Dalam konteks astronomi kepada murid autisme ini, perkongsian perlu dibuat dalam medium yang interaktif agar ia mudah difahami oleh murid autisme.

Kanak-kanak autisme ini memerlukan lebih perhatian daripada ibu bapa. Justeru itu, astronomi merupakan satu perkongsian pengetahuan bagi mengenali keindahan dan keajaiban alam semesta ini.

Dalam mengenengahkan keperluan tersebut, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membangunkan satu aplikasi astronomi bagi membantu pelajar mengenali astronomi dengan lebih dekat khusus kepada murid autisme.

Aplikasi ini merupakan satu medium alat bantu belajar yang mengunakan platform Android yang boleh diperoleh dan dimuat turun di Google Playstore oleh semua lapisan masyarakat.

Dengan alat bantuan belajar ini, tumpuan murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan di samping memberi pendedahan subjek astronomi di peringkat sekolah rendah serta meningkatkan kesan interaksi sosial menggunakan pembelajaran astronomi.

Kumpulan sasar bagi aplikasi ini adalah murid berkeperluan khas dalam Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan terutama yang mempunyai ciri-ciri autisme.

Terdapat beberapa pendekatan yang dititikberatkan dalam penciptaan aplikasi ini antaranya adalah animasi dalam bentuk kartun, penggunaan suara latar dan muzik serta aktiviti pemainaninteraktif mudah digunakan untuk menguji tahap kefahaman pelajar. Ini penting bagi menimbulkan minat astronomi yang berterusan kepada murid autisme.

Aplikasi ini bukan sahaja untuk murid autisme tetapi boleh dinikmati oleh pelajar sekolah rendah.

Ia boleh dimuat turun secara percuma di Google Playstore.

Program tersebut telah diadakan dengan kerjasama strategik bersama Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Persatuan Autisme Muslim Malaysia. Kerjasama bagi mendapatkan jaringan kepakaran dari aspek aplikasi dan kumpulan sasaran.

Aplikasi tersebut diagihkan kepada beberapa sekolah khas yang terpilih di Lembah Klang serta Makmal Autisme UKM.

Selain itu juga aplikasi ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan apabila telah dimuatnaik di Google Playstore.

Aplikasi ini Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini di Google Playstore menggunakan kekunci `Sains Angkasa’ di ruang carian.