Dengan kepelbagaian landskap tropika yang merupakan habitat bagi ratusan spesis burung, maka tidak hairanlah jika Malaysia menjadi lokasi pilihan bagi pemerhati burung untuk merasai pengalaman melihat kepelbagaian burung eksotik dan jarang ditemukan.

Selain itu, menerusi aktiviti itu juga, maklumat kehadiran sesuatu spesis burung dan jumlah burung pada sesuatu tempat boleh dijadikan kayu pengukur yang hampir tepat terhadap status baik atau buruknya keadaan alam semulajadi dan hutan.

Bukan itu sahaja, masyarakat kita agak ketinggalan dari sudut kajian pengambilan ilham dan ilmu yang ada pada spesies burung hasil daripada kegiatan pemerhatian burung.

Sebagai contoh, dalam industri kain fabrik dan fesyen pakaian, susunan corak dan warna bulu hias burung yang sangat menarik boleh dipindahkan ke atas kain fabrik, atau menjadi ilham kepada reka bentuk kenderaan mahupun perkembangan teknologi.

Oleh itu, aktiviti tersebut kini dianggap sebagai salah satu aktiviti yang mempunyai kepentingan tersendiri dan wajar diperkembang lagi.

Jurugambar sepenuh masa dan penulis buku, Rosla Mustakim, 51, berkata, aktivit berkenaan atau biasanya dipanggil birdwatching boleh dianggap sebagai satu aktiviti rekreasi yang lebih mesra alam dan agak baharu di negara ini.

Menurutnya, aktiviti melihat keindahan burung adalah satu bentuk pemerhatian hidupan liar apabila aktiviti itu dilakukan dengan memerhati burung sebagai satu bentuk rekreasi melalui penggunaan alatan seperti teropong dan teleskop atau boleh dilakukan dengan mata kasar, selain mendengar bunyi burung.

“Aktiviti ini sebenarnya telah bermula di Eropah sejak tahun 20-an hingga 30-an lagi, manakala di Malaysia ia bermula pada tahun 1880 apabila orang Inggeris memperkenal aktiviti tersebut kepada masyarakat tempatan pada waktu itu.

“Bagi masyarakat setempat ketika itu, aktivitu memburung dilakukan lebih kepada tujuan untuk menangkap burung, manakala orang Inggeris pula lebih kepada bentuk pelajaran seperti mengenali spesis burung, habitat, cara hidup dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Utusan, baru-baru ini.

Menurut bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, yang telah berjinak-jinak dengan aktiviti tersebut sejak tahun 2006, tujuannya menyertai aktiviti berkenaan didorong oleh minat peribadi dan lebih kepada pembelajaran.

Katanya, pada tahun 2007 dia mula berkenalan dengan ramai pelopor dalam aktiviti memburung seperti Dennis Yong dan Mike Chong, dan dari situ minatnya semakin bertambah dan mula serius dengan apa yang dilakukan.

“Sebelum ini saya pernah membuat bermacam-macam jenis kerja, sehinggalah saya menemui minat saya. Jadi, saya mula melibatkan diri dan menjadikan menyaksikan keindahan burung sebagai satu kerjaya.

“Fokus dan keutamaan saya untuk aktiviti ini bukan sahaja melibatkan pembelajaran, bahkan lebih kepada kebajikan memburung iaitu adab-adab dan disiplin dalam menzahirkan imej fotografi yang baik serta berkualiti,” katanya.

Tambah Rosla, sepanjang penglibatannya dalam bidang tersebut, sudah pasti pelbagai cabaran telah ditempuhi, apatah lagi minat dan kerjayanya itu memerlukannya untuk meneroka hutan belantara dan kawasan-kawasan yang berbahaya.

Tetapi, demi minat yang mendalam dan rasa cintanya terhadap haiwan ciptaan Tuhan itu, semua cabaran tersebut berjaya diharungi dengan pengalaman yang cukup berharga.

“Pengalaman yang paling tidak boleh saya lupakan ketika tersesat di dalam hutan paya bakau kerana mengejar burung yang sangat jarang ditemui. Lebih mencemaskan apabila waktu itu berlaku air laut pasang.

“Sudah pasti sesiapa sahaja akan berasa ajal bakal menjemput bila-bila masa sahaja ketika berada dalam situasi tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, cabaran-cabaran dan halangan yang terpaksa dilalui ketika menyaksikan burung bukan sahaja banyak memberi pengajaran kepada dirinya, malah melalui aktiviti berkenaan juga, manusia dapat merasai nikmat yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Ini kerana, secara tidak langsung, waktu melihat keindahan burung adalah satu waktu yang memberi peluang kepada diri untuk melihat kebesaran alam semesta ciptaan Ilahi, seterusnya dapat mendekatkan lagi diri kepada Maha Pencipta dengan pengisian rohani.

Minat yang cukup mendalam dalam bidang fotografi dan memburung juga telah membuka peluang kepada Rosla untuk menghasilkan karyanya melalui penulisan buku.

Mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan, Rosla kini boleh berbangga kerana telah berjaya menerbitkan tiga siri buku yang bertajuk Burung-burung di Semenanjung Malaysia: Hak Milik Kita Yang Terlepas Pandang Jilid 1, 2 dan 3.

Katanya, idea untuk menerbitkan buku timbul semasa membuat kajian mengenai burung di perpustakaan negara beberapa tahun lalu.

“Pada masa itu, saya dapati tidak ada buku-buku mengenai burung diterbitkan dalam bahasa Melayu. Semua bahan rujukan yang saya peroleh adalah dalam bahasa Inggeris.

“Maka dari situ, saya mula bercita-cita dan mencari ilham untuk menghasilkan buku dalam bahasa Melayu,” jelasnya.

Berkat sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan, jerit-perih dan pelbagai cabaran yang dilalui, akhirnya pada tahun 2014, Rosla telah berjaya mencetak dan menerbitkan bukunya sendiri.

Dengan kejayaan penerbitan buku-buku berkenaan, ia menjadikannya satu pengalaman yang cukup mengembirakan serta pencapaian yang sangat membanggakan.

“Memang tidak dinafikan, sepanjang proses penerbitan, juga ada pelbagai cabaran misalnya banyak pihak menolak dan tidak menerima hasil usaha saya.

“Walaupun begitu, dengan kegigihan dan kesungguhan ia pasti berjaya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Dewan Bahasa dan Pustaka telah banyak membantu dalam merealisasikan impian saya ini,” katanya.