Namun, dengan perkembangan teknologi terkini dan usaha berterusan, penggantian tisu-tisu rosak pada tubuh manusia bukan sesuatu yang mustahil.

Di Malaysia, kejuruteraan tisu merupakan bidang yang sedang berkembang pesat diterajui oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang kini dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Perintis yang membawa masuk kepakaran tersebut merupakan pakar perubatan daripada pusat itu sendiri iaitu Prof. Datuk Dr. Ruszymah Idrus.

Dr. Ruszymah menjelaskan, usaha menubuhkan Makmal Kejuruteraan Tisu bermula tahun 1999.

“Bagaimana pun kawasan bangunan PPUKM yang terhad membolehkan kami memiliki sebuah bilik kecil untuk dijadikan makmal kejuruteraan tisu,” katanya ketika di temui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Dr. Ruszymah, pertambahan alatan dan pelajar yang berminat menjalankan kajian berkenaan kejuruteraan tisu menyebabkan mereka terpaksa menambah sebuah lagi bilik untuk dijadikan sebuah lagi makmal.

Kajian kejuruteraan tisu pula telah mendapat perhatian beberapa doktor pakar kulit yang pada ketika itu sedang merawat seorang pesakit.

Keadaan pesakit yang kritikal akibat kehilangan sebahagian besar tisu kulit mendorong Dr. Ruszymah dan pasukannya memberanikan diri mencuba hasil kajian tersebut ke atas manusia.

“Pada ketika itu kajian kita telah berjaya merangsang pertumbuhan dan penyembuhan kulit terhadap haiwan seperti tikus dan kambing dengan sempurna.

“Walau bagaimanapun ujian klinikal terhadap manusia tidak dapat dilaksanakan kerana produk yang dihasilkan masih di peringkat kajian. Namun pesakit pertama kita itu sudah tiada pilihan selain mencuba kaedah kejuruterana tisu yang kita hasilkan,” katanya.

Cubaan pertama ke atas pesakit tersebut membuahkan hasil yang amat baik serta berjaya membantu menyembuhkan kecederaan yang dialami.

Sejak dari itu, Dr. Ruszymah dan pasukannya menjadi semakin bersemangat meneruskan kajian dan mengkomersialkan penemuan tersebut.

Walau bagaimanapun, kejayaan dan kegembiraan tersebut tidak bertahan lama apabila beliau dan pasukannya diarahkan menghentikan projek tersebut terhadap manusia kerana tidak memiliki makmal mengkultur tisu kulit manusia yang lengkap dan sempurna.

Masalah tersebut tidak mematahkan semangat Dr. Ruszymah sebaliknya mendorong beliau berusaha lebih gigih untuk menubuhkan sebuah Makmal Kejuruteraan Tisu yang lengkap serta layak mengkultur tisu kulit manusia untuk tujuan pengkomersialan.

“Pada waktu itu halangan terbesar adalah untuk mendapatkan dana sekitar RM10 juta bagi membangunkan makmal khas tersebut.

“Makmal yang sedia ada hanya boleh digunakan untuk membuat kajian dan tidak dilengkapi dengan kemudahan dan pensijilan khas untuk tujuan pengeluaran.

“Oleh yang demikian, kami perlu membangunkan sebuah makmal khas bagi tujuan pengulturan tisu manusia secara besar-besaran yang memenuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Setelah berhempas-pulas, akhirnya usaha Dr. Ruszymah berhasil apabila Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bersetuju menyumbang dana sejumlah RM7 juta.

Baki keseluruhan dana iaitu sekitar RM3 juta pula disumbangkan oleh UKM sendiri menerusi naib canselornya pada ketika itu.

Bermula tahun 2013 hingga sekarang, makmal tersebut terus melaksanakan pelbagai ujian percubaan klinikal.

Asas kejuruteraan tisu memerlukan sel yang banyak, bahan kerangka yang sesuai dan faktor pertumbuhan bagi menggalakkan pertumbuhan sel.

Sel pertama yang dikultur di makmal tersebut adalah sel rawan manusia atau konrosit.

