Pada 2018, WWD disambut dengan tema Kucing Besar: Pemangsa Terancam. Dengan tema itu dapat memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat dunia tentang melindungi kumpulan kucing pemangsa termasuk harimau dan mengurangkan pemburuan serta pemerdagangan haram harimau. Selain harimau, haiwan primat juga menghadapi ancaman.

Mengikut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), populasi harimau di seluruh dunia telah berkurang kepada 3,890 ekor dengan jangkaan populasi Harimau Malaya juga terus berkurangan serendah 250 ekor pada 2003.

Pada Jun 2015, Harimau Malaya berada dalam Senarai Merah spesies yang sangat terancam Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Pengiktirafan IUCN terhadap bilangan Harimau Malaya dan komitmen kerajaan dalam pemuliharan harimau, maka seluruh rakyat Malaysia mestilah bersungguh-sungguh dalam menyokong program pemuliharaan spesies berkenaan di Semenanjung. Sumbangan kepada pemuliharaan harimau boleh dalam bentuk sokongan moral, memberikan pendidikan, sumbangan kewangan dan membantu kerajaan dalam pemantauan serta penguatkuasaan.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) sudah lama memperjuangkan perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar amnya dan Harimau Malaya khususnya di habitat semula jadi mereka. Satu tabung khas perlu ditubuhkan bagi menyokong kempen selamatkan Harimau Malaya. MNS mengajak semua pihak bersatu bagi menubuhkan Tabung Pemuliharaan Harimau Malaya bagi mengumpul dana yang secukupnya membantu usaha kerajaan memantau, melindungi dan menguatkuasakan undang-undang.

WWF melaporkan ancaman utama pemuliharaan Harimau Malaya ialah pemburuan haram dan perdagangan harimau secara haram. Pemerdagangan haram hidupan liar adalah yang ketiga selepas dadah dan senjata api. Antara tahun 2000 dan 2015, WWF menganggarkan bahagian-bahagian daripada 103 ekor harimau telah di rampas di negara ini. Pada 2010 hingga 2013 lebih 2, 241 jerat yang dipasang pemburu haram dan 1,728 kem haram dijumpai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja untuk pemuliharaan Harimau Malaya. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga menganggarkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Sehingga kini bilangan Harimau Malaya yang direkodkan di Malaysia kurang daripada 200 ekor. Dengan tekanan pengurangan habitat, kurang populasi makanan utama harimau di habitatnya, pemerdagangan haram harimau dan pemburuan haram, tindakan segera mesti diambil bagi memastikan populasinya terkawal.

Pemerdagangan haram berleluasa disebabkan permintaan yang tinggi di pasaran gelap. Berdasarkan rekod Perhilitan, pada 2013 hingga 2018 terdapat peningkatan jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan yang melibatkan sebanyak 98 orang warganegara tempatan dan 64 orang warganegara asing.

Dalam tempoh yang sama sebanyak 3,500 jerat telah dimusnahkan.

Pelancaran Kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020 secara rasminya dijadualkan dilancarkan pada 29 Julai ini sempena sambutan Hari Harimau Sedunia.

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali telah dilantik sebagai penaung kempen berkenaan. Pelantikan beliau sebagai ikon negara mengharapkan usaha selamatkan Harimau Malaya menjadi kenyataan. Kempen sepanjang 2019 hingga 2020 melalui pelbagai program konservasi dan penguatkuasaan, kesedaran awam, pengukuhan dana dan tanggungjawab sosial korporat.

Sempena WWD, adalah diharapkan semua pihak bersama-sama memahami kepentingan pemuliharaan hidupan liar dan kesejahteraan kepada generasi akan datang dan perlu melibatkan semua pihak berkaitan.

Selain Harimau Malaya, hidupan liar lain turut terancam kerana perkara yang sama iaitu kehilangan habitat, pemburuan haram, pemerdagangan haram dan pencemaran terus berlaku.

Secara amnya, dengan menyediakan habitat yang cukup dan dilindungi, semua populasi hidupan liar ini akan dapat dikawal. Apa yang diperlukan ialah meningkatkan pengetahuan dan kesedaran awam, penyelidikan dan pemantauan berterusan serta penguatkuasaan undang-undang yang cekap.

Beruk kentoi antara haiwan primat yang tertinggal dalam kebanyakan perbincangan tentang pemuliharaan hidupan liar. Makanan spesies ini terdiri daripada bijian, daun, akar dan haiwan kecil seperti serangga, katak, telur dan ketam.

Kewujudannya hanya di kawasan Wang Kelian, maka beruk kentoi perlu diberikan perhatian serius.

Di Bangladesh, beruk kentoi sudah dilaporkan pupus.

Kemungkinan beruk kentoi pupus di Perlis boleh berlaku disebabkan pemencilan habitat, pemburuan haram dan melintas sempadan.

Berdasarkan senarai IUCN, beruk kentoi berada dalam senarai haiwan terancam dan menghadapi kepupusan. Haiwan ini terancam disebabkan kehilangan habitat, pembalakan, dan pemburuan. Penduduk tempatan menangkap haiwan ini untuk makanan, perubatan tradisional dan sukan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis dilaporkan pernah melepaskan sekumpulan beruk kentoi yang dipelihara di Taman Primat Sungai Batu Pahat ke hutan simpan Wang Mu, Wang Kelian, Padang Besar sebagai langkah memberikan kehidupan lebih selesa kepada spesies tersebut.

Beruk yang berusia lingkungan enam tahun itu terdiri daripada seekor jantan dan empat betina yang dilekatkan dengan mikrocip bagi memudahkan proses pemantauan.

Beruk kentoi dalam kurungan dilaporkan paling banyak di Malaysia berbanding negara lain di dunia.

Spesies ini boleh didapati di Zoo Negara, Zoo Taiping dan Zoo Melaka.

Oleh kerana keunikan haiwan ini dan ia terdapat di Malaysia, maka penyelidikan segera perlu dijalankan mengenainya.