Di Malaysia, usaha pembekalan tenaga elektrik di kawasan pedalaman dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Ini termasuklah pembinaan stesen solar hibrid di seluruh negara sejak 2001 dengan dengan perbelanjaan melebihi RM400 juta.

Sebagai melengkapi usaha ini, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), dengan kerjasama Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) UM telah berjaya membangunkan sebuah sistem pengurusan tenaga pintar yang menggabungkan fungsi penghasilan dan storan tenaga daripada sistem janakuasa hidro, panel solar, bateri dan penjana elektrik sedia ada. Sistem tersebut membolehkan bekalan elektrik yang konsisten dihasilkan untuk kawasan pedalaman dengan kos permulaan yang rendah dan mengguna sumber semula jadi.

Pembangunan dan pemasangan prototaip sistem ini telah dibuat di Pusat Pengajian Luar UM di Ulu Gombak, Selangor. Pusat ini adalah bawah seliaan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains UM, dan merupakan lokasi penyelidikan bidang ekologi dan biodiversiti. Pusat ini terletak kira-kira 30km dari Kuala Lumpur, dan tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik sebaliknya hanya bergantung kepada penjana elektrik setiap kali menerima tetamu. Keadaan ini meningkatkan kos penyenggaraan penjana elektrik, dan menjadikannya lokasi yang strategik bagi pembangunan prototaip sistem pengurusan tenaga ini yang akan membekalkan tenaga secara berterusan, mapan dan efisien.

Janakuasa hidro mini yang digunakan untuk prototaip sistem ini menggunakan motor berkuasa 3 kilowatt (kW). Menurut hasil kajian awal, aliran air anak Sungai Gombak yang diambil mampu menggerakkan motor ini melebihi 80 peratus kadar kuasa yang ditetapkan. Ini menandakan kecekapan yang tinggi untuk menghasilkan tenaga elektrik pada kadar yang efisien dan mampu menjimatkan kos penyenggaraan penjana elektrik untuk jangka masa panjang. Penyelidik utama kumpulan tersebut, Prof. Dr. Saad Mekhilef, berkata, prototaip sistem yang dibangunkan adalah khusus kepada kawasan tersebut sahaja selepas menjalankan kajian awal.

Beliau berkata, bagi membangunkan sistem yang serupa di kawasan pedalaman lain, kajian yang mendalam haruslah dilakukan terlebih dahulu, terutama bagi mengetahui kadar penggunaan dan penjanaan tenaga.

“Dengan adanya sistem pengurusan tenaga berasaskan janakuasa hidro mini ini, bekalan elektrik dapat dibuat di kawasan pedalaman pada kos permulaan dan penyenggaraan yang rendah, selagi adanya bekalan air yang mencukupi,” ujarnya.

Dalam konteks pengurusan yang lebih luas, penjimatan kos bukan menjadi satu-satunya faktor yang utama. Sebaliknya pengurusan sumber yang mapan, dan peningkatan kecekapan penggunaan sesuatu aset, merupakan penyelesaian jangka panjang yang boleh membantu semua pihak. Dalam perkara ini, JPPHB telah membantu memberi penyelesaian kepada beberapa isu penggunaan tenaga untuk Pusat Pengajian Luar ini, terutama dari segi bekalan tenaga elektrik yang mencukupi dan konsisten, dan penyenggaraan penjana elektrik yang lebih menjimatkan.

Di samping itu, inovasi tersebut, kata Timbalan Naib Canselor Pembangunan UM Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, memberi impak positif secara langsung kepada pengguna dan alam sekitar. Kos pembangunan keseluruhan sistem ini adalah sekitar RM15,000, dan kos komponen tertinggi adalah kos pembelian 20 panel solar berkuasa 2kW yang diletakkan di bumbung bagi mendapatkan sinaran cahaya matahari yang konsisten.

Namun demikian, jika sistem yang serupa ingin dibina di kawasan pedalaman yang lain, kos yang diperlukan kemungkinan besar akan berbeza, kerana ia amat bergantung kepada keperluan khusus di kawasan tersebut, termasuklah faktor geografi, cuaca, dan sumber manusia. Kos pemasangan ini boleh direndahkan lagi jika terdapat sungai dengan isipadu dan kederasan air yang bersesuaian berhampiran dengan lokasi pemasangan, selain ketiadaan komponen panel solar yang menelan kos yang tinggi.

Menariknya, kawasan Pusat Pengajian Luar UM ini adalah hampir dengan beberapa kawasan penempatan orang Asli. Perbincangan sedang dilaksanakan bagi mendapatkan persetujuan bagi pembekalan elektrik ke kawasan penempatan mereka menggunakan sistem janakuasa hidro mini ini.