Fokus utama pada ketika itu adalah untuk merawat cuping telinga bagi pesakit yang dilahirkan dengan ketiadaan cuping telinga.

Seterusnya, sel rawan sendi lutut yang dikultur bagi membolehkan sel kondrosit tersebut digunakan bagi merawat kecerderaan rawan sendi.

Rawan yang dihasilkan dengan kaedah kejuruteraan tisu itu terbukti berupaya membantu menyembuhkan kecederaan fokal pada sendi lutut kambing biri-biri yang menjadi bahan kajian.

Kejayaan dua produk asas tersebut membuka laluan kepada teknologi pembiakan sel kulit yang terdiri daripada sel keratinosit dan sel fibroblas.

Sel kulit itu pada mulanya akan dibiakkan secara berasingan untuk mencapai bilangan sel yang mencukupi sebelum kulit gantian dwilapisan dapat dihasilkan dengan kaedah kejuruteraan tisu.

Dikenali sebagai MyDerm kerana sel dan bahan kerangka yang digunakan adalah merupakan sel kulit yang diambil daripada pesakit itu sendiri.

Secara konsepnya, kaedah kejuruteraan tisu yang dibangunkan adalah bagi mengkultur atau membiakkan sel tisu kulit pesakit itu sendiri.

Keadaan tersebut sekali gus dapat mengatasi permasalahan dan keraguan terhadap status halal bahan atau sel yang digunakan.

“Sel yang kita ambil adalah daripada sel pesakit itu sendiri dan bukannya sel daripada haiwan mahupun manusia lain.

“Daripada sel tersebut kita biak dan kembangkan menjadi lapisan kulit baharu yang lebih besar sebelum ditampal pada bahagian anggota pesakit yang tercedera (kulit),” katanya.

Penggunaan sel pesakit itu sendiri juga membolehkan peratusan penerimaan terhadap kulit yang dikultur itu amat tinggi.

Kaedah rawatan penyembuhan luka tersebut merupakan rawatan alternatif bagi menggantikan kaedah graf kulit ketebalan sederhana (SSG) yang dihiris daripada pesakit.

Selain kulit dan sel rawan, pusat itu juga sedang mengkaji untuk mengkultur tisu tulang serta sel yang lebih mencabar seperti sel epitelium respiratori, sel saraf, sel kornea, sel konjunktiva, sel gigi, sel otot pundi kencing dan yang terkini sel otot jantung dan sel yang berupaya menghasilkan hormon insulin.

Walau bagaimanapun jelas Dr. Ruszymah, masih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi sel tersebut masih di peringkat awal dan memerlukan lebih banyak usaha dilakukan sebelum diaplikasikan kepada pesakit sepenuhnya.

Kelahiran bidang kejuruteraan tisu bermula pada pertengahan tahun 1980-an apabila Dr. Joseph Vacanti dari Children’s Hospital dan Dr. Robert Langer dari Institut Teknologi Massachusets (MIT) kelahiran Boston hadir dengan inovasi membina kerangka dan menanam sel pada struktur tersebut bagi menghasilkan tisu yang berfungsi.

Berikutan kejayaan demi kejayaan kejuruteraan tisu, beberapa pusat di Amerika Syarikat dan Eropah mula memberikan fokus terhadap bidang kejuruteraan tisu serta teknologi yang dihasilkan.

Selain Boston, Pittsburg juga giat melakukan penyelidikan dalam bidang yang sama oleh Dr. Robert Nerem di Georgia, Dr. Antonios Mikos di Houston dan Dr. Charles di Vacanti, Boston.

Bidang tersebut turut diaktifkan oleh Dr. Julia Polak dari Imperal College London. Manakala di Asia, kejuruteraan tisu diterajui oleh Dr. Minoru Ueda dari Jepun dan Dr. Yilin Chao dari China.

Setelah itu, bidang kejuruteraan tisu semakin berkembang dan Dr. Charles Vacanti dan Dr. Joseph Vacanti telah mengwujudkan Persatuan Kejuruteraan Tisu (TES) pada Januari 1996.

