Pasaran bagi penderia-bio akan terus berkembang sehingga mencecah RM42 juta (kajian Frost & Sullivan).

Berdasarkan fenomena tersebut, sekumpulan penyelidik MIMOS telah menjalankan kajian khas untuk menghasilkan penderia istimewa dan berjaya menghasilkan Mi-MSCAN TpH.

Mi-MSAN TpH merupakan sebuah penderia yang didakwa sebagai Ion-Sensitive Field Effect Transistor (ISEFT) pertama di dunia.

Menurut Pengarah Pemprosesan Teknologi dan Pembungkusan MEMS, NEMS, Saat Shukri Embong, Mi-MSAN TpH merupakan gabungan dua penderia untuk mengesan suhu dan keasidan (pH).

“Penderia ini amat sesuai untuk digunakan bagi memantau suhu dan keasidan sesebuah kawasan (outdoor monitoring) dalam jangka masa yang lama.

“Malah, penderia yang dihasilkan sesuai untuk digunakan di kedua-dua sektor, agrikultur dan akuakultur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memperkenalkan teknologi tersebut di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Saat Sukri, Mi-MSAN TpH direka khas agar tahan lasak kerana MIMOS menyasarkan penggunaannya di kawasan yang agak mencabar dari segi iklim dan suasana.

Untuk memudahkan penggunaan mudah alih, penderia tersebut hanya menggunakan bateri biasa yang mudah didapati dipasaran.

Antara objektif utama penggunaan penderia Mi-MSAN TpH di sektor agrikultur dan akuakultur adalah untuk meningkatkan hasil keluaran melalui pengumpulan data yang lebih tepat.

Data yang diperolehi mampu membantu proses R&D dalam kedua-dua sektor berkenaan sekali gus membantu saintis memperbaiki sistem yang sedia ada ke tahap yang lebih baik.

Apa yang pasti jika sistem serta kajian yang terbaik dilakukan pasti hasil yang akan diperolehi juga akan berlipat kali ganda.

Dalam pada sama, konsep asas penderia tersebut bukan sahaja boleh digunakan pada sektor pertanian dan perikanan sahaja malah ia juga turut boleh digunakan untuk memantau keadaan alam sekitar.

Konsep yang penderia yang sama juga boleh digunakan untuk mengesan kehadiran bahan-bahan pencemaran sama ada di sungai, air bawah tanah mahupun udara.

Melalui data yang diperolehi menerusi penderia yang dihasilkan, para penyelidik juga mampu mengesan kewujudan bakteria, bahan-bahan toksik dan tercemar.

Malah, ia juga boleh digunakan untuk memantau unit penyimpanan bahan makanan, buah-buahan serta sayur-sayuran.

Penderia Mi-MSAN TpH, lahir daripada program Ubiquitous NEMS-based Sensor Network and Solutions yang diwujudkan oleh MIMOS bagi meningkatkan daya saing teknologi secara sihat dalam negara.

Program tersebut terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

Bagi program jangka masa pendek, MIMOS menumpukan perhatian kepada usaha mewujudkan sistem pendigitalan di bidang pertanian.

Objektifnya adalah bagi menambah baik hasil keluaran sama ada di bidang agrikultur mahupun akuakultur seperti buah-buahan, sayur-sayuran, haiwan ternakan dan perikanan.

Manakala bagi jangka masa pertengahan, program tersebut mampu menaik taraf proses dan sistem pemantauan pencemaran alam sekitar, air, udara dan juga tanah.

Selain itu, menerusi program yang sama, proses pemantauan boleh dilaksanakan secara automatik.

Kebaikan program Ubiquitous NEMS-based Sensor Network and Solutions adalah di bidang kesihatan.

Sistem itu membantu serta memperbaiki sistem pemantauan kesihatan sedia ada dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan perubatan menerusi pemantauan kesihatan setiap individu.

Teknologi juga dicipta agar lebih mudah diatur gerak bersama sistem pengurusan yang lebih cekap.

Secara umumnya, bidang teknologi penderiaan yang sedang dibangunkan oleh MIMOS kini bakal merangkumi kehidupan seharian masyarakat sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Dalam menjadikan program tersebut realiti, MIMOS kini sedang membangunkan pelbagai jenis penderia lain yang memiliki pelbagai kegunaan.

Antaranya, penderia kelembapan berstruktur nano (Nanostructured Humidity Sensor) yang merupakan gabungan beberapa bahan nano yang sangat sensitif kepada kelembapan.

Teknologi tersebut dilihat amat sesuai di gunakan dalam bidang agrikultur, alam sekitar dan kesihatan.

Seterusnya penderia bagi mengesan tahap kelarutan oksigen (DO) yang mana boleh digunakan dalam proses pemantauan bidang akuakultur dan kesihatan.

Mengunakan kaedah elektrokimia, penderia larutan oksigen dilengkapi elektrod platinum (Pt) dan perak (Ag) bagi memudahkan penderia mengesan kehadiran larutan oksigen.

Antara penderia lain yang turut dicipta adalah pengesan larutan amonia (DHM3) untuk kegunaan pemantauan sektor akuakultur, alam sekitar, serta kesihatan.

Bagi penderia bagi mengesan larutan amonia (DHM3), pengkaji MIMOS menggunakan kaedah penderia kimia silikon IDE.

Bagi penderia karbon diokside (CO2) yang dihasilkan menerusi bahan nano (nanomaterial), ia juga dicipta untuk kegunaan agrikultur dan pemantauan alam sekitar.

Terakhir, penderia untuk mengesan tekanan darah tinggi (BP) yang memiliki sensitiviti tinggi yang dibina berdasarkan ‘Diaphragm-based Highly Sensitive NEMS Pressure Sensor Platform.

Teknologi yang dibangunkan tersebut akan diaplikasikan dalam sistem pemantauan Smart Wearable Blood Pressure Monitoring System untuk kegunaan dalam bidang kesihatan.

Penghasilan ciptaan sahaja tidak mencukupi andai produk tersebut tidak mampu berfungsi dengan baik seperti yang diuar-uarkan.

Terdapat beberapa penderia yang dicipta oleh MIMOS telah digunakan dan keputusan yang diterima amat memuaskan.

Antaranya, sebahagian penderia tersebut telah digunakan dalam kajian Sistem Pengurusan Pendebungaan Pintar (IPMS) yang diterajui oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Tekam, Pahang.

Selain itu, penderia kelembapan tanah, kelembapan udara, suhu, pH dan kekonduksian telah pun digunakan diladang-ladang sayuran menerusi Sistem Pengurusan Rumah Hijau E&E Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang terdapat di Setiu, Terengganu, Kepala Batas, Pulau Pinang dan Tuaran, Sabah untuk kajian peningkatan hasil pengeluaran tanaman.

Apa yang pasti, menjadi salah sebuah pusat inovasi dan R&D untuk teknologi ICT bertaraf antarabangsa, MIMOS kini sedang berada di barisan hadapan.

MIMOS merupakan harapan negara dalam membangunkan produk inovasi ICT sekali gus menjadi peneraju dalam pengkomersialan teknologi tempatan yang mana mampu meningkatkan ekonomi negara.