Walaupun sukar untuk menentukan penyebab berlakunya keadaan ini, kaedah rawatan untuk sakit belakang lazimnya memerlukan pesakit melakukan senaman fizikal, dan keberkesanannya akan dipantau oleh perawat pemulihan atau ahli fisioterapi dari semasa ke semasa.

Di sinilah timbulnya cabaran utama pengurusan rawatan ini, kerana ia bergantung kepada tindak balas pesakit melalui kaji selidik semata-mata, yang sememangnya subjektif dan tidak jitu. Ini menyukarkan pengurusan rawatan pemulihan dilaksanakan dengan berkesan, kerana proses pemulihan tidak dapat dipantau dengan tepat.

Bagi konteks negara kita, Pusat Inovasi Kejuruteraan Perubatan (CIME) di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), dengan kerjasama Fakulti Perubatan telah melaksanakan penyelidikan bagi pembangunan sebuah sistem mudah alih yang lengkap bagi tujuan pengurusan rawatan sakit belakang ini.

Sistem mudah alih yang mula dibangunkan sejak 2013 ini mempunyai komponen penderia isyarat otot (electromyography atau EMG) yang ditempatkan di permukaan kulit pesakit yang menyelaputi otot erector spinae. Otot yang selari dengan tulang belakang ini memainkan peranan yang amat penting dalam mengekalkan kestabilan tulang belakang manusia, dan isyarat elektrik aktivitinya boleh dijadikan sandaran kepada korelasi keberkesanan rawatan pemulihan sakit belakang menerusi senaman fizikal.

Menurut ketua penyelidik CIME. Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, penderia yang mengesan isyarat EMG otot akan menghantarnya pula ke bahagian pemancar (transmitter) khas yang boleh dilekatkan pada seluar pesakit, atau diletakkan di dalam poket.

Unit tersebut seterusnya akan berkomunikasi dengan aplikasi mudah alih Android di telefon mudah alih pesakit menggunakan capaian teknologi Bluetooth®. Algoritma khusus bagi menentukan keberkesanan rawatan pemulihan turut dimuatkan di dalam aplikasi ini, selain dari membenarkan pemantauan terhadap prestasi dan kadar ‘keletihan’ (fatigue) otot semasa dan selepas melakukan senaman.

“Idea menghasilkan sistem sebegini hadir setelah saya dimaklumkan bahawa kaedah pengurusan pesakit sakit belakang ini adalah bersandarkan penilaian subjektif pesakit semata-mata. Ini agak menyukarkan perawat untuk menentukan kadar keberkesanan rawatan pemulihan, terutamanya yang melibatkan pesakit yang telah berusia. Dengan kemahiran pembangunan peranti yang ada di kalangan penyelidik CIME, dan kepakaran klinikal yang ada di Fakulti Perubatan UM, kami telah berjaya membangunkan sistem mudah alih ini,” katanya.

Dengan adanya kaedah kuantitatif sebegini, pemantauan rawatan pemulihan sakit belakang boleh dilakukan oleh perawat pemulihan dengan lebih sistematik. Pesakit sendiri boleh memantau secara kendiri dan memaklumkan sebarang perubahan yang berlaku dengan lebih baik, dan bukannya bergantung kepada penilaian yang subjektif. Antara muka aplikasi yang mesra pengguna juga akan meningkatkan motivasi pesakit bagi meneruskan rawatan pemulihan di rumah, salah satu faktor terpenting yang telah dikenal pasti dalam proses pemulihan.

Sistem berkenaan telah diuji oleh pakar rawatan pemulihan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan akan berada di pasaran setelah menerima kelulusan dari aspek keselamatan peranti kesihatan. Unit ini dianggarkan akan dipasarkan pada harga kurang daripada RM1,000.