Sebelum mencapai kedudukannya sekarang, UMT melalui banyak proses evolusi antaranya sebagai Kolej Universiti Terengganu (KUT) sebelum bertukar nama kepada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) pada 2001.

Bermula pada 1 Februari 2007, Kustem dikenali sebagai UMT. Berkongsi mengenai perkembangan terkini UMT, Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aeini Mokhtar memberitahu, beliau sebenarnya telah agak lama mengenali universiti berkenaan dan sentiasa berurusan dengan UMT terutama menerusi kerjasama penyelidikan berkaitan marin dan oseanografi (kelautan).

“Saya juga sedia maklum kepakaran ilmu kelautan dan sumber akuatik menjadi tonggak kekuatan UMT yang mampu menjadi rujukan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Setelah dilantik sebagai naib canselor, beliau beriltizam untuk memperkasa bidang tujahan itu dan menterjemahkan kepakaran yang dimiliki agar dapat dimanfaatkan secara meluas, seterusnya diiktiraf di peringkat setempat, kebangsaan dan antarabangsa.

“Seperti yang telah disebutkan dalam Syarahan 100 Hari Pentadbiran Naib Canselor baru-baru ini, saya berpandangan bahawa segala matlamat yang ingin digapai perlu mempunyai kesepakatan yang erat dalam kalangan warga UMT dan juga di antara UMT dengan institusi luar.

“Oleh itu, saya memberi penekanan kepada satu konsep asas iaitu Konsep 2C yang merujuk kepada cooperation and collaboration (kerjasama dan kolaborasi),” ujarnya.

Mengulas lanjut Dr. Nor Aeini berkata, beliau sedar bahawa UMT tidak boleh terlalu bergantung kepada sumber kewangan daripada kerajaan semata-mata. Oleh itu, UMT perlu lebih berinovasi dalam menjana pendapatan sendiri serta bekerja dengan lebih efisyen dengan menggunakan sumber secara optimum agar peranan sebagai sebuah gedung ilmu dapat dilaksanakan tanpa halangan.

``Secara ringkas, saya bertekad menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui konsep Soaring Upwards untuk meningkatkan kecemerlangan UMT secara berterusan berdasarkan Pelan Strategik UMT 2013-2017 yang dijajarkan bersama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi),” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, UMT memberi perhatian yang tinggi kepada enam kluster penyelidikan berkaitan ilmu kelautan dan sumber akuatik iaitu sains marin dan oseanografi, bioteknologi and biobahan marin, ekosistem tasik dan kepelbagaian biologi tropika, teknologi dan pengurusan maritim, komuniti persisiran pantai dan kepulauan, perikanan tropika dan akuakultur.

Katanya, ia jelas menunjukkan program penyelidikan UMT tidak dapat lari daripada berkaitan laut dan akuatik. Beliau mengambil contoh, Kajian Kelestarian Laut China Selatan diadakan dengan diterajui Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT. Program penyelidikan tersebut mengambil pendekatan holistik yang merangkumi tiga aspek penting dalam kelestarian Laut China Selatan iaitu proses alam semula jadi sekitaran marin, spesies terancam marin serta polisi dan undang-undang di Laut China Selatan.

Menurut Dr. Noor Aeni lagi, kumpulan penyelidikan pusat kecemerlangan berimpak tinggi (HICOE) oleh INOS itu telah menjalankan lebih daripada tujuh kali ekspedisi marin di perairan Malaysia, termasuk Selat Melaka, Laut Sulu dan Zon Eksklusif Ekonomi (ZEE) yang perlu perhatian.

Penyelidik pelbagai negara telah menganggotai kumpulan INOS termasuk daripada University of Southampton, University of Western Australia, Plymouth Marine Laboratory, East Carolina University.

Kumpulan penyelidik berkenaan menemukan fenomena upwelling yang pertama kali dibuktikan di kawasan sepanjang timur Semenanjung Malaysia, sepanjang jajaran 500 kilometer (km) dari Johor ke Terengganu. Upwelling merupakan satu proses lautan iaitu arus membawa air bernutrien tinggi dari dasar laut ke permukaan.

