SFI dibangunkan melibatkan beberapa kementerian diketuai oleh Kementerian Sains, teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dan agensi kerajaan lain pada 2010.

SFI mula digunakan setahun kemudian dengan matlamat membolehkan agensi perikanan negara membantu meningkatkan hasil tangkapan ikan nelayan melalui penggunaan teknologi remote sensing, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menurut Pegawai penyelidik, Bahagian Pembangunan Aplikasi Remote Sensing ARSM, Muhd. Azran Muhd. Zuki projek perintis SFI dilaksanakan di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia sepanjang tempoh antara 2007 hingga 2010 dan mula didiperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat mulai Januari 2011.

Sejak penggunaannya, antara pencapaian SFI adalah peningkatan hasil tangkapan ikan sebanyak 24 peratus, penuruan kadar import bekalan ikan negara sebanyak 40 peratus bernilai RM350 juta, meningkatkan pendapatan nelayan sebanyak 20 peratus menerusi peningkatan hasil tangkapan ikan dan memberi manfaat kepada 30,000 nelayan melibatkan 63 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara.

“Antara kelebihan SFI sesuai dengan namanya adalah membantu mengenal pasti lokasi kepadatan ikan yang tinggi berdasarkan parameter biofizikal dan fizikal marin menerusi imej imej satelit oseanografi,” ujarnya.

Kata beliau, maklumat lokasi penangkapan ikan daripada Sistem FSI disebarkan melalui Gerbang SMS kerajaan, MySMS 15888 dan menerusi portal di http://ikan.remotesensing.gov.my.

Ekoran kejayaan tersebut pihaknya mengambil inisiatif membangunkan satu aplikasi khas yang dinamakan MyFSI iaitu bagi membantu golongan sasar dengan lebih mudah.

“MySFI adalah byproduct Sistem FSI yag dibangunkan di bawah program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) bagi memperluas dan mengoptimumkan capaian pengguna kepada maklumat lokasi penangkapan ikan.

Katanya, MyFSI mengintegrasi maklumat FSI dengan maklumat cuaca lautan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang diperlukan oleh nelayan dalam merancang operasi penangkapan ikan dan mengurangkan risiko kemalangan di laut.

Justeru dengan adanya MySFI, pengguna kini boleh mendapatkan maklumat tersebut menggunakan aplikasi telefon pintar dan juga menerusi paparan elektronik yang disediakan di enam kompleks pendaratan ikan terpilih.

Menurut Muhd. Azran lagi, pihaknya merancang untuk menambah menu pelaporan hasil pendaratan pada aplikasi MyFSI pada masa akan datang.

“Aplikasi MyFSI hanya boleh digunakan oleh nelayan yang berdaftar sahaja. Bagi nelayan yang berminat untuk mendapatkan maklumat ini, mereka boĺeh berhubung dengan persatuan nelayan yang berdekatan untuk pendaftaran,” ujarnya.

ARSM bangunkan 25 aplikasi

Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) setakat ini berjaya membangun dan mengoperasikan 25 aplikasi utama dan pangkalan data bersepadu yang berteraskan remote sensing, Sistem Maklumat Georgrafi (GIS), Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang digunakan oleh 55 agensi kerajaan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Azlikamil Napiah aplikasi tersebut melibatkan pelbagai bidang seperti pertanian, perikanan, pengurusan sumber termasuklah antaranya hutan, pengurusan bencana, pengauditan, keselamatan dan kesihatan.

“Sistem ini sedang diguna pakai secara dalalam talian dan disokong oleh keupayaan sedia ada Stesen Penerima Data Satelit (SPDS) di Temerloh, Pahang yang membekalkan imej satelit secara harian,” ujarnya.

Beliau berkata, pembangunan aplikasi tersebut bergerak seiring hasrat kerajaan untuk merakyatkan teknologi terutama menjelang 2030 atau mungkin 2050 sejajar dengan Transformasi Negara 2050 (TN50) dan Revolusi Industri 4.0 (4IR).

Adalah menjadi harapan beliau supaya teknologi remote sensing yang merupakan sebahagian daripada bidang ICT menjadi satu yang biasa bagi rakyat negara ini serta menjadi tunjang pembangunan negara pada masa akan datang.

Mengenai pembangunan aplikasi MySFI beliau berkata, inovasi tersebut akan ditambah baik bagi membantu golongan sasar seperti nelayan yang memerlukan maklumat dalam operasi seharian selain membantu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan dalam hal pengurusan sumber marin negara.

Dalam masa yang sama pengurusan sumber dalam bidang akuakultur juga akan diberi penekanan dengan menggunakan aplikasi berkenaan terutama di Sabah dan Sarawak yang banyak terlibat dalam subsektor berkenaan.

“Dengan penggunana data sentinel (satelit) kita membantu golongan sasar ini untuk membekalkan maklumat kepada mereka yang dijangka dan berharap dapat dinikmati tahun depan,” ujarnya.