Malangnya ahli sains semula jadi di negara ini tidak ramai yang melihat kajian tentang primat ini suatu yang penting dan mempunyai masa hadapan dalam sains, teknologi, inovasi, pemuliharaan dan perubahan iklim.

Negara maju seperti AS, Jepun dan rantau Eropah masih menumpukan kajian ke atas primat walaupun negara mereka tidak mempunyai haiwan yang menarik. Malaysia mempunyai orang utan, kera, ungka, kongkang dan siamang yang sangat memberi manfaat kepada manusia sekiranya kita dapat berfikir secara saintifik.

Kajian tentang haiwan primat seperti lotong cenekah (Presbytis melalophus), lotong kelabu (Presbytis cristatus), kera (Macaca fascicularis), ungka (Hylobates lar), siamang (Symphalangus syndactylus), beruk (Macaca nemestrina), monyet Belanda (Nasalis larvatus) dan kongkang (Nycticebus coucang) banyak dijalankan oleh pengkaji luar negara pada peringkat asas ekologi dan tingkah laku di habitat semula jadi. Sains tempatan perlu menyambung kajian-kajian tersebut dengan lebih agresif lagi untuk kepentingan negara khususnya dan sains amnya.

Setiap dua tahun terdapat satu kongres berkenaan primat yang dianjurkan oleh Persatuan Primatologikal Antarabangsa (IPS). Mesyuarat ke-27 IPS diadakan buat kali kedua di Nairobi, Kenya pada 19 hingga 25 Ogos lalu selepas kali pertamanya pada tahun 1984.

Sebelum ini, Kongres IPS diadakan di Chicago (AS) pada tahun 2016. Kongres IPS membawa pakar-pakar primat seluruh dunia berbincang tentang isu-isu haiwan berkenaan pada peringkat antarabangsa dan membina jaringan dalam kalangan ahli sains. Kongres juga berbincang tentang perkara-perkara penting masa hadapan primat, perubahan iklim, penebangan hutan, pembangunan lestari dan konflik awam.

Negara-negara yang mempunyai primat berlumba-lumba untuk membawa kongres ini ke negara mereka. Malaysia sudah tentu layak untuk menganjurkan kongres ini kerana mempunyai bilangan spesies primat yang banyak berbanding dengan negara lain. Di Afrika, Jepun dan rantau Eropah yang aktif dalam kajian tentang haiwan primat.

Negara AS yang tiada primat sudah lama menjuarai kajian haiwan berkenaan. Dengan penganjuran kongres IPS di negara tersebut, ia akan menunjukkan pengiktirafan dunia kepada Malaysia dan akan merancakkan kajian tentang primat. Kempen melawat Malaysia juga mengetengahkan haiwan seperti orang utan dan monyet Belanda sebagai tarikan pelancong. Malangnya Malaysia masih pada peringkat mempamerkan haiwan untuk pelancongan.

Di Malaysia, belum ada pakar primat seperti di Afrika yang boleh diketengahkan. Nama-nama terkemuka seperti Diane Fossey yang bekerja dengan gorila di Rwanda dan Jane Goodall yang terkenal dengan penyelidikan tentang chimpanzi belum ada di Malaysia, walaupun haiwan unik seperti orang utan dan monyet Belanda terdapat di negara ini. Goodall misalnya, mencipta sejarah dunia dalam kajian chimpanzi dan membuka ilmu baharu tentang kebolehan primat menggunakan peralatan dan organisasi sosial yang kompleks.

Orang utan menjadi fokus dunia dan dikaitkan dengan perusahaan minyak kelapa sawit yang dijuarai Malaysia. Aktiviti penebangan dan pembakaran hutan dikatakan memusnahkan habitat orang hutan, menjejaskan kesihatan mereka dan memberi kesan kepada populasi haiwan berkenaan serta menimbulkan banyak rantaian isu alam sekitar berkaitan sawit.

Walaupun perkara tersebut boleh memberi tekanan kepada industri sawit negara seperti memboikot minyak sawit kita, namun Malaysia masih tidak memberi perhatian khusus yang sewajarnya dalam hal pemuliharaan orang utan dan haiwan primat lain. Oleh kerana isu pemuliharaan hidupan liar dan kepelbagaian biologi dikaitkan dengan industri kelapa sawit sewajarnyalah syarikat-syarikat besar berteraskan kelapa sawit menaja penyelidikan berkaitan. Isu-isu berkaitan perkara asas biologi dan ekologi perlu diberikan perhatian sebelum memberikan kesan besar kepada pemuliharaan habitat dan haiwan berkenaan.

