Menariknya, robot terkenal dari Jepun yang dicipta di abad ke-21, turut diberi nama Asimo sempena nama Asimov.

Malah, menurut Kamus Oxford (edisi Bahasa Inggeris), Asimov merupakan orang pertama menggunakan dan mempopularkan perkataan ‘robotics’(robotika) sekaligus terkenal sebagai ‘bapa robot dunia’. Ironinya, tiga undang-undang ciptaan Asimov itu akhirnya menjadi sangat popular dan ‘masuk akal’ kepada para saintis moden sehinggakan ramai orang percaya bahawa robot sebenar haruslah direka berdasarkan prinsip asas Asimov.

Tiga hukum robotik itu ialah pertama, robot tidak akan melukai atau membiarkan manusia ditimpa kecelakaan. Kedua, robot harus mematuhi segala perintah yang diberikan manusia kecuali perintah itu bertentangan dengan hukum pertama. Ketiga, robot juga harus melindungi kewujudannya sendiri sepanjang perlindungan itu selagi tidak bertentangan dengan hukum pertama atau kedua.

Cerita tentang ‘Tiga Hukum Robotik’ itu mendominasi banyak kisah yang menjadi watak-watak dalam dunia robot ciptaan Asimov yang ditulisnya sejak 1964. Karya-karya agungnya terkumpul dalam I, Robert (1950) dan The Rest of The Robot (1964). Malah, kedua-dua kisah ini juga turut menjadi asas bagi novel The Caves of Street (1954) dan The Naked Sun (1957) yang merupakan cerita detektif fiksyen-ilmiah.

Maha karyanya seperti Nightfall dan The Bicentennial Man dan novel-novel seperti The Gods Themselves dan The Edge Foundation, menerima banyak penghormatan dan diiktiraf sebagai antara fiksyen sains terbaik yang pernah ditulisnya.

MEMUPUK MINAT ROBOTIK

Isaac Asimov yang dilahirkan di Petrovichi, Rusia pada 2 Januari 1920, merupakan anak pertama daripada tiga beradik keturunan Yahudi. Akibat perubahan politik di Rusia, keluarganya membawa Asimov yang baru berusia tiga tahun berpindah ke New York, Amerika Syarikat pada tahun 1923 dan di negara inilah beliau mula mengasah bakatnya sebagai penulis sains fiksyen.

Pada tahun 1934, Asimov berjaya menerbitkan kisah pertamanya di akhbar sekolah menengah berjudul Sciences Wonder Stories. Pada tahun 1937, ketika berusia 17 tahun, Asimov menulis kisah sains fiksyen secara bersiri bertajuk Corkscrew Cosmic dan menamatkan siri kisah tersebut pada Jun 1938.

Minat Asimov dalam dunia sains dan robot terus dipupuk apabila beliau lulus dari Universiti Columbia dengan ijazah sarjana muda dalam bidang kimia pada tahun 1939. Campbell yang terlibat membimbing Asimov sebagai penulis fiksyen sains membantu beliau menerbitkan kisah pertamanya, Marooned off Vesta (1939).

Pada tahun 1940-an, Asimov memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah, ketika berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua (1939-1945) sebagai ahli kimia di Stesen Eksperimental Angkatan Udara di Philadelphia dan menjadi tenaga pengajar di Boston School of Medicine. Pada tahun 1949, Asimov mendapat gelaran Profesor Madya dan mengajar di Universiti Boston.

Buku non fiksyen Asimov yang pertama merupakan teks perubatan bertajuk Biokimia dan Metabolisme Manusia (1950) ditulis bersama dua rakan sekerjanya di Boston School of Medicine. Minat terhadap dunia penulisan menyebabkan Asimov menulis karya non fiksyennya yang terkenal Asimov’s New Guide to Science (1985) sebagai panduan kepada masyarakat untuk memahami sains secara lebih dekat lagi.

TRILOGI FOUNDATION

Kehebatan Asimov diukur dengan kehebatannya berkarya sehingga berjaya menulis kira-kira 300 judul buku termasuk fiksyen dan non fiksyen. Ini merupakan suatu pencapaian luar biasa bagi seseorang penulis di dunia.

Namun begitu, antara karyanya yang paling popular sehingga ke hari ini ialah trilogi novel Foundation yang diadaptasi secara longgar kisah di era kerajaan Rom serta kisah-kisah robot.

Trilogi pertama Foundation berlatarbelakangkan ‘masa depan yang jauh’ dan melukiskan zaman jatuhnya kerajaan galaktik baru. Foundation kedua pula bersifat rahsia menangani faktor-faktor yang tidak dikenali yang tidak mampu dijangkakan oleh Harry Seldon.

Bahagian ketiga trilogi Foundation bercerita tentang ikhtiar untuk membawa sejarah kembali kepada landasannya agar tidak dapat dikesan ‘foundation pertama’ yang menganggapnya sebagai saingan.

Pada tahun 1980-an, Asimov memulakan projek besarnya mengangkat sekuel ‘robot and foundation’ menjadi cerita besar.

Pada tahun 1966 melalui trilogi tersebut, Konvensyen Fiksyen Sains Dunia memberikan penghormatan tertinggi kepada Asimov menerusi Anugerah Khas Hugo dan menobatkannya sebagai penulis siri fiksyen sains terbaik sepanjang masa.