Dalam usaha kempen kesedaran ini kombinasi seni, literasi, sains dan sosial didedahkan kepada masyarakat umum agar maklumat pemuliharaan tenggiling ini sampai kepada masyarakat seluruh dunia. Berbagai-bagai aktiviti diadakan seperti melukis, mewarna, bercerita, seminar saintifik tentang tenggiling dan menerangkan kenapa ia perlu dipulihara.

Menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) tidak banyak maklumat tentang populasi tenggiling di dunia termasuk juga kajian biologi dan ekologinya.

Ini mungkin kerana sifatnya yang bersendirian dan aktif pada waktu malam dan kurang berinteraksi dengan manusia. Tenggiling tidak mempunyai penglihatan dan pendengaran yang baik tetapi mempunyai sistem deria bau yang kuat.

Kebanyakan spesies tenggiling termasuk Tenggiling Malaya atau Sunda di Malaysia sangat kurang dikaji tentang kepadatan populasinya. Semua tenggiling adalah dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.

Tenggiling dikenali sebagai seekor mamalia yang bersisik, Sisik tenggiling pula terdiri daripada keratin yang sama dengan protein yang membina rambut dan kuku atau tanduk pada badak. Sisiknya menutupi badan daripada hujung kepala hinggalah hujung ekor.

Sisiknya yang keras terdiri daripada keratin dan berbeza antara spesies. Misalnya Tenggiling Sunda mempunyai antara 900 hingga 1,000 sisik tenggiling melindungi badan mereka daripada musuh dengan cara menggulung badan seperti bola. Sisik yang keras dan hujung sisik yang tajam dapat menghalang daripada ditangkap musuh. Fenomena ini sesuai dengan namanya tenggiling yang bermakna pengguling. Di bahagian bawah badan terdapat sedikit rambut. Saiz tenggiling juga berbeza antara spesies.

Tenggiling mempunyai kuku yang melengkong dan kuat untuk membuka kulit kayu dan tanah untuk mendapatkan makanan seperti anai-anai. Secara amnya, tenggiling matang apabila berumur dua tahun dan melahirkan anak seekor sahaja. Tempoh bunting adalah antara 69 hingga 150 hari berbeza mengikut spesies.

Seperti mamalia lain, tenggiling menanda kawasan mereka dengan cecair berbau yang keluar daripada anus atau menanda menggunakan najis dan air kencing.

Antara lapan spesies tenggiling yang ada di dunia, dua spesies tenggiling yang terancam serta dilindungi perjanjian antarabangsa adalah Tenggiling Sunda atau Malaya dan Tenggiling China.

Dua spesies ini banyak diburu dan diseludup dengan harga yang mahal. Penyeludupan tenggiling ini adalah untuk sisik yang digunakan dalam perubatan tradisional dan dagingnya sebagai makanan istimewa. Sisik tenggiling digunakan untuk membantu dalam rawatan tradisional bagi penyakit seperti demam dan demam malaria, tetapi sehingga kini belum ada kajian saintifik yang dapat membuktikan keberkesanannya.

Permintaan tinggi untuk makanan dan perubatan tradisional ini menyebabkan populasi tenggiling ini berkurang dengan cepat di Asia dan spesies lain umumnya di Afrika.

Di Semenanjung Malaysia, tenggiling tersebar luas di kawasan hutan dara, hutan sekunder dan ladang sawit atau getah. Tenggiling juga boleh didapati di Pulau Pinang.

Tenggiling juga tersebar di Borneo sehingga 1,700 meter (m) dari aras laut di kawasan hutan dipterokap, di tepi sungai dan hutan paya gambut.Di Indonesia Tenggiling Sunda ini tersebar luas dari Sumatera hingga ke Pulau Jawa, Bali dan kepulauan Bangka dan Belitung.

Tenggiling ini adalah antara haiwan yang banyak ditangkap dan diseludup dengan aktifnya kerana manusia suka memakan daging dan menggunakan sisiknya.

Selain untuk rawatan seperti yang dinyatakan, tenggiling juga dikaitkan dengan penyakit sendi dan asma atau lelah. Walaupun kajian saintifik tidak menunjukkan ada nilai perubatan namun permintaan sisik tenggiling masih tinggi. Mengikut Dana Sedunia Alam Sekitar Jadi (WWF) Tenggiling Sunda atau Malaya di Asia Tenggara dianggarkan berkurang sebanyak 50 peratus populasinya sejak 15 tahun kebelakangan disebabkan aktiviti perburuan untuk tujuan makanan dan perubatan.

