Kesedaran dalam kalangan pengguna terhadap kebersihan dan sumber baja yang digunakan dalam pertanian semakin meningkat saban hari.

Atas faktor tersebut, seorang penyelidik dari Institut Pertanian Tropika, Universiti Putra Malaysia (UPM), Fariz Adzmi berjaya menghasilkan sejenis perumah bagi bahan-bahan tersebut lebih perlahan agar sempat diserap oleh tumbuhan.

Menurutnya, penggunaan baja dan racun serangga daripada bahan kimia dalam bidang pertanian boleh mencemarkan udara, merosakan alam sekitar serta meninggalkan sisa berbahaya.

“Lebih teruk keadaan tersebut menyebabkan organisma yang hendak dihapuskan menjadi lebih rintang apabila berulang kali digunakan.

“Faktor ekonomi (kos), teknikal dan alam sekitar menyebabkan satu kaedah baharu perlu dihasilkan seperti penggunaan agen kawalan biomikroorganisma (BCA) untuk mengawal patogen,” katanya.

Jelas Fariz lagi, untuk menggunakan BCA, cabarannya adalah untuk memasarkannya serta mampu menyaingi bahan kimia lain dengan meningkatkan jangka hayat kapsul yang menyimpannya.

Bagaimanapun, keadaan tersebut dapat diatasi dengan kajian terbaharu pengkapsulan BCA bersama bahan aktif.

Pengkapsulan membolehkan mikro organisma dapat bertahan lebih lama dalam suasana alam semula jadi mikro yang bersesuaian sebelum ditabur di kawasan yang diperlukan.

Setelah ditabur, mikroorganisma yang bertanggungjawab juga dapat dibebaskan secara perlahan-lahan membolehkannya tidak hilang begitu sahaja.

Dikenali sebagai UPM Tricho Beads, inovasi terbaharu itu mampu memperbaiki struktur tanah serta memperbaiki pertumbuhan pokok.

UPM Tricho Beads sedang dalam proses pengkomersialan dan bakal menemui pengguna dalam jangka masa terdekat.