Sebagai contoh, Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar sejarah baharu bukan sahaja buat pusat penggajian tinggi tersebut malah dunia dengan kelahiran UiTMSat-1 iaitu satelit nano pertama bagi universiti di Malaysia melalui kerjasama Joint Global Multi Nation (Birds-2) dengan Bhutan dan Filipina yang diterajui Kyushu Institute of Technology (KyuTech) di Jepun.

Selain Malaysia, Bhutan dan Filipina turut menghasilkan satelit nano mereka sendiri iaitu Bhutan-1 dan Maya-1.

Ketua projek yang juga Pengarah Pusat Satelit Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Huzaimy Jusoh berkata, perancangan projek penyelidikan dan pembangunan UiTMSat-1 bermula sejak Januari 2016 dan secara rasminya bermula pada November tahun yang sama apabila menyertai projek kerjasama pintar Birds-2 bersama dengan Jepun, Filipina dan Bhutan untuk pembinaan satelit nano.

“Idea bermula hasil daripada kerjasama yang bermula sejak 2010 bersama penyelidik di Jepun dan juga beberapa universiti di Malaysia bersama dengan Agensi Angkasa Negara.

“Projek ini turut mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan UiTM yang melihat wujudnya keperluan untuk sebuah universiti di Malaysia untuk membina dan melancarkan sebuah satelit sebagai asas untuk menempa nama pada peringkat antarabangsa dalam bidang berteknologi tinggi,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran satelit nano UiTMSat-1, baru-baru ini.

Hadir sama Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Nasir Taib.

Tambah Mohamad Huzaimy, projek UiTMSat-1 yang dijalankan sepenuhnya di KyuTech dibina sepenuhnya oleh pelajar bawah seliaan rapi oleh pensyarah dan penyelidik dari Jepun, Malaysia dan Filipina dengan menerapkan konsep Lean Satellite iaitu usaha dan penilaian berterusan ke arah mengoptimumkan sumber sedia ada dalam mencapai hasil yang memuaskan pada masa yang pantas.

UiTMSat-1 bersama dengan dua satelit nano yang lain perlu dilancarkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebelum mula mengorbit bumi pada Ogos ini pada ketinggian orbit sekitar 400 kilometer (km) dari bumi.

Satelit nano itu difahamkan akan mengorbit bumi dengan kelajuan sekitar 28,000 km/j, yang mengambil masa 90 minit untuk melengkapkan satu putaran bumi.

“Satelit nano ini akan menjalankan misi-misi yang telah ditentukan seperti pengujian Sistem Penentududukan Global (GPS) yang baharu, merakam gambar negara yang terlibat, mengambil bacaan elektromagnetik angkasa dan menghantar serta menerima data dari stesen satelit bumi yang berada di negara terlibat termasuk di stesen satelit bumi di UiTM menggunakan frekuensi radio amatur,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, kos utama yang melibatkan peralatan, pengujian dan pelancaran dibiayai universiti menerusi Dana Kecemerlangan Akademik UiTM dengan subsidi oleh kerajaan Jepun dan Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNOOSA) bawah program Birds-2.

“Biasiswa dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini kepada dua pelajar pascasiswazah Malaysia (dari UiTM) yang merupakan antara 10 pelajar yang menjadi ahli kerjasama Birds-2 ini.

“Turut dibiayai geran penyelidikan dari negara-negara terlibat adalah kos bahan sekitar RM150,000; kos pengujian dan pelancaran sekitar RM400,000 dan kos-kos lain sebanyak RM100,000,” ujarnya.

Kerjasama Birds-2 turut membawa kepada penubuhan Pusat Satelit Komunikasi (UiTMSat) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Shah Alam bagi menjalankan penyelidikan berkaitan satelit dan teknologi angkasa.

Sehubungan itu, sebuah stesen bumi dibangunkan di UiTM sebagai platform atau hab penyelidikan satelit komunikasi dan bidang seumpamanya, juga dalam bahagian latihan dan konsultasi bersama kerjasama-kerjasama industri.

“Projek Birds-2 ini menjanjikan pelbagai peluang dari aspek teknologi, pendidikan dan komersial,” ujarnya.

Justeru, banyak jaringan antarabangsa diwujudkan menerusi kerjasama tersebut bagi membangunkan projek satelit di negara masing-masing melalui pengkongsian pengetahuan dan pengalaman.

Pengarah Pusat Komunikasi Satelit UiTM, Prof. Ir. Dr. Mohamad Huzaimy Jusoh berkata, kerjasama yang termeterai antara UiTM, Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) serta Kyutech dan Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA) bertujuan membangunkan kepakaran dalam pembinaan satelit nano dalam kalangan pelajar universiti tempatan.

Mengenai pelancaran UiTMSat-1, beliau memberitahu projek tersebut mencipta sejarah dalam bidang pendidikan selain pembangunan modal insan dalam bidang satelit serta angkasa lepas dapat dijalankan.

Projek UiTMSat bermula dengan perancangan misi satelit pada Disember 2016 yang membawa kepada mereka bentuk dan membina model satelit, menguji, memasang, sebagai persediaan bagi pelancaran yang dinantikan serta mengoperasikan satelit pada Mei lalu.

Kesemua 10 pelajar termasuk dua pelajar Malaysia iaitu Syazana Basyirah Mohamad Zaki dan Muhammad Hasif Azami bersama penyelia projek memberi komitmen dalam memastikan kelancaran perjalanan satelit nano Birds-2, ditambah pula dengan kerjasama daripada setiap negara dalam menjana idea serta cadangan bagi menambah baik projek.

“Data yang diperoleh dari satelit ini akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan penyelidikan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, pelancaran tersebut mencatat sejarah baharu kepada UiTM dan negara.

“Ketika mula-mula masuk (menyertai) UiTM dua tahun lepas, saya fikirkan apa yang perlu dilakukan dalam memberi impak dan sumbangan. Saya memikirkan agar kita (UiTM) dapat lakukan sesuatu yang lain daripada lain.

“Justeru itu terhasillah kereta pertama Malaysia tanpa pemandu dan satelit nano ini. Saya berharap selepas ini hasrat ketiga iaitu melihat pelajar memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik akan tercapai,” ujarnya.

Mengenai penciptaan satelit nano tersebut, beliau berkata, projek itu berkenaan melibatkan 10 pelajar dan dua daripadanya adalah pelajar ijazah dan doktor falsafah yang sedang menuntut di KyuTech yang lahir dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM menjadi ahli kerjasama Birds-2 itu.

“Pelancaran (satelit) ini menandakan permulaan kepada kita (UiTM) untuk lebih serius dalam pembangunan teknologi angkasa lepas, sekali gus membuktikan kemampuan warga kita dalam bidang ini,” katanya lagi.