Kerajaan turut mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan sumbangan daripada semua pihak dalam membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pemuliharaan hidupan liar, bagi menjamin kelestarian populasi hidupan liar di Malaysia.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) merupakan sebuah pusat yang menempatkan hidupan liar yang diselamatkan dan yang dirampas dalam pelbagai operasi pengurusan hidupan liar dan penguatkuasaan oleh Jabatan Perhilitan.

“Saya merasmikan NWRC, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang terletak di Sungkai, Perak.

“Pusat ini ditubuhkan selaras dengan peruntukan Akta Perdagangan Mengenai Spesies Terancam dan juga merupakan salah satu obligasi Malaysia dalam Artikel VIII - Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna dan Flora (CITES).

“Dengan lengkapnya pembangunan fasiliti di NWRC ini, kesemua hidupan liar yang diselamatkan oleh Jabatan Perhilitan akan ditempatkan di situ,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada perasmian NWRC, Jabatan Perhilitan Sungkai, Perak baru-baru ini.

Pusat tersebut menjalankan fungsinya berasaskan konsep 3R iaitu Rescue (Menyelamat), Rehabilitate (Rehabilitasi) dan Release (Pelepasan).

Kata beliau lagi, kebanyakan hidupan liar yang diselamatkan ini diterima dalam pelbagai keadaan seperti dalam status kesihatan yang lemah, cedera ringan, malah terdapat juga hidupan liar yang cedera parah akibat dijerat.

Semasa di NWRC, hidupan liar ini akan menjalani pelbagai fasa rawatan yang dijalankan oleh Pegawai Veterinar, Jabatan Perhilitan yang berpengalaman dalam pengurusan hidupan liar.

Hidupan liar yang telah pulih ini kemudiannya akan menjalani proses rehabilitasi untuk program pelepasan semula ke habitat yang sesuai.

Sehingga kini terdapat 103 ekor hidupan liar daripada pelbagai spesies yang ditempatkan di NWRC tersebut.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 55 ekor adalah mamalia daripada pelbagai spesies, 10 ekor reptilia daripada pelbagai spesies, dan 38 ekor burung.

Semua hidupan liar ini sedang menjalani proses 3R.

Antara hidupan liar yang terdapat di NWRC pada masa ini ialah harimau belang, harimau dahan, beruang matahari, kucing batu, kucing tulap, binturong, tapir, spesies primat dan pelbagai spesies burung.