Kefahaman tentang ekopelancongan dalam kalangan perancang, pentadbir dan pelaksana mestilah lengkap agar tidak tersasar dari matlamat sebenar.

Elakkan daripada konflik dalam pembangunan ekopelancongan dengan sumber semula jadi sedia ada di Pulau Langkawi yang menjadi tarikan pelancong dunia.

Pengetahuan asas tentang alam semula jadi dan kelestariannya dalam kalangan pentadbir, perancang dan pelaksana sepatutnya menjadi asas kepada syarat kelayakan bagi mengelakkan sebarang konflik daripada berlaku.

Menurut Persatuan Ekopelancongan Antarabangsa (TIES), 83 peratus negara sedang membangun bergantung kepada pendapatan ekopelancongan. Negara seperti Costa Rica, Equador, Nepal, Kenya, Madagascar dan pulau Antartika bergantung kepada ekopelancongan sebagai produk negara dan peluang pekerjaan. Dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus bagi negara berkenaan dan lima peratus setahun pertumbuhan industri ekopelancongan di dunia, banyak negara menjangkakan peningkatan aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat perlu ada bagi menjaga alam semula jadi dan memuliharanya daripada kerosakan.

Semua negara yang berpotensi dalam ekopelancongan mestilah agresif dalam penyelidikan, pendidikan dan sokongan masyarakat tempatan.

Contoh negara yang bergantung kepada ekopelancongan seperti Costa Rica menumpukan kepada alam semula jadi dan hidupan liar seperti pemerhatian burung, flora dan fauna.

Aktiviti pelancongan dijalankan oleh penduduk tempatan. Equador juga memberi tumpuan kepada hidupan liar. Rakyatnya sangat prihatin dengan pendidikan alam sekitar, pengurusan sisa daripada aktiviti pelancongan dan penebangan hutan. Nepal sebagai sebuah negara yang miskin juga meningkatkan pendapatan rakyat melalui aktiviti ekopelancongan berasaskan komuniti.

Negara Kenya, walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah cuba mendapatkan hasil pendapatan melalui ekopelancongan seperti safari.

Dalam usaha meningkatkan kualiti ekopelancongan, perkara seperti penebangan hutan, hakisan tanah, dan kualiti air mendapat perhatian kerajaan.

Madagascar yang kaya dengan flora, fauna, budaya dan makanan yang unik juga menjadikan ekopelancongan sebagai pendapatan negara. Kesemua negara yang disebutkan memberikan perhatian kepada ekopelancongan melalui sistem pensijilan khas agar keadaan semula jadi terkawal.

Ekopelancongan melibatkan lawatan ke kawasan yang rapuh, murni dan umumnya kawasan semula jadi yang belum diganggu. Bagi meneruskan aktiviti ekopelancongan, kawasan ini mestilah dijaga bagi memastikan tiada kesan jangka pendek dan jangka panjang.

Kelestarian kawasan berkenaan mestilah mengambil kira kemampuan sesuatu kawasan menerima pelawat dan sensitiviti flora, fauna serta ekosistem umumnya terhadap gangguan manusia. Kefahaman yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan dan pihak kerajaan tempatan tentang biologi dan ekologi sesuatu kawasan sangat penting bagi memastikan kelestarian industri ekopelancongan.

Antara destinasi utama ekopelancongan bertaraf dunia di Malaysia ialah Sandakan, Sabah. Pengalaman pengusaha pelancongan bolehlah dicontohi bagi memastikan kawasan ekopelancongan menjadi tarikan dunia. Kedudukannya di Sungai Kinabatangan iaitu sungai kedua terpanjang di Malaysia selepas Sungai Rajang, menjadi habitat penting flora dan fauna. Sungai Kinabatangan yang mengalir ke Laut Sulu sepanjang 560 kilometer menarik pelancong kerana kepelbagaian biologinya.

Antara yang menarik ialah burung enggang, gajah kerdil borneo, orang utan, dan monyet belanda.