Kajian tentang primat mesti diaktifkan segera di negara ini terutama primat yang menimbulkan konflik dengan manusia dan diancam kepupusan seperti kera, ungka, siamang, kongkang, monyet Belanda dan orang utan. Dengan adanya kongres seperti yang dianjurkan oleh IPS, ia akan melonjakkan lagi penyelidikan tentang primat di negara ini melibatkan pakar-pakar luar negara dan pembangunan penyelidik tempatan.

Kajian primatologi penting

Primatologi adalah satu bidang kajian yang penting dalam kajian antropologi. Dari aspek pemuliharaan, kestabilan alam semula jadi dan perubahan iklim, kajian biologi dan ekologi haiwan primat penting.

Hal-hal berkaitan kepupusan haiwan primat dan interaksi dengan manusia mesti diberikan perhatian sebelum terlambat.

Makanan primat yang banyak terdiri daripada buah-buahan memainkan peranan dalam penyebaran biji benih di dalam hutan dan penting dalam kepelbagaian biologi. Primat juga penting dari segi hubungan pemangsa, mangsa dan persaingan sumber hutan.

Kajian tentang primat juga boleh menjadi model dalam hal berkaitan penyakit dalam ekosistem yang kompleks. Dalam antropologi perubatan, sifat primat yang bersosial, berbudaya, berkomunikasi serta sifat-sifat biologi yang kompleks memberikan cabaran baharu dalam mempengaruhi kesihatan manusia dari segi mengawal dan merawat penyakit serta proses pemulihan.

Di Semenanjung, kera boleh dilihat di merata-rata tempat.

Beruk juga mudah dilihat di pinggir-pinggir hutan dan ada yang dilatih untuk memanjat pokok kelapa. Monyet lain seperti lotong kelabu, lotong cenekah juga berinteraksi dengan manusia dalam habitat terpilih. Kongkang direkodkan sangat berkurangan akibat daripada perdagangan haiwan untuk haiwan pelihara dan habitat yang terganggu. Begitu juga dengan siamang yang amat terancam.

Kehilangan habitat, aktiviti pembangunan yang mendekatkan mereka dengan pemburuan haram, tumbesaran mereka yang perlahan, lambat matang memberikan tekanan kepada kemandirian dan kelestarian siamang dan kongkang.

Walaupun kongkang, siamang dan juga ungka diletakkan dalam kedudukan penting bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, tumpuan kajian dan pemuliharaan haiwan tersebut masih terlalu kurang.

Data sejak 1980-an merekodkan 29,000 siamang, 46,000 ungka tangan putih dan ungka tangan hitam 4,000 ekor perlu dilihat semula dengan segera.

Sifat haiwan seperti siamang yang tinggal di kawasan pergunungan yang terhad, pemalu selalu berada senyap di kanopi, sukar dijumpai mungkin membuatkan penyelidik kurang berminat untuk mengkaji. Hanya bunyi sahut menyahut pada masa tetentu menjadi pengenalan yang mudah. Mungkin dengan teknologi terkini dan pembiayaan yang baik boleh membantu menarik minat pengkaji.

Kes konflik kera-manusia yang semakin meningkat mungkin menarik minat pihak berkuasa untuk memberikan keutamaan dalam penyelidikan tentang kera dan primat lain secara bersepadu dan holistik.

Statistik pada tahun 2012 hingga 2014 menunjukkan 21,197 aduan konflik dengan Selangor mencatat kes tertinggi 6,068, diikuti Johor (3,351) dan Kedah (2,155). Kebanyakan kes merosakkan tanaman dan harta benda termasuk kecederaan.

Haiwan primat yang kompleks seperti sosial, tingkah laku seks, gaya hidup, kebolehan berfikir, pemahaman, ingatan, kecerdikan, penggunaan teknologi dan tingkah laku pergerakan terestrial dan arboreal dengan anatomi dan morfologi haiwan primat antara perkara yang unik berbanding manusia dan menarik untuk kajian.

Sekiranya Malaysia menganjurkan kongres primat antarabangsa, Malaysia perlu menjalankan kajian yang berimpak tinggi bagi mempamerkan kajian primat di negara ini dan tarikan pengkaji antarabangsa.