Ayahnya hanya merupakan seorang juruteknik sebuah syarikat telekomunukasi manakala ibunya seorang suri rumah. Kehidupan sederhana anak jati Kuantan, Pahang ini berubah tatkala menjejakkan kaki ke Universiti Putra Malaysia (UPM) sehinggalah bergelar pensyarah dan saintis di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan universiti berkenaan.

Baru-baru ini Dr. Abhimanyu dinobatkan sebagai pemenang utama dalam pertandingan berprestij komunikasi sains, FameLab International Final 2016 di Cheltenham, United Kingdom, mengalahkan saintis dari 25 negara seluruh dunia. Beliau menerima Anugerah Komunikasi Sains Terbaik anjuran The Times Cheltenham Science Festival, United Kingdom April lalu.

Menurut Dr. Abhimanyu, sejak festival tersebut dianjurkan pada 2005, FameLab muncul sebagai pertandingan komunikasi sains utama dunia.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua ahli sains, ahli matematik dan jurutera dari seluruh dunia.

“Pada peringkat akhir pertandingan, setiap peserta hanya diberikan tiga minit masa untuk menerangkan kajian yang sedang dilakukan dengan cara paling ringkas dan menarik,” katanya.

Jelas Dr. Abhimanyu, peserta tidak dibenarkan menggunakan sebarang peralatan elektronik serta perisian komputer seperti aplikasi Powerpoint.

Sebaliknya, mereka hanya dibenarkan membawa sebilangan kecil bahan untuk membantu menerangkan kajian yang dilakukan.

Bagi Dr. Abhimanyu, dia tampil dengan kreativitinya yang tersendiri iaitu sehelai baju-T yang ditempah bersama lakaran gambar organ dalam manusia seperti saluran penafasan, paru-paru dan usus.

“Saya menjalankan kajian berkenaan sel-sel yang imun yang boleh menyerang sel kanser serta perkara yang berkaitan genetik.

“Untuk menjadikannya lebih menarik, saya telah menempah lampu diod pemancar cahaya (LED) dilekatkan bersama baju-T yang menunjukkan pergerakan sel-sel imun menyerang sel kanser di dalam usus serta paru-paru manusia,” katanya.

Pembentangan Dr. Abhimanyu memfokuskan bagaimana kanser boleh dielakkan dengan gaya hidup lebih baik menerusi komunikasi berkesan.

Tambahnya lagi, setiap peserta yang mengadakan persembahan akan dihakimi beberapa saintis terhebat dunia, personaliti media dan pembuat polisi sains berdasarkan kandungan, kejelasan dan karisma persembahan mereka.

Setiap pemenang kebangsaan kemudiannya bertandingan dengan lebih 25 peserta global pada festival tersebut setiap Jun. Berkongsi kejayaannya, Dr. Abhimanyu berkata terdapat keperluan untuk berkomunikasi dengan berkesan, terutama kepada penonton bukan saintifik, mengenai perkara tersebut.

“Komunikasi adalah penting untuk memastikan kemajuan dalam sains diterjemahkan kepada kehidupan sebenar,” katanya.

Tahun 2016 merupakan tahun kedua Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang direka untuk membincangkan teknologi sains dan konsep kejuruteraan. Famelab Malaysia dianjurkan bersama Kumpulan Kerajaan-Industri Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan British Council.