Tenggiling merupakan antara haiwan yang sangat popular aktif diseludup dengan nilai yang tinggi. Antara negara yang dilaporkan aktif dalam pemburuan haram ialah Kemboja, Indonesia dan Malaysia.

Malaysia adalah antara laluan penting penyeludupan tenggiling ke Vietnam dan China. Sindiket penyeludupan mengambil masa kurang daripada lima jam untuk membawa haiwan dari Indonesia ke Thailand. Ini menunjukkan betapa cepat dan mudahnya penyeludupan berlaku. Daripada laporan media terdapat banyak kes penyeludupan tenggiling di Malaysia.

Antaranya rampasan-rampasan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ialah 136 ekor tenggiling dan 450 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM320,287.00, 408 kg sisik bernilai anggaran RM5,263,200 dan 304 kg bernilai RM3.92 juta dan 288 kg bernilai RM3.69 juta, 136 ekor tenggiling dan 300.90 kg sisik tenggiling dianggarkan bernilai RM3.86 juta, 712 kg sisik tenggiling bernilai RM9.18 juta, dan 8,000 kg sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai RM100 juta. Harga sisik bergantung kepada permintaan dan lokasi.

Penyeludupan dilaporkan dari Afrika, melalui Kenya, Nairobi. Dubai dan Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dari Indonesia melalui utara Semenanjung. Menurut pakar jumlah yang dapat ditangkap atau dirampas adalah lebih kurang 10 peratus daripada kes perdagangan haram yang sebenar.

Jika maklumat ini benar status pemuliharaan tenggiling amatlah membimbangkan.

Eksotik, bernilai tingggi punca penyeludupan

Permintaan tinggi terhadap daging haiwan eksotik terutama oleh pembeli di China, Vietnam dan Laos menyebabkan tenggiling semakin kerap diseludup ke negara berkenaan. Berdasarkan harga tenggiling yang mahal, kekerapan berlaku penyeludupan dan permintaan yang tinggi dan berterusan, ancaman terhadap tenggiling sangat tinggi.

Banyak perkara dan tindakan yang bersepadu patut dilaksanakan segera terutama kenapa Malaysia menjadi laluan penyeludupan hidupan liar ke negara lain.

Populasi tenggiling China dan Sunda adalah antara lapan spesies tenggiling yang sangat terancam dan menurun dengan cepat sejak 1990 meskipun dilindungi Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Terancam (CITES). Di China dan Vietnam permintaan utama tenggiling, daging tenggiling dewasa dan fetus dikatakan makanan istimewa untuk kesihatan.

Sisik, darah dan bahagian lain badan digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional China dan tonik kesihatan.

Kepercayaan ini menyebabkan permintaan tenggiling yang tinggi walaupun tiada bukti khasiatnya untuk perubatan. Namun penyeludupan terus meningkat. Pada tahun 2011 sahaja antara 41,000 hingga 60,000 tenggiling diseludup dan antara 2011 hingga 2013 sahaja, 116,990 hingga 233,980 tenggiling dibunuh untuk diseludup.

Harga tenggiling boleh mencapai RM1,400 sekilogram di restoran Vietnam berbanding RM88 untuk pemburu dan antara RM180 hingga RM1.060 untuk penyeludup.

Aktiviti pemburuan dan penyeludupan tenggiling yang semakin aktif kerana harga dan permintaannya yang tinggi serta gangguan habitat mereka mengancam populasi tenggiling dunia.

Tenggiling berhadapan dengan kepupusan sekiranya tiada tindakan diambil. Beberapa langkah perlu diambil untuk jangka pendek dan jangka panjang seperti menganjurkan program pendidikan, kesedaran, penyelidikan, penguatkuasaan undang-undang yang mesti dipergiat segera secara bersepadu dan sistematik.

Penambahbaikan undang-undang dan penguatkuasaannya, memastikan populasi tenggiling di habitatnya terkawal dan mengurangkan permintaan serta bekerjasama dengan penduduk tempatan dalam pengurusan populasi tenggiling.

Mungkin satu pusat pendidikan dan penyelidikan perlu diadakan segera di Malaysia bagi tujuan pemuliharaan tenggiling.

Tambahan lagi tenggiling Malaya atau Tenggiling Sunda dalam keadaan terancam.

Malaysia sebagai sebuah negara yang tinggi kepelbagaian biologi dan prihatin dengan pemuliharaan hidupan liar sepatutnya berada di kedudukan hadapan mempunyai satu pusat tenggiling bertaraf dunia.

Pusat ini bukan sahaja untuk pendidikan dan penyelidikan tetapi juga berfungsi dalam pelancongan.