Apa yang menarik, satelit tersebut telah memancarkan suara Presiden Amerika yang ke-34 pada ketika itu iaitu Dwight D.Eisenhower dari bumi melalui satelit dan kembali ke bumi untuk rakyat Amerika dengan kata-kata Through the marvels of scientific advance, my voice is coming to you from a satellite traveling in outer space.

Serentak itu, bermulalah misi saintifik kapal angkasa Apollo yang dilancarkan untuk menghantar satelit mengorbit bumi dan ia menjadi salah satu punca pendapatan utama Amerika Syarikat (AS) dalam dunia telekomunikasi.

Perniagaan dalam bidang angkasa lepas sememangnya sangat unik berlandaskan kepada cabaran teknologinya, kos yang tinggi untuk sebarang kerosakan dan kedudukan istimewa bagi setiap rekod pencapaian yang berjaya, meletakkan syarikat yang terlibat dalam suatu persekitaran baru dan 
terkehadapan berbanding 
industri lain.

Bidang keusahawanan angkasa lepas di Malaysia pula dilihat masih lagi jauh ketinggalan berbanding negara luar dan bertitik tolak daripada itu, satu forum bertajuk Simposium Keusahawanan Angkasa Lepas (SES) telah diadakan baru-baru ini.

Simposium yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama antara Universiti Putra Malaysia (UPM), Persatuan Aeroangkasa Malaysia (Aeros), Malaysia Space Initiative (Misi), Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

SES memfokuskan isu berkaitan kemajuan teknologi angkasa dan keusahawanan dalam usaha untuk mencetus inspirasi kepada golongan siswazah dan profesional untuk menceburi serta merebut peluang dalam sektor perniagaan berteraskan angkasa di negara ini.

Inisiatif yang dilaksanakan agensi dan institusi pendidikan itu dihadiri lebih 200 peserta dan menggabungkan ahli panel pengalaman untuk berkongsi ilmu pengetahuan, idea dan pendapat dalam bidang angkasa lepas.

Pengarah program, Dr. Ahmad Salahuddin Mohd. Harithuddin berkata, simposium berkenaan merupakan satu program yang cukup unik dan pertama kali dianjurkan di negara ini apabila ia menyaksikan pembentangan dan sesi perbincangan yang melibatkan wakil kerajaan, ahli akademik dan pemain industri.

“Antara topik yang dibincangkan merangkumi cara-cara untuk memulakan dan membangunkan industri angkasa lepas, peluang-peluang dalam industri untuk usahawan dan cabaran yang dihadapi industri angkasa lepas tempatan,” katanya ketika ditemui di UPM, Serdang.

Antara panel yang dijemput ialah Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad; ahli astrofizik negara yang juga bekas Ketua Pengarah Angkasa; Prof. Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman; Pengarah Eksekutif Independence X, Izmir Yasmin; dan Penyelidik Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir.

Tambahnya lagi, SES juga bertujuan untuk mengumpulkan usahawan dan pendidik agar dapat melihat ke mana hala tuju bidang aeroangkasa negara, sekali gus dapat mengumpulkan serta menerima maklum balas bagi industri ini berkaitan potensi-potensi ekonomi yang ada.

“Panel-panel yang dijemput adalah mereka yang sangat hebat dan berpengalaman dalam bidang angkasa lepas, dan diharapkan perkongsian mereka dapat membuka usaha yang lebih luas untuk mencapai matlamat mengembangkan keusahawanan angkasa lepas,” ujarnya.

Sementara itu, menurut salah seorang peserta, Mhd. Fairos Asillam, SES merupakan simposium pertama seumpamanya yang membincangkan berkenaan ruang angkasa lepas dan 
peluang keusahawanan apabila sebelum ini ia banyak membincangkan tentang sains dan teknologi.

“SES ini telah berjaya mencapai matlamatnya untuk membuka mata penyelidik muda tentang bagaimana angkasa lepas boleh menyatu dan membuka peluang perniagaan yang baik.

“Dalam masa yang sama, peserta juga mendapat input serta berpeluang memberi pandangan dan dapat membuka peluang perniagaan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UPM, Prof. Dr. Ir. Renuganth Varatharajoo berkata, apa yang hendak diutarakan pada simposium itu adalah peluang dan ruang dalam bidang angkasa yang boleh mendatangkan peluang pekerjaan khususnya kepada mahasiswa.

“Kita lihat ramai mahasiswa yang mempunyai pengetahuan berkenaan bidang angkasa lepas, tetapi mereka tidak ada bidang kerja yang bersesuaian. Hal ini kerana terdapat jurang antara teknologi, jadi program ini juga merupakan satu usaha untuk menghubungkan kedua-duanya, sekali gus menjadi platform mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang angkasa lepas.