Apabila skop bidang kejuruteraan tisu semakin berkembang, nama persatuan telah ditukar kepada Persatuan Kejuruteraan Tisu Antarabangsa (TESi) dan kembali bertukar kepada Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (TERMIS).

Sehingga kini TERMIS terbahagi kepada tiga wilayah utama iaitu Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik.

Di Wilayah Asia-Pasifik TERMIS ditubuhkan pada Julai 2005 di Seoul dipelopori oleh Persatuan Kejuruteraan Tisu Korea Selatan yang diketuai oleh Dr. Hai Ban Lee.

Di Malaysia, penyelidikan kejuruteraan tisu dimulakan oleh Dr. Aminuddin Saim pada penghujung tahun 1999 yang mendapat didikan terus daripada Dr. Charles Vacanti ketika membuat ‘fellowship’ di Universiti Massachusetts (UMass) dan Sekolah Perubatan Harvard.

MyDerm dikomersialkan

 

Sebagai salah sebuah pusat penyelidikan unggul dalam bidang perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berbangga apabila sekumpulan penyelidik mereka berjaya menghasil serta mula mengkomersialkan produk kulit gantian yang dikenali sebagai MyDerm.

Penubuhan Pusat Kejuruteraan Tisu yang merupakan salah satu daripada lima pusat kecemerlangan di Pusat Perubatan UKM kini mula membuahkan hasil menerusi produk sulung mereka tersebut selain menawarkan kepakaran di dalam bidang yang sama.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, pusat tersebut yang telah dianugerahkan dengan status Pusat Kecemerlangan Penyelidikan pada tahun 2008 telah terlibat secara aktif dalam perkembangan dan kajian klinikal menggunakan tisu dan sel manusia seperti kulit, rawan, tulang, saraf, kornea dan tisu jantung.

Jelasnya, penghasilan produk MyDerm merupakan antara kejayaan besar buat pusat tersebut dalam bidang kejuruteraan tisu oleh kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Ruszymah Idrus.

“Kini MyDerm telah menghampiri peringkat akkhir ujian klinikal dengan usaha sama beberapa pakar bedah dan ahli klinikal daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (PPUKM).

“Kajian klinikal MyDerm yang bermula dari tahun 2013 mula membuahkan hasil. Beberapa pesakit yang diberi rawatan menunjukkan pemulihan yang amat memuaskan terutamanya dalam proses merawat luka kebakaran, trauma dan ulser diabetik sekali gus memberi sinar baharu kepada pesakit tersebut,” katannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis lawatan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya sempena penganugerahan Malaysia Book Of Records di ibu negara baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut adalah Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah PPUKM, Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, serta Pengurus Besar, Malaysia Book Of Records, Helilia Juana Hashim.

Tambah Dr. Noor Azlan, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sains dan Inovasi (MOSTI) kerana mempercayai pusat tersebut dalam membangunkan MyDerm.

“Tidak lupa juga ucapan penghargaan kepada MTDC (Malaysia Technology Development Cooperation) atas sokongan dana bagi membina kemudahan yang bertaraf amalan pengilangan baik (GMP) di pusat ini.,” katanya.

Kini jelasnya, UKM sedang memfokus kepada proses pengkomersialan produk MyDerm secara besar-besaran dan usaha tersebut dilihat selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah memberi mandat kepada institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkenalkan sesuatu produk atau teknologi yang dihasilkan kepada masyarakat.

Bagi menyahut seruan tersebut pusat itu telah bekerjasama dengan anak syarikat terbitan UKM, iaitu Cell Tissue Technology Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Dr. Khairul Izwan Baharin bagi mengkomersialkan produk tersebut.

“Kami di pihak UKM juga ingin memaklumkan bahawa syarikat ini juga sudah memulakan aktiviti kajian dan pengembangan (R&D) mereka yang tersendiri dan berjaya pula menghasilkan produk baharu yang dikenali sebagai derm-autologous,” kata Dr. Khairul Izwan.

Bagi memastikan kerjasama sentiasa berterusan di antara pusat tersebut bersama Cell Tissue Technology dalam program berkaitan akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan, satu perjanjian telah ditandatangani.