Jadi, sekuriti bekalan makanan hanya akan tercapai sekiranya Malaysia melakukan sesuatu untuk meningkatkan produktiviti dan kapasiti pengeluaran hasil pertanian.

Inilah yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengorak langkah melakukan penyelidikan menghasilkan dua varieti benih padi baharu yang lebih tahan lasak dan rintang penyakit.

Objektif penghasilan dua varieti UKMRC2 dan UKMRC8 itu bertujuan untuk meningkatkan potensi hasil padi berbanding benih padi sedia ada.

UKMRC2 dan UKMRC8 ialah varieti benih yang dilahirkan melalui progeni kacukan berbalik terkehadapan padi liar, Oryza rufipogon sebagai induk betina dengan padi tempatan, kultivar MR219 sebagai induk jantan pada kacukan pertama.

Hasil kajian Penyelidik UKM, Prof. Dr. R. Wickineswari bersama bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Abdullah Md. Zain itu mendapati hasil tuaian padi varieti tempatan dapat ditingkatkan 20 peratus menggunakan gen yang terdapat dalam spesies padi liar.

Mengulas lanjut, Dr. R. Wickineswari berkata, spesies padi liar daripada alam semula jadi mempunyai kemampuan dalam meningkatkan ciri seperti ketahanan kepada banjir, penyakit, serangan perosak dan mempengaruhi peningkatan hasil.

Katanya, penyelidikan peringkat nasional ini telah dijalankan sejak 16 tahun yang lalu dengan biayaan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Bermakna, ia adalah penyelidikan yang pertama kali dilakukan di negara ini menggunakan spesies padi liar yang berasal dari Kelantan itu sebagai induk betina.

Proses pendebungaan terkawal telah dijalankan beberapa kali dan ditulenkan sebelum benih asas ini dihasilkan.

“Ini boleh dikatakan sebagai satu penyelidikan yang agak luar biasa kerana kebiasaanya pembiakbaka hanya akan menggunakan titisan sedia ada bagi tujuan kacukan dan pemilihan.

“Tetapi kajian ini berbeza dari kebiasaannya apabila kami menggunakan gen daripada spesies padi liar yang diambil daripada aksesi yang disimpan di Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) di Filipina,” katanya pada majlis pelancaran varieti benih padi tersebut di Simpang Ampat Semanggol, Semanggol, Perak baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr. R. Wickineswari menjelaskan, kedua-dua benih ini mampu hidup walaupun ditenggelami air selama dua hingga tiga minggu.

Melalui ujian yang dilakukan di makmal, anak benih yang disemai dalam pasu masih hidup walaupun telah dibiarkan didalam air selama 14 hari.

Justeru, ia menunjukkan varieti ini tahan kepada banjir melalui genetik yang terdapat didalam spesies liar yang toleran terhadap air.

“Dari segi ujian ketahanan kepada penyakit pula menunjukkan varieti ini rintang kepada penyakit seperti karah daun.

“Dalam kajian yang dilakukan di makmal dan di rumah hijau, kita telah menjangkitkan anak pokok dengan kulat dan mendapati simptom atau kesan jangkitan itu kurang,” ujarnya.

Kajian mendapati UKMRC-2 mempunyai potensi hasil sebanyak 12 tan sehektar dengan kerintangan kepada penyakit yang baik terutamanya kepada karah daun, kualiti pulangan pengilangan dan kepala beras yang tinggi iaitu sekitar 78 peratus dan 82 peratus serta mempunyai kadar kemandirian (SR) dalam keadaan bertekanan banjir yang sangat baik sehingga 88 peratus.

UKMRC8 pula mempunyai potensi hasil sebanyak 14 tan se hektar dengan kualiti pulangan pengilangan dan kepala beras yang tinggi antara 77 peratus dan 79 peratus serta mempunyai peratus pemanjangan (EP) dalam keadaan bertekanan banjir yang sangat baik (57 peratus) dengan rendaman selama 14 hari semasa fasa vegetatif.

Selain itu, kajian yang melibatkan kos kira-kira RM3 juta ini turut melibatkan pelajar lepasan siswazah iaitu lima pelajar ijazah sarjana muda, ijazah kedoktoran dan tiga pasca kedoktoran.

Berdasarkan dapatan data hasil penanaman 26 varian di Gurun, Seberang Perai dan Sungai Besar, UKMRC2, UKMRC3, UKMRC4 dan UKMRC8 telah didaftarkan sebagai varieti baharu tanaman pada Oktober 2014.