“Setelah dikupas, kita perolehi bahawa ruang dan peluang yang ada dalam bidang ini cukup banyak, tetapi usahawan atau mereka yang terlibat dalam bidang ini memerlukan inovasi dari segi aplikasi baharu untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Jelasnya, apa yang penting, mereka yang terlibat perlu bijak mengolah produk baharu khususnya dari segi aplikasi yang belum ada di pasaran negara mahupun global.

“Berdasarkan simposium itu, apa yang boleh disimpulkan adalah, walaupun banyak perkara yang perlu ditambah baik dari segi teknologi dan sebagainya, tetapi dari segi kebolehpasaran ia mempunyai peluang yang cukup besar dan keusahawanan angkasa lepas mampu pergi lebih jauh lagi,” katanya.

Cabaran industri angkasa lepas 

Pada masa kini, sudah banyak syarikat menerajui bidang angkasa lepas, dan kini telah tiba masa untuk lebih serius dengan keusahawanan.

Industri angkasa lepas negara kita sebenarnya agak kecil, tetapi ia semakin berkembang dari semasa ke semasa dengan pimpinan Agensi Angkasa Lepas (Angkasa).

Malaysia memiliki dan mengendalikan tiga siri satelit iaitu mikrosatelit TiungSat-1, satelit komunikasi ‘geostationary’ MEASAT dan RazakSat iaitu satelit Observasi Bumi (EO) yang diletakkan di orbit oleh pelancaran komersial pertama yang berjaya oleh SpaceX pada 2009.

Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Noordin Ahmad berkata, Malaysia mempunyai ekonomi yang membangun namun tidak mempunyai keupayaan atau saiz pasaran domestik yang boleh menyokong industri angkasa lepas yang berteknologi tinggi.

”Kita masih tidak ada keupayaan untuk membina teknologi. Walaupun kita bagus dalam perkhidmatan dan menyediakan integrasi, tetapi kita tidak mampu walau hanya untuk membina cip tunggal bagi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

“Sebagai contoh, negara pernah mempunyai sebuah syarikat sedemikian, tetapi permintaannya sangat perlahan dan menyebabkan syarikat itu tidak dapat dikekalkan kerana ia memerlukan pelaburan yang sangat besar selain kekurangan teknologi tinggi bagi sektor domestik,” katanya.

Katanya lagi, Angkasa kini mewujudkan inisiatif untuk melaksanakan rancangan strategik industri angkasa lepas negara dan berharap agar 
dapat diterima oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, ahli astrofizik pertama negara yang juga merupakan Pengarah Majlis Sains Antarabangsa (ICSU) pejabat serantau bagi Asia dan Pasifik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman berkata, Simposium Keusahawanan Angkasa Lepas (SES) merupakan satu langkah kecil untuk mengembangkan perniagaan bidang itu.

“Kita tahu akan kepentingan perniagaan, tetapi terlebih dahulu kita perlu ada industri yang kukuh agar bidang keusahawanan dapat berkembang dan untuk merealisasikannya kita perlukan sokongan kerajaan.

“Sebagaimana usahawan angkasa lepas dari negara lain seperti India, Korea, Thailand dan Indonesia, mereka juga sependapat bahawa sokongan kerajaan itu sangat penting kerana angkasa lepas merupakan satu ruang kerja yang amat sukar dan unik,” katanya.

Pada masa yang sama juga katanya, syarikat yang terlibat dalam industri berkenaan turut perlu mencari pembiayaan persendirian, khususnya dalam ekosistem perniagaan negara ini yang agak mencabar.

Selain itu, cabaran dari segi polisi kerajaan yang ketat juga menyukarkan industri ini untuk berkembang.

“Persekitaran kawal selia juga tidak pernah ada, bukan hanya di angkasa lepas, malah dalam keusahawanan.

“Hal ini kerana polisi data kebangsaan negara tidak dikemas kini bagi membolehkan kita untuk mengeksploitasi elemen angkasa lepas dan ini menjadikan perniagaan dalam bidang angkasa lepas hampir mustahil untuk dilakukan.

“Sekiranya perkara ini dapat diatasi, usahawan tidak hanya akan fokus kepada satu kepakaran sahaja seperti teknologi remote sensing (penderiaan jauh) yang banyak diusahakan ketika ini, tetapi dapat beralih kepada kepakaran dan perkembangan inovasi serta teknologi lain yang lebih canggih dan mempunyai peluang lebih besar dalam industri,” jelasnya.