Kumpulan penyelidik itu juga berfokus kepada spesies marin terancam, antaranya penyu laut, terumbu karang dan juga mamalia marin. Program pemuliharaan penyu laut di stesen penyelidikan penyu Chagar Hutang, Pulau Redang, Terengganu sudah tidak asing lagi kepada masyarakat umum, termasuk dalam dan luar negara. Hasil kajian variasi mitochondrial DNA penyu di rantau Asia Tenggara baru-baru ini telah membuka lembaran baharu dalam ilmu pemuliharaan penyu.

Kumpulan penyelidik terumbu karang pula menggunakan asid lemak sebagai petanda untuk pemakanan organisma di kawasan tersebut telah meningkatkan pemahaman penyelidik terhadap interaksi organisma ekologi terumbu karang. Kumpulan penyelidik terbabit juga telah membangunkan sebuah prototaip ladang terapung untuk terumbu karang di Laut China Selatan bagi tujuan penyelidikan sesaran terumbu karang dan meneroka peluang untuk membantu komuniti pesisir pantai.

Satu lagi fokus penyelidikan adalah kajian bioteknologi marin yang berdasarkan kepada nic (bidang kekuatan) produk semula jadi dan penemuan khasiat perubatan daripada sumber marin yang bermanfaat kepada komuniti dan industri. Sebagai contoh, UMT menerusi Institut Bioteknologi Marin (IMB) telah mempelopori kajian berkaitan khasiat perubatan pada kuda laut dan teknik pembiakan kuda laut dalam sangkar.

Selain itu, UMT juga telah berjaya menghasilkan teknik baharu bertujuan untuk mengawal penyakit ikan dan udang bagi tujuan akuakultur. Teknik tersebut juga menggunakan teknologi protein renjatan haba atau heat shock protein untuk mengawal penyakit yang disebabkan oleh bakteria patogen Vibrio, seterusnya meningkatkan daya ketahanan ikan dan udang yang diternak.

Kajian ekosistem tasik dan kepelbagaian biologi tropika pula membolehkan UMT menumpukan kepada ekosistem Kenyir dan tanah bencah Setiu sebagai penyelidikan perdana (flagship) menerusi Institut Penyelidikan Kenyir (IPK). Kumpulan penyelidik IPK telah menjalankan program pembangunan Greenpreneurs komuniti pinggir Tasik Kenyir, pengumpulan profil kepelbagaian flora, pewartaan koridor hidupan liar, pemantauan ekologi spesies ikan terancam dan penakluk, pemeliharaan dan pemuliharaan mamalia terancam (Projek Harimau Selamanya) dan penghasilan mutiara air tawar di Ekosistem Kenyir.

Antara program yang dijalankan oleh IPK dalam kalangan komuniti setempat menerusi hasil penyelidikan antaranya termasuklah kolokium dan bengkel peningkatan pendapatan untuk hasil produk komuniti Kenyir Geopark.

Contoh produk yang dihasilkan menerusi kolokium itu adalah fertigasi mentimun Gherkin yang berjaya memenangi geran penyelidikan sebanyak RM780,000 khusus untuk membangunkan industri tanaman tersebut.

“Penyelidikan IPK juga memberi perhatian kepada penambahbaikan sosio-ekonomi dan budaya lebih 15,000 komuniti sekitar Tasik Kenyir terutama komuniti orang asli Semaq Beri dan Bateq yang berjumlah lebih 500 orang. Kumpulan penyelidikan berkenaan memain peranan penting dalam usaha untuk mengubah minda komuniti berkenaan bagi mengecapi kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.

“Usaha ini dilihat selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup masyarakat kumpulan B40 di negara ini,” kata Dr. Nor Aeni.

Dalam pada itu, antara penyelidikan teknologi dan pengurusan maritim yang telah memberi impak tinggi adalah Kumpulan Penyelidikan Tenaga Keterbaharuan Marin yang menemui kaedah baharu yang mesra alam untuk penjanaan tenaga.

Kajian Perikanan dan Akuakultur Tropika pula menjalankan penyelidikan untuk memastikan kecukupan makanan laut dan juga meningkatkan prestasi industri akuakultur sebagai jentera pertumbuhan ekonomi ketiga negara.

