Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal (Penyelidikan dan Inovasi), UKM Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, pelanggan tidak semestinya membuat tempahan makanan semasa berada di restoran mamak sahaja, sebaliknya boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

“Pelanggan boleh membuat tempahan makanan dan minuman di mana-mana sahaja asalkan memuatnaik aplikasi pada telefon pintar masing-masing,” katanya. Beliau menyatakan demikian selepas majlis pelancaran aplikasi Smart Mamak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) - UKM dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) baru-baru ini.

Aplikasi tersebut dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Bangi. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Tan Sri Dr. Ibrahim Saad dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata, dengan memanfaatkan aplikasi tersebut, pelanggan tidak perlu menunggu lama. Ini kerana apabila sampai di restoran, makanan yang ditempah telah tersedia.

“Ini akan menjimatkan masa selain dapat meningkatkan kecekapan tenaga,” katanya.

Dr. Mohd. Ekhwan berkata, pembangunan aplikasi Smart Mamak adalah penyelidikan berdampak (tranlational research) dengan kerjasama antara universiti, industri dan akhirnya kepada komuniti.

“Selain memudahkan pelanggan membuat tempahan makanan, aplikasi tersebut juga dibangunkan bagi mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing sekali gus dapat meningkatkan keuntungan.

“Jika semua restoran mamak di bawah Presma mendaftar dengan sistem ini, kita dapat meluaskan aplikasi ini kepada kira-kira 4,000 restoran mamak di seluruh negara,” katanya.

Aplikasi berkenaan kata Dr. Mohd Ekhwan lagi, akan beroperasi sepenuhnya Disember ini.

Sementara itu, Dr. Noor Azlan berkata, aplikasi Smart Mamak akan memberi penyelesaian kepada masalah

yang dihadapi oleh restoran seumpama itu dengan tujuan untuk meningkatkan pesanan pelanggan dan mengurangkan tenaga pekerja asing yang ramai.

“Menerusi kajian Smart Mamak kini, elemen sains sosial, ekonomi dan teknologi maklumat (IT) digabungkan sebagai alat bagi penyelesaian berasaskan pernyataan masalah,” katanya.

Dalam pada itu Idris berkata, antara sebab aplikasi itu dibangunkan adalah untuk mengurangkan tenaga asing di restoran mamak.

“Dengan ini proses pendigitalan restoran mamak dapat melihat pengurangan penggunaan pekerja asing dan juga satu sistem yang lebih efisyen untuk semua restoran mamak di seluruh negara.”
 “Ini merupakan kerjasama antara universiti dan industri untuk kebaikan masyarakat keseluruhannya,” ujarnya.