Malaysia juga tidak terkecuali.

DR. ABD . HALIM SHAMSUDDIN
DR. ABD . HALIM SHAMSUDDIN 

Cameron Highlands di Pahang yang satu ketika dulu begitu sejuk dengan suhu di bawah 20 darjah Celsius kini semakin panas.

Jika dulu penginapan di pusat peranginan tanah tinggi itu tidak memerlukan pendingin hawa tetapi kini ia adalah wajib di setiap bilik di hotel, rumah tumpangan atau kediaman.

Perkara tersebut berlaku apabila manusia berkejar-kejar mengubah gaya hidup yang pada asalnya mudah kepada kehidupan era teknologi yang segalanya pantas dan pengembangannya tanpa henti.

Tanpa disedari, penggunaan teknologi moden menjadi penyumbang utama kepada pembebasan karbon dioksida sekali gus penggunaan tenaga terus meningkat sekali gus memberi kesan terhadap alam sekitar.

Pengarah Badan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) Untuk Tenaga Baharu, Prof. Ir. Dr. Abd. Halim Shamsuddin berkata, permintaan terhadap tenaga yang tinggi meningkatkan pembebasan karbon dioksida yang menjadi punca utama pemanasan global.

“Jika dilihat kesan daripada pemanasan global dan perubahan iklim semakin teruk dan tindakan tegas serta pantas perlu dilakukan di semua peringkat bagi mengatasi perkara tersebut.

“Ini termasuk kerajaan perlu membuat satu dasar atau polisi berkaitan isu ini kerana sikap manusia yang pelbagai kerenah dan sifat perlu diatasi terutama dalam pembaziran tenaga seperti sikap sambil lewa tidak menutup lampu ketika tidak digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pengarah AAIBE untuk Tenaga Baharu Bangi baru-baru ini. AAIBE merupakan agensi yang dibiayai oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Abd. Halim menambah, permintaan terhadap tenaga dijangka meningkat kira-kira 17 peratus pada 2060 berbanding 4.5 peratus pada 2015 dengan sektor pengangkutan merupakan penyumbang utama dengan peningkatan 10 kali ganda dari 2015 ke 2060.

Malaysia sebagai sebuah negara membangun mengorak langkah dengan melakukan perubahan untuk mengguna pakai tenaga boleh diperbaharui sejak beberapa tahun lalu.

Faktor alam sekitar merupakan elemen penting dalam sektor penjanaan tenaga dan Malaysia memiliki sumber semula jadi yang banyak seperti hidro, solar, biogas dan biomas.

Bagi Abd. Halim, beliau menyarankan agar Malaysia menjana tenaga melalui biomas iaitu merupakan tenaga yang terhasil daripada bahan-bahan yang berasal daripada tumbuhan.

Kaedah biomas digunakan sejak zaman purba lagi sebagai sumber tenaga untuk memasak, memanaskan badan, melebur logam dan pembuatan senjata. Ini kerana bahan biomas boleh diperoleh dengan mudah dengan jumlah yang banyak serta dalam masa sama dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil yang semakin berkurangan.

Tenaga dihasilkan melalui proses fotosintesis menghasilkan karbohidrat yang merupakan asas binaan utama biomas.

“Penghasilan tenaga melalui kaedah ini dapat mengurangkan gas rumah hijau, karbon dioksida, gas metana (CH4) sulfur oksida (SOx) sekali gus membantu mengelak pembaziran sumber tenaga.

“Dalam masa sama ia dapat mengurangkan sisa atau redusi dari kilang dan menyediakan haba serta kuasa apabila terdapat permintaan,” jelasnya.

Sumber untuk menjana tenaga melalui cara tersebut juga mudah ditemui antaranya seperti kayu, sisa tanaman, sisa ternakan, perladangan dan kumbahan.

Sumber sawit berpotensi besar

 

MALAYSIA yang kaya dengan sumber kelapa sawit menjadi kelebihan bagi negara ini untuk mengorak langkah ke arah penjanaan tenaga lestari.

Menurut kajian, kelapa sawit akan menghasilkan 90 peratus biomas sementara 10 peratus minyak.

Malaysia memiliki kawasan seluas 5,811,145 hektar yang ditanam dengan sawit melibatkan pengeluaran tandan buah segar (FFB) sebanyak 101,022,441 tan sudah cukup untuk amalan penjanaan kuasa ditukar kepada yang lebih mesra alam.

“Ini bermakna sebanyak RM8 bilion sumber biomas mencukupi untuk menggantikan 5,000 megawatt (mW) janakuasa.

Justeru, wujudnya keperluan untuk penjanaan kuasa biomas dalam skala besar dalam mewujudkan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam.

Senario tersebut turut mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, mengurang­kan kebergan­tungan terhadap import bahan api serta mengu­rangkan 26 juta tan karbon dioksida setiap tahun.

Justeru, tidak mustahil untuk negara menghasilkan 5,000mW penjanaan kuasa biomas menjelang 2025.