Hasil penemuan kajian seperti kaedah pengeluaran ketam, udang dan lobster, rawatan penyakit ikan, pembangunan sistem akuakultur telah dipindahkan kepada komuniti. Baru-baru ini, kumpulan berkenaan telah mengadakan Ekspedisi Saintifik Iktiofauna di sekitar perairan perairan Pulau Bidong, Terengganu bermula dari 28 September hingga 5 Oktober 2015.

Menerusi ekspedisi tersebut, UMT telah berjaya menemukan spesies ikan yang baharu di kawasan terumbu karang sebelah barat daya Pulau Bidong. Spesies ikan tersebut adalah dari famili ikan blennid bersirip tiga (Tripterygiidae) yang jarang dijumpai. Selain itu, sebuah Buku Rujukan Taksonomi ikan juga akan diterbitkan hasil dari ekspedisi tersebut.

Mengenai penyelidikan yang berjaya dihasilkan Dr. Nor Aeni menjelaskan, ia boleh klasifikasikan berdasarkan tiga golongan sasar yang menerima manfaat daripadanya iaitu rakan kesepakaran, industri dan komuniti.

“Hasil penyelidikan UMT pula boleh diklasifikasikan dalam tiga bentuk inovasi iaitu inovasi ilmu, inovasi teknologi dan juga inovasi sosial,” ujar beliau.

Pusat kecemerlangan perkukuh penyelidikan

Dalam pada itu menurut Prof. Datuk Dr. Nor Aeini Mokhtar, ekosistem penyelidikan di UMT mempunyai tiga bahagian utama iaitu pusat kecemerlangan, penyelidikan kluster dan penyelidikan bidang tujahan.

Pusat kecemerlangan (CoE) atau lebih dikenali sebagai institut penyelidikan merupakan sebuah platform yang mengumpulkan pakar-pakar penyelidikan dalam bidang tujahan UMT dan memberi tumpuan kepada penyelidikan berfokus.

Penyelidikan kluster adalah berfokuskan kepada penyelidikan fundamental yang dapat menjana ilmu baharu dalam bidang masing-masing manakala penyelidikan nic berfokus kepada penyelidikan perdana yang dibangunkan oleh penyelidik UMT.

Beliau turut menegaskan bahawa UMT tidak pernah lari daripada memperkasa bidang tujahannya sejak dahulu lagi.

“Sepert yang diketahui, bidang tujahan UMT adalah ilmu kelautan dan sumber akuatik.

“Saya ingin tegaskan, UMT masih berada pada landasan yang telah ditetapkan. Kami masih lagi berpaksikan bidang tujahan dalam setiap perancangan hala tuju universiti.

“Ini dapat dilihat menerusi beberapa siri pelaksanaan transformasi penyelidikan dan inovasi yang telah digerakkan di UMT seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik UMT (2013-2017),” ujar beliau.

Beliau turut berkongsi maklumat berkenaan dengan NRGS (Niche Research Grant Scheme) yang merupakan program perdana baharu UMT.

NRGS merupakan geran yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyokong bidang tujahan universiti yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tempoh penyelidikan selama lima tahun bermula daripada tahun 2014 sehingga tahun 2018.

Mengenai pencapaian UMT, beliau berbangga dengan prestasi penyelidikan UMT setakat ini. Sebagai contoh bilangan pensyarah UMT yang menghasilkan artikel dalam jurnal kini telah mencecah nisbah 1:1.3 dan 15 peratus daripada artikel itu diterbitkan dalam jurnal sukut tahun pertama Q1 dan Q2 yang menjadi bukti kesungguhan penyelidik UMT berkongsi hasil penemuan untuk manfaat bersama.

Penyelidik UMT telah berjaya menghasilkan lebih daripada 400 produk inovasi dan hasil inovasi tersebut telah memenangi lebih daripada 30 pingat dan anugerah di peringkat antarabangsa. UMT kini sedang dalam proses mengkomersialkan 33 produk inovasi sedia ada dan untuk tujuan itu, syarikat perniagaan universiti, UMT Jaya Holding diberi tanggungjawab melaksanakannya.