Usaha tersebut antaranya digerakkan oleh Dr. Zaiton Ahmad yang merupakan pegawai penyelidik di agensi berkenaan dan bertugas di Kumpulan Ornamental, Bahagian Agroteknologi dan Biosains.

Kecemerlangan dan pengalaman penyelidikan telah melayakkan Dr. Zaiton menerajui Makmal Flora Vitro sejak tahun 2002 serta menjadi Pengurus Pusat Khidmat Teknologi Agro dan Biosains sejak tahun 2006.

Beliau yang kini pakar dalam bidang bioteknologi dan biak baka mutasi tanaman hiasan adalah seorang pencinta bunga-bungaan dan tanaman hiasan.

Bagi beliau, menanam dan menjaga tumbuhan hiasan adalah satu terapi untuk menghilangkan tekanan dan merasakan kerjayanya sebagai satu rahmat.

“Saya amat bersyukur kerana kerjaya dan minat saya adalah seiring.

“Ini menjadikan saya lebih fokus dan seronok dalam membuat penyelidikan atau melakukan apa yang saya suka dan cinta,” kata penyelidik berkenaan.

Tidak semata-mata berasaskan minat, penyelidikan yang dihasilkan diiktiraf sebagai satu kepakaran yang membantu menjana ekonomi negara terutama untuk eskport bunga keratan dan tanaman hiasan.

Dr. Zaiton menjelaskan, beliau menerima dana sains pertanian untuk projek mutagenesis kekwa menggunakan teknik alur ion bagi menghasilkan baka baharu kekwa yang berkualiti.

Projek yang mendapat kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cameron Higlands dan Agensi Tenaga Atom Jepun (JAEA) ini juga berjaya menghasilkan enam mutan baharu kekwa yang akan didaftarkan sebagai varieti baharu di Jabatan Pertanian.

Kejayaan ini bakal memberi faedah besar kepada pengusaha kekwa di Cameron Highlands yang selama ini menggunakan benih kekwa import dan membayar royalti kepada syarikat pembekal Belanda memandangkan Malaysia tidak mempunyai benih bunga kekwa tempatan.

Justeru, penghasilan varieti baharu ini akan dapat mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada varieti import.

Selain itu, Dr. Zaiton juga menerima kontrak penyelidikan dari Jabatan Landskap Negara (JLN) bagi menghasilkan varieti baharu tanaman hiasan untuk landskap awam di majlis perbandaran seluruh Malaysia.

Mutan baharu yang dihasilkan setakat ini ialah mutan bunga raya (satu), mutan canna (dua) dan mutan Turnera (satu) yang dalam proses untuk didaftarkan sebagai varieti baharu dengan Jabatan Pertanian.

Dr. Zaiton juga telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal Kajian bagi projek penyelidikan yang dijalankan JLN, termasuk projek Pembangunan Taman Awam Berskala Besar (TABB), Bukit Kiara.

Pada tahun 2006, Dr. Zaiton juga menjadi perunding kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT), dalam projek Pembangunan Tanaman Hiasan (Landskap) iaitu penghasilan dan pembiakan tanaman hiasan di kawasan Peranginan Bukit Larut, Taman Tasik Taiping dan Zoo Taiping.

Selain itu, bermula tahun 2007, beliau juga bekerjasama dengan Syarikat Hexagon Green Sdn. Bhd. untuk pengeluaran komersial anak benih orkid secara kultur tisu, diikuti dengan projek prapengkomersialan mutan baharu orkid keluaran Nuklear Malaysia yang dibiayai melalui Projek Technofund mulai tahun 2011.

Tidak terhad untuk jabatan kerajaan dan syarikat swasta, Dr. Zaiton juga membantu pengusaha nurseri dan orang perseorangan dalam mengkomersialkan anak benih orkid secara kultur tisu. Antara yang pernah dibantu ialah Rashdan Che Ramli dari Arau, Perlis dan Bakar Deraman dari Kuching, Sarawak.

Sebagai sebahagian khidmat masyarakat, beliau bersama kumpulannya juga menyumbangkan pokok-pokok hiasan untuk sekolah-sekolah yang berminat.

Sebagai seorang pegawai penyelidik, beliau tidak ketinggalan menyertai pertandingan inovasi bagi mengukur kejayaan mutan baharu yang telah dihasilkan.

Inovasi varieti baharu tanaman hiasan beliau telah mencatatkan kejayaan bagi mutan baharu Amaryllis Orange Biogamma yang memenangi pingat gangsa di Ekspo Teknologi Malaysia 2010; Soniakeenaoval memenangi pingat perak pada Hari Inovasi Nuklear Malaysia dan Bio Inno Awards 2012 serta Chrysanthemum Cream Marble yang meraih pingat gangsa di Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2012.

Perkongsian maklumat bersama rakan penyelidik tempatan dan antarabangsa juga terus menerus dilakukan.

Dr. Zaiton terlibat dalam jalinan kerjasama dua hala (bilateral) antara Nuklear Malaysia dan JAEA untuk projek Mutation induction of orchids using ion beam (2002-2007) dan Generating new ornamental varieties using ion beams (2008-2012).

Beliau juga menjalinkan kerjasama multilateral dengan negara-negara yang menyertai Forum Kerjasama Nuklear Asia (FNCA), terutama Jepun, Thailand dan Indonesia untuk projek penghasilan benih orkid yang rintang kepada serangga perosak.

Kepakaran, kejayaan dan pengalaman beliau dalam penyelidikan varieti baharu tanaman hiasan telah diiktiraf oleh pelbagai pihak.

Dr. Zaiton sering memberikan kursus kepada pelbagai syarikat swasta mengenai teknologi kultur tisu tanaman, mengisi slot dalam media massa selain menyertai pameran-pameran bertemakan pertanian dan landskap.

Ketika ditanya soalan mengapa memilih Nukelar Malaysia berbanding berkhidmat di syarikat penyelidikan swasta yang pernah sertai suatu masa dahulu, anak kelahiran Yong Peng, Johor itu berkata, kerana Nuklear Malaysia memberikan kebebasan untuk menerokai minat penyelidikan asalkan ia selari dengan misi bahagian dan agensi.

“Malahan, kemudahan penyelidikan dan latihan untuk peningkatan kompetensi sangat terbuka luas di dalam dan luar negara.

“Sikap berkongsi pengetahuan, kerjasama berpasukan dan komitmen daripada rakan-rakan juga menjadi penyebab mengapa saya kekal bersama Nuklear Malaysia,” ujarnya.