkan menerusi teknologi nuklear adalah pembakaran terbuka yang menghasilkan buluh sebagai bahan bakar dan asap cecair likat.

Sebelum ini tempurung kelapa digunakan sebagai bahan asas serta bahan buangan lain menggunakan teknologi pirolisis atau pembakaran tertutup.

Menerusi teknologi tersebut, arang dimasukkan ke dalam tong dan dipanaskan selama enam jam, sebelum disejukkan juga selama enam jam. Arang berkenaan kemudian dihancurkan menggunakan mesin. Arang tersebut kemudiannya dicampur dengan sagu sebagai bahan aditif. Hasilnya arang terbentuk mengikut acuan khas. Dalam masa sama, asap yang dihasilkan disejukkan atau terpeluwap dan menghasilkan bahan penghalau serangga dan juga bahan pengawet makanan jika disulingkan.

“Projek tersebut telah diuji guna oleh petani di Kundasang,” ujarnya yang menjalankan penyelidiikan tersebut pada 2014 dan siap setahun kemudian.