Jumlah sisa makanan yang banyak itu sebenarnya satu ‘aset’ yang boleh dimanipulasikan sebagai penjanaan bahan berguna.

Walau bagaimanapun, ia memerlukan inisiatif dan usaha berterusan, pengorbanan serta kos tertentu.

Antara program popular yang banyak dijalankan setakat ini adalah kitar semula atau konsep 3R (Reduce, Reuse dan Recycle).

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya telah lama melaksanakan Program Kitar Semula Jadi UKM, yang diadakan untuk mengukuhkan serta menyemarakkan amalan kitar semula dalam kalangan warga kampus.

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, ia merupakan satu cara menyelamatkan bumi daripada terus binasa dan sampah sarap yang dibuang oleh manusia.

Katanya, pada masa ini lebih 50 peratus daripada sampah yang dibuang yang dijana di tapak pelupusan adalah sisa organik.

Ini menunjukkan jumlah yang agak tinggi dan membimbangkan. Justeru kata beliau, pengurangan sisa organik seperti ini dapat membantu mengurangkan pemanasan global

“Kita perlu menghadapi cabaran dengan penambahan sampah setiap hari konsep 4R (Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle),” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Program Kitar [email protected] di Bangi baru-baru ini. Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan Penyelidikan Inisiatif Kampus Sisa Sifar UKM, Prof. Madya Dr. Noor Ezlin Ahmad Basri dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program Kitar Semula @U UKM, Nik Mohd. Faizal Md. Saad.

Katanya, budaya tersebut hasruslah diamalkan dan menjadi amalan rakyat mengubah cara pemikiran, mengurangkan sisa ke arah Kampus Sisa Sifar.

Menurut beliau lagi, pengurusan UKM berbesar hati, menganjurkan program tersebut yang bertujuan memelihara dan memulihara alam sekitar

Katanya, aktiviti ke arah mencapai sisa sifar seperti pengkomposan sisa organik, kitar semula dan gotong royong sebahagian daripada usaha melindungi alam semula jadi.

Menerusi program tersebut, ia telah mencapai tanda aras awal yang baik menerusi penubuhan pusat kitar semula UKM dan penghasilan baja kompos yang diproses di universiti berkenaan.

Abdul Wahab berkata, program tersebut adalah sejajar dengan hasrat dan cita-cita UKM untuk menjadi kampus bersih, hijau dan lestari dan bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai usaha dijalankan universiti tersebut sejak pelancaran UKM Kampus Lestari oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 21 Jun 2017.

“UKM sedang bergerak menjayakan hasrat besar negara untuk mempromosi pengasingan sisa pada peringkat puncanya lagi.

“Antaranya termasuklah inisiatif kampus sisa sifar menerusi perjanjian kerjasama syarikat Alam Flora pada 18 Disember 2008 yang melibatkan kempen kesedaran aktiviti kitar semula, pengasingan sisa makanan dan pengkomposan sisa organik dan program kitar semula di semua fakulti dan pusat tanggungjawab (PTJ),” katanya lagi.

Dengan adanya barang-barang yang boleh dikitar semula, ia dikumpulkan bagi tujuan kerja amal dan sisa organik akan dijadikan baja kompos.

Menurut beliau, inisiatif tersebut sangat bermakna untuk difahami dan diamalkan sebagai budaya warga kampus UKM.

UKM urus sisa sifar ke arah kampus lestari

Kumpulan Penyelidikan Kampus Sisa Sifar, UKM Prof. Madya. Dr. Noor Ezlin Ahmad Basri berkata, usaha ke arah pengurusan sisa pepejal lestari di universiti berkenaan bermula dengan inisiatif Kampus Sisa Sifar UKM yang dilancarkan secara rasminya pada 13 Januari 2010 oleh Naib Canselor UKM ketika itu, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Usaha murni tersebut katanya, dimulakan oleh bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Antarabngasa (HEPA) UKM, Prof. Datuk Dr. Ir. Hassan Basri yang berjaya memulakan beberapa inisiatif untuk menggerakkan UKM ke arah kelestarian kampus.

Beliau berkata, penubuhan Kampus Sisa Sifar itu juga dimulakan sempena perjanjian persefahaman (MoU) UKM bersama Alam Flora yang ditandatangani pada 18 Disember 2008. Menerusi MoU tersebut, pelbagai usaha dirancang bagi meningkatkan kualiti pengajaran yang mampan dan mesra alam.

“Perkongsian pintar ini termasuklah antaranya pengajaran seminar, persidangan, latihan, bengkel, kursus latihan berkaitan pengurusan sisa pepejal yang mampan,” ujarnya.

Tapak kampus UKM untuk merawat sisa organik hasilnya digunakan dan dijual kepada komuniti termasuklah Program Masjid Lestari di Bandar Baru Bangi yang berlangsung selama tiga bulan.

Matlamat utama usaha itu adalah untuk menguruskan sisa pepejal di dalam dan kawasan sekitar kampus UKM serta Bandar Baru Bangi agar menjadi mesra alam dengan mengambil kira faktor pengurusan bersepadu, penjimatan sumber dan penjagaan ekosistem.

“Dengan kerjasama Prasarana UKM, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) serta Pusat Citra, saya pasti akan mencapai sasaran menjadi sebuah kampus yang lestari,” ujarnya.

Ketika ini, antara fokus pengurusan sisa pepejal lestari termasuklah meningkatkan amalan kitar semula dan pengurusan sisa makanan serta sisa landskap dengan lebih mampan untuk menghasilkan baja kompos dan biogas.

Pelbagai usaha dijalankan untuk mengurangkan kadar penjanaan sisa makanan menerusi pelbagai kempen dan penyelidikan, termasuklah makan sampai habis mengambil makanan sekadar perlu, penyelidikan pengkomposan biogas dan biopengeringan untuk merawat sisa organik serta penyelidikan yang bermanfaat untuk masyarakat.

Dalam pada itu Presiden Ekorelawan UKM, Tassim Zainal memberitahu, persatuan tersebut mula ditubuhkan pada 2013 di Kolej Ibu Zain.

Ia kemudian dijenamakan semula sebagai Kelab Ekorelawan UKM dengan jumlahnya ahli aktif lebih kurang 200 orang daripada jumlah keseluruhannya 1,500 orang terdiri daripada pelajar UKM, alumni, staf UKM dan komuniti luar kampus.

“Aktiviti yang dijalankan lebih bercorak kesukarelawanan alam sekitar, komuniti dan pendidikan,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program Kitar Semula @U UKM , Nik Mohd. Noor Faizul Md. Saad, program kitar semula sudah dimulakan sejak 2007 lagi.

“Kita mempuyai galeri kitar semula bagi menyuburkan minat warga kampus dalam aktivit kitar semula,” ujarnya.

Pusat tersebut membeli botol plastik, kertas, minyak masak terpakai, pada harga 80 sen sekilogram dan kotak minuman.