Padahal seperti yang kita tahu sains itu dipelajari menerusi pembacaan buku ilmiah dan pemerhatian terhadap alam sekitar.

Lazimnya kajian saintis hanya terhad kepada dapatan sains sama ada melibatkan sains fundamental atau gunaan bertujuan menghasilkan sesuatu yang boleh digunakan oleh kumpulan sasar.

Nilai estetika atau keseniannya tidak begitu diambil perhatian meskipun ada kaitan dengan apa yang berlaku di sekeliling kita iaitu sebagai satu daripada elemen atau fragmen dalam kehidupan seharian.

Dengan meluaskan skop pandangan kepada nilai estetikan seni dalam penyelidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil dengan kelainan apabila menterjemahkan hasil kajian daripada penyelidikan yang dijalankan kepada sebuah hasil seni yang menakjubkan.

Hasilnya bukan sahaja unik, malah menarik minat orang ramai untuk mudah memahami hasil penyelidikan yang dilakukan sekali gus memupuk perasaan cinta akan sains.

Pameran tahunan di kampus UPM itu bertujuan menterjemahkan penyelidikan dan penemuan saintifik sebagai karya seni yang dikenali sebagai tradisi Nature’s Yield and Wonders of Art (Nyawa).

Pameran mengetengahkan penyelidikan dan penemuan saintifik yang diolah dalam bentuk karya seni dan artifak bertujuan menggalakkan minat dan memupuk penghayatan sains dalam kalangan umum.

Merangkumi pelbagai bidang pengajian daripada sains pertanian dan alam sekitar kepada biologi dan teknologi maklumat serta banyak lagi, Nyawa menampilkan pelbagai karya seni di bawah tema tahun ini iaitu Dari Bumi ke Langit.

Antaranya menikmati pemandangan bunga-bunga kertas seiring dengan bunga-bunga maya yang muncul di sekeliling anda.

Perhatikan kelawar-kelawar yang dibuat daripada bungkusan minuman berterbangan sambil mempelajari bagaimana kehilangan habitat mamalia itu meningkatkan risiko penyebaran virus kepada manusia dan haiwan lain.

Lihat pula bagaimana sebuah arca yang dibuat daripada Lego berwarna-warni memperincikan hubungan antara bakteria Salmonella dan perumahnya termasuk manusia dan haiwan. Ketahui tentang faktor-faktor yang menentukan warna mata anda denganp pameran 2D yang memaparkan warna-warna iris mata yang berbeza.

Hakikatnya pameran Nyawa memang memaparkan keunikan yang mengagumkan.

Pensyarah Kanan Pengurusan Hidupan Liar UPM, Dr. Tengku Rinalfi Putra turut tampil menterjemahkan kajian penyelidikannya mengenai kelawar dengan penyebaran virus menerusi hasil seni.

Kajian tersebut diterjemahkan dengan beberapa kepingan tin aluminium yang diukir menjadi bentuk kelawar bagi memudahkan orang ramai memahami bagaimana kelawar mampu tingkatkan risiko penyebaran virus.

“Inisiatif untuk menjalankan kajian ini adalah berikutan beberapa siri penyebaran wabak anjing gila atau rabies yang mula menular di sekitar Perak dan Sarawak baru-baru ini.

“Saya yakin bahawa wabak anjing gila sebenarnya datang daripada spesies kelawar yang berada di negara kita berikutan hubungan kajian habitat kelawar ini mempunyai risiko penyebaran virus,” katanya.

Tambahnya, kajian yang dijalankan hampir dua tahun lalu juga mempunyai persoalan iaitu sama ada kelawar di negara ini membawa kepada risiko virus yang akan dipindahkan kepada manusia menerusi haiwan peliharaan.

“Masih belum dapat dipastikan lagi, namun kami masih menjalankan kajian untuk membuktikan sama ada spesies kelawar ini mampu meningkatkan risiko virus penyakit berjangkit kepada manusia.

“Oleh itu, hasil dekorasi seni menggunakan tin aluminium yang menunjukkan kelawar berterbangan masuk ke dalam gua diyakini mampu memudahkan orang ramai untuk memahami hasil penyelidikan yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyelidik yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Bioteknologi dan Biomolekul, Prof. Dr. Rosfarizan Mohamad turut serta menampilkan hasil penyelidikan mengenai protein dalam bentuk kristal.

“Artifak kristal yang ditampilkan pada pameran ini adalah mengenai pengkristalan protein dalam bentuk karya seni bagi memudahan orang ramai memahami proses pembentukan struktur pengkristilan protein dengan kehadiran graviti atau tanpa graviti (di angkasa).

“Kajian ini juga menerangkan bahawa proses pengkristalan yang dihasilkan protein lebih sempurna di angkasa lepas berbanding di bumi kerana dipengaruhi keadaan bendasing-bendasing yang menganggu pembentukan kristalnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosfarizan memberitahu bahawa pengkristalan protein dapat digunakan dalam tujuan kajian sains dan industri bagi memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

Bentuk yang sempurna diperlukan untuk memahami fungsi sebenar protein dalam tindak balas dan menghasilkan produk atau ubat-ubatan baharu yang mungkin dapat merawat kanser.

“Contoh kristal protein yang telah dikristalkan di angkasa seperti enzim lipase iaitu eksperimen pengkristalan yang dijalankan menerusi Program Angkasawan Negara.

“Terdapat lebih 1,000 protein dibawa ke angkasa oleh angkasawan dari seluruh dunia untuk mengkaji dan mendapatkan kristal protein melalui proses pengkristalan yang sempurna untuk kajian selanjutnya di bumi,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Promosi Putrasains, Dr. Mohd. Fakri Zaky Jaafar memberitahu bahawa terdapat banyak lagi penyelidikan menarik yang boleh dilihat sendiri di pameran Nyawa yang dianjurkan di Galeri Serdang, Fakulti Reka bentuk dan Senibina UPM.

“Pameran kali ini menampilkan keunikan dengan menampilkan pelbagai karya seni dan artifak daripada 10 kumpulan penyelidik UPM, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan Universiti Teknologi Mara.

“Malah, penyelidikan dan penemuaan saintifik yang diolah dalam bentuk karya seni dan artifak ini bertujuan menggalakkan minat dan memupuk penghayatan sains dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu menurut Pegawai Sains (Pameran dan Pendidikan Sains) Pusat Sains dan Krerativiti Terengganu, Mohd. Hakimi Awang Su, pameran berkenaan menampilkan penggunaan artifak sampan lama yang digunakan oleh nelayan di tengah laut dan dalam masa sama menggunakan bintang di langit sebagai penunjuk arah.

``Pameran ini sangat sinonim dengan budaya dan dikaitkan dengan pemahaman sains dan teknologi.

“Zaman dahulu tiada alat canggih seperti GPS (sistem penentu kedudukan global) untuk dimanfaatkan sebagai penunjuka arah kepada nelayan, sebaliknya mereka guna ilmu mengenai bintang,’’ ujarnya.

Begitu juga dengan kehidupan tradisi masyarakat Orang Asli yang mempunyai elemen tertentu yang selama ini kajian mengenainya hanya menyentuh mengenai tata cara hidup dan amalan budaya mereka.

Bagi masyarakat Mah Meri yang merupakan subkumpulan Senoi, mereka menggunakan topeng yang dihasilkan daripada kerja-kera kraftangan semasa perayaan Hari Moyang mereka.

Topeng berkenaan digunakan semasa tarian Jo-Oh (Tarian Hutan) dan Tarian Topeng yang mencirikan nilai-nilai daripada roh yang muncul daripada mimpi dan cerita-cerita mitos.