Pulau Langkawi juga mempunyai sumber semula jadi yang menjadi tarikan pelancong. Tarikan utama di Langkawi ialah menyusuri kawasan bakau dengan bot.

Kawasan utama menjadi tarikan ialah kawasan bakau Kilim dan Kubang Badak yang unik.

Pemantauan berterusan kawasan ini dari segi kualiti air, kepelbagaian biologi dan kestabilan ekosistem perlu dilakukan secara saintifik.

Langkawi Geopark juga antara tarikan pelancong utama di Langkawi di samping kereta kabel, melawat pulau-pulau, pantai yang bersih, aktiviti jet ski di Pulau Dayang Bunting, memerhati burung, hidupan liar dan merentas Hutan Hujan Tropika. Hutan-hutan simpan kekal (HSK) di Pulau Langkawi mesti dilindungi.

Hutan-hutan simpan berkenaan yang seluas 26,183 hektar itu diwartakan berperingkat-peringkat sejak 1937, 1941, 1947, 1953, dan 1959.

Kawasan hutan bakau seluas 3,125 hektar perlu diberi perhatian kerana ia bukan sahaja untuk pelancong menyusur hutan dan memerhati burung tetapi juga penting dalam perikanan dan produk hutan bakau yang lain.

Semua hutan darat dan pantai perlu dipulihara untuk tujuan pelancongan dan memberikan faedah secara langsung kepada penduduk tempatan.

Hutan yang diteroka haram perlu ditanam semula dengan pokok-pokok hutan. Kepelbagaian hutan di Pulau Langkawi menyediakan habitat kepada hampir 270 spesies burung yang boleh dilihat pelancong. Dengan kemahiran tinggi pemandu pelancong sudah pasti pelancong akan berpuas hati dengan keindahan dan kepelbagaian biologi pulau berkenaan.

Selain Hutan Hujan Tropika, pantai juga penting dijaga kebersihannya bukan sahaja dari segi sampah sarap seperti bahagian tumbuhan yang mati, kayu-kayu yang hanyut, tumbuhan laut yang terdampar di pantai dan bahan berasaskan plastik, tetapi kelodak daripada hakisan permukaan dan aliran air sungai juga perlu dipantau.

Aktiviti sawah padi yang menyebabkan lebihan kelodak dibawa air melalui sungai boleh mencemar pantai yang bersih.

Tindakan segera perlu diambil bagi mengurangkan aliran air berkelodak ke pantai. Sistem pengairan perlu ditambah baik bukan sahaja mengurangkan aliran kelodak tetapi juga memulihkan air sungai agar bersih dan menjadikan produk baharu ekopelancongan seperti bersampan, memancing dan menikmati lanskap.

Penambahbaikan tebing sungai dan tumbuhan akuatik dapat menarik pelancong menikmati keindahan dan ketenangan kepelbagaian biologi dan lanskapnya.

Dalam tempoh setahun, Langkawi mengalami hujan sebanyak 2325mm selama 199 hari. Hujan dalam bulan September dan Oktober selama 5-26 hari memberikan hujan antara 100 mm hingga 340 mm berbanding dengan Januari hingga Mac hanya antara lima hingga sembilan hujan dengan antara 49 hingga 91 mm sahaja.

Pulau Payar adalah antara taman laut penting di Malaysia.

Sejauh mana Pulau Payar menjadi tarikan pelancong untuk menyelam atau snorkeling perlu dinilai semula. Faktor kemampuan kawasan berkenaan menerima pelancong, kualiti air dan kepelbagaian spesies batu karang serta ikan perlu dipantau dan diadakan panduan untuk pelancong dan pengusaha pelancong.

Kepimpinan pihak berkuasa seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan semua agensi kerajaan termasuk pengendali pelancong dan NGO mestilah prihatin dan bekerjasama dalam memastikan kelestarian ekopelancongan.