UKMRC2 dan UKMRC8 kemudiannya dipilih untuk menjalani Ujian Penentusahan Setempat (LVT) iaitu penanaman di sawah petani di 14 kawasan jelapang dan bukan jelapang di seluruh negara selama tiga musim.

Dua varieti itu seterusnya telah dibentangkan dan diluluskan oleh Jawatankuasa Teknikal Bantuan Kerajaan Kepada Industri Padi dan Beras (BKKIPB) pada 9 Februari lalu.

Semasa proses LVT dijalankan, UKM telah memberi benih kepada petani untuk ditanam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian dan dipantau oleh UKM dan rakan industri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan benih padi yang tahan kepada kemarau.

Objektif penyelidikan itu dijalankan adalah bagi menghasilkan benih padi yang toleran kepada tekanan abiotik sekali gus menstabilkan industri padi tempatan yang kian terjejas akibat pemanasan global ketika ini.

Menurutnya, penyelidikan yang turut melibatkan kerjasama daripada IRRI itu, kini sedang dalam peringkat ujian di sawah bersama petani dan dijangka mengambil masa selama dua hingga tiga tahun lagi.

Dalam pada itu, pesawah berpendapat , ancaman penyakit padi terutamanya karah daun dan bencana alam seperti banjir sering menjadi kebimbangan petani kerana boleh menjejaskan hasil padi sekali gus mendatangkan kerugian kepada mereka.

Bagi pesawah yang mengusahakan tanaman varieti padi UKMRC2 dan UKMRC8, Khairul Abd. Rahman, 33, dia berpuas hati dengan karakteristik varieti padi baharu itu yang lebih mudah dijaga serta mampu meningkatkan hasil pengeluaran.

Katanya, padi yang diusahakan sejak musim dua 2017 dengan keluasan setengah suku hektar bagi setiap varieti padi itu memberikan hasil yang berbeza berbanding padi sedia ada kerana hanya memerlukan penjagaan dari segi perlindungan musuh dan penyakit.

Tingkatkan produktiviti beras negara

SATU-SATUNYA cara untuk mengurangkan kebergantungan bekalan makanan negara terhadap negara luar ialah dengan meningkatkan produktiviti penghasilan beras negara yang mencukupi.

Oleh yang demikian, institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan yang penting dalam menjalankan kajian-kajian berimpak tinggi untuk meningkatkan hasil serta memperkukuh sektor makanan dan pertanian negara agar tidak bergantung kepada import sepenuhnya.

Ia juga sebagai satu langkah persediaan masa depan yang strategik untuk mengelakkan krisis makanan berlaku sekiranya negara pengeluar bekalan makanan menghadapi masalah atau menaikkan kadar harga atas faktor-faktor tertentu.

Disebabkan itu, Timbalan Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, UKM kini giat melaksanakan penyelidikan translasional sebagai salah satu tanggungjawab kepada rakyat dalam meningkatkan sektor pertanian sara diri.

Penyelidikan translasional, menurutnya, merupakan penyelidikan yang dilakukan oleh universiti yang kemudian hasil atau dapatannya akan diberikan kepada rakyat untuk dimanfaatkan.

“Dalam konteks penanaman padi, ia merupakan agenda penting kerana beras merupakan makanan ruji dan kalau tidak buat kajian kita akan terus bergantung kepada negara-negara luar.

“Kita mahu sekurang-kurangnya 80 peratus sumber pertanian disumbang oleh pertanian dalam negara dan menjadi salah sebuah pengeksport padi terbesar,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, penyelidikan ini antara lain diharap dapat membantu petani memilih varieti terbaik yang ada di pasaran selain dapat meningkatkan pendapatan petani melalui pertambahan hasil sekali gus mengubah status petani daripada golongan B40 kepada M40.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inovatif dan Kolaboratif UKM, Prof. Dr. Khairiah Badri menjelaskan, setiap hasil penyelidikan yang baharu harus didaftarkan sebagai varieti baharu tanaman sebagai perlindungan harta intelek.

Oleh itu, UKMRC2 dan UKMRC8 telah didaftarkan sebagai varian baharu dengan persetujuan daripada MARDI dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Asas tan supaya hasil penyelidikan itu dapat dipatenkan dan dilindungi hak cipta.

Setakat ini, katanya, UKM telah menghasilkan lima varieti beras iaitu tiga beras merah dan dua beras putih.