Biarpun tampak ringkas namun ia amat berkesan dan pantas bagi memastikan status halal sesuatu produk.

Rata-rata pengguna di negara ini pasti memiliki sebuah telefon pintar dan penggunaan gajet tersebut bukanlah asing, malah pelbagai aplikasi bermanfaat boleh diperolehi daripadanya.

Menyedari kelebihan tersebut, seorang pensyarah kanan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ahmad Nabil Mohd. Khalil tampil dengan idea menghasilkan aplikasi pengimbas halal produk.

“Aplikasi ini bagi membantu pengguna muslim untuk mengetahui status halal sesuatu produk dengan lebih pantas.

“Selain itu aplikasi ini juga dapat membantu pihak berkuasa melaksanakan pemeriksaan secara rawak dengan lebih pantas,” ujarnya.

Jelas Ahmad Nabil lagi, kini masih tiada aplikasi khas yang pantas untuk mengetahui status halal sesuatu produk selain daripada perkhidmatan khidmat pesanan ringkas (sms) atau menerusi laman web Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Ujarnya lagi, selain boleh mengimbas kod halal produk, ia juga boleh memberikan maklumat dan informasi berkenaan produk halal menerusinya.

Ia juga boleh dimuat turun oleh mana-mana telefon pintar.

Buat masa kini, aplikasi tersebut masih dalam proses penambahbaikan dan boleh dimuat turun secara percuma.