Menjelang hujung tahun inilah realitinya. Bencana akan berlaku dan biasanya kita akan diancam banjir monsun.

Bencana alam sukar untuk dielak tetapi kita perlu bersedia untuk menghadapinya. Bencana alam seperti banjir, disebabkan oleh banyak faktor hujan lebat berterusan, sistem perparitan yang tidak sempurna dan penurapan konkrit terlalu luas di satu satu kawasan menyukarkan air larian atau air permukaan meresap ke dalam tanah selain air sungai melimpah.

Masalahnya bagaimana cara kita mengurus kejadian sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana. Kesan banjir termasuklah kerosakan harta benda, kemusnahan tempat tinggal serta infrastrukltur, dan kehilangan nyawa.

Dalam pengurusan bencana banjir, data remote sensing hasil cerapan data satelit, Sistem Maklumat Geografi (GIS) seperti poligin kawasan banjir, jalan yang ditenggelami, guna tanah dan pusat pemindahan banjir perlu diselaras dan diintergrasikan secara berpusat bersepadu membolehkan keputusan yang cepat dan berkesan dapat dicapai. Teknologi rangkaian Web GIS membolehkan maklumat dicapai (akses) secara dalam talian.

Maklumat dan data tersebut digunakan, dianalisis untuk digunakan bagi membantu agensi berkaitan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

Kemudahan tersebut sudah pun ada yang ditawarkan oleh Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), sebuah agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Agensi terbabit kini menggunakan data daripada satelit RadarSat milik Kanada yang diterima oleh Stesen Penerima Data Satelit (SPDS) di Temerloh, Pahang.

Menurut pegawai penyelidik ARSM, Syariman Samsudin, pihaknya membangunkan sistem Maklumat dan Logistik Banjir Monsun bagi membantu agensi berkaitan dalam pengurusan bencana banjir yang lebih tersusun sejak 2010.

Namun setakat ini, pihaknya hanya menawarkan sistem tersebut bagi banjir berkala atau dijangka dan bukan sebaliknya iaitu banjir kilat.

“Ini berkaitan (pergerakan) satelit 
yang kita gunakan hanya melalui kawasan kita dalam tempoh tertentu.

“Justeru imej yang kita dapat hanya ketika melalui kawasan kita dalam tempoh tentu secara berkala,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerja bertajuk Sistem Maklumat Logistik Banjir Monsun pada seminar Pemerkasaan Penggunaan Teknologi Remote Sensing Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Keselamatan Negara di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Pengarah Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), Azlikamil Napiah berkata, sistem Maklumat dan Logistik Banjir Monsun telah beroperasi dan diguna pakai oleh pengguna berkaitan.

Beliau berkata, sistem sangat berguna dan efektif bagi tujuan memudahkan pihak berkaitan membuat perancangan serta persediaan menghadapi dan sebelum berlaku bencana.

“Pelaksanaan pengurusan bencana menjadi lebih sistematik dan kos efektif.

“Sistem juga mampu bantu pihak kerajaan melaksanakan proses mitigasi dan bantuan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, pengoperasian sistem adalah mendukung pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Dalam pada itu, beliau berkata, satelit yang digunakan untuk sistem tersebut adalah RadarSat-2 milik Kanada.

Satelit berkenaan yang mempunyai resolusi antara satu hingga 10 meter (m) berdasarkan kesesuaian penggunaan dan mempunyai kelebihan untuk semua jenis cuaca kerana tiada gangguan awan.

Menurut Syariman Samsudin, objektif pembangunan sistem tersebut adalah mempertingkat kecekapan penyaluran maklumat berkaitan bencana banjir kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung.

Beliau berkata, kadangkala timbul masalah berkenaan maklumat berkaitan bencana banjir yang tidak selaras antara agensi seperti pusat pemindahan banjir, pangkalan hadapan, dan kesesuaian tapak pembangunan infrastruktur serta kemudahan.

Masalah kedua katanya, 
adalah berkaitan penilaian anggaran kawasan yang terjejas banjir, kerosakan harta benda dan pertanian yang kurang tepat 
dan ketiga, kesukaran dalam mengenal pasti liputan keluasan serta kawasan yang dilanda 
banjir.

Walau bagaimanapun katanya, sistem tersebut boleh diakses oleh agensi terbabit dengan pengurusan bencana banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai sekretariat telah diberi taklimat mengenai penggunaan sistem tersebut sebelum ini.

Beliau berkata, sistem 
tersebut menggunakan imej satelit radar yang berkemampuan menembusi permukaan awan berbanding satelit optikal yang keupayaan penembusan lebih terbatas.

Selain itu, semua data yang mampu membantu penambahbaikan dimasukkan ke dalam sistem berkenaan termasuklah antaranya imej, data GIS seperti jalan raya dan guna tanah.

Data berkenaan yang diperoleh akan diproses dan analisis dan output atau hasilnya digunakan untuk pelbagai kegunaan agensi berkaitan antaranya adalah bagaimana menilai kerosakan akibat banjir dan, anggaran mangsa terlibat serta pengukuran keluasan kawasan banjir.

Syariman berkongsi contoh bagaimana sistem tersebut dapat membantu kerajaan menjimatkan belanja apabila seorang petani yang mendakwa padinya rosak akibat banjir.

“Namun selepas meneliti kepada peta yang dihasilkan, kawasan yang didakwa petani tersebut, tidaklah terjejas teruk,” ujarnya.