Ini kerana dos dedahan sinaran dikatakan berbahaya dan memberi kesan kepada kesihatan manusia sekiranya keamatan sinaran terlalu tinggi atau melebihi daripada paras yang dibenarkan dan dalam masa sama, terdedah dalam tempoh yang lama.

Sebab itu perlu ada kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pekerja sinaran dan juga masyarakat mengenai risiko ancaman radiasi semasa pengendalian menggunakan mesin sinar-X dan bahan radioaktif.

Menyedari akan kepentingan meningkatkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kemalangan bahaya dedahan kepada punca radioaktif dan sinar- X, seorang pegawai penyelidik kanan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membangunkan sebuah sistem pintar dan aplikasi bagi memantau paras radiasi secara berterusan.

Sistem pengesanan paras radiasi itu boleh dipasang di mana-mana lokasi berisiko di seluruh negara.

Sinaran atau radiasi tidak dapat dikesan oleh lima pancaindera kita iaitu rasa, bau, dengar, lihat dan sentuhan. Oleh itu, alat pengesanan sinaran itu amat diperlukan untuk mengesan dan mengukur paras dos sinaran di sekeliling kita.

Penyelidik berkenaan Dr. Rasif Mohd. Zain berkata, Sistem Pemantauan Radiasi Amaran Pintar (SARM System) itu dibangunkan dengan berlandaskan konsep teknologi Internet Segalanya (IoT) dalam menyampaikan maklumat dan amaran kepada pengguna melalui telefon pintar dan di mana sahaja pengguna berada.

Dalam membangunkan sistem tersebut, penyelidikan yang dijalankan terbahagi kepada tiga peringkat iaitu pembangunan pengesan sinaran jenis gas, perkakasan elektronik dan pembangunan perisian. Pengesan sinaran yang dicipta itu sensitif terhadap radiasi sinaran beta, gama dan sinar-X.

“Sistem SARM ini amat sesuai untuk memantau persekitaran kerja selamat secara aktif bagi pemantauan bacaan kadar dos untuk sinaran beta, sinar –X dan gama pada masa sebenar (real-time) dan memberi amaran secara automatik kepada pengguna apabila paras sinaran melebihi daripada standard yang ditetapkan,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengurus Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Nuklear Malaysia berkata, sistem perisian yang dibangunkan berfungsi untuk menukarkan denyut daripada pengesan sinaran kepada bacaan kadar dos dedahan, menyimpan, merekod dan data ini dihantar ke pangkalan data pelayan (server) menggunakan rangkaian sama ada Wi-fi atau rangkaian kawasan setempat atau local area network (LAN).

Lebih menarik, satu aplikasi android yang boleh dimuat turun ke telefon pintar juga dibangunkan. Aplikasi tersebut ini dapat menunjukkan bacaan sebenar di lokasi sistem yang dipasang dan memberi amaran kecemasan apabila berlaku peningkatan paras radiasi yang ditetapkan.

Justeru itu, pemantauan boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan tidak semestinya berada di lapangan atau kawasan pemantauan.

Beliau memberi contoh, jika sistem tersebut dipasang di satu-satu kawasan dan bacaan radiasi meningkat secara tiba-tiba akibat kebocoran punca radioaktif, maka isyarat atau amaran akan dihantar ke telefon pintar pengguna serta-merta atau pada masa sebenar.

Pemantauan kawasan untuk mengesan paras radiasi secara aktif dan berterusan di suatu kawasan kawalan punca sinaran adalah amat penting dan mesti mematuhi perundangan berkaitan.

Bagi seorang pekerja sinaran, dos terkumpul yang boleh diterima sepanjang tahun tidak boleh melebihi 20 mSv setahun bagi mengelak kebarangkalian kepada risiko kesan stokastik.

Sebagai contoh jika kawasan terbabit mencatatkan peningkatan bacaan daripada yang sepatutnya, maka isyarat akan dijana untuk memberi amaran kecemasan.

Oleh demikian pekerja sinaran boleh diselamatkan daripada dedahan berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan atau mengancam nyawa.

Pendek kata sistem tersebut dapat memberi faedah kepada orang awam, pekerja sinaran dan alam sekitar.

Dr. Rasif berkata, sistem yang beliau bangunkan tersebut dapat mengesan sebarang kenaikan paras radiasi atau kebocoran selama 24 jam sehari tanpa henti secara automatik.

Penyelidikan tersebut yang bermula dari tahun 2015 sehingga tahun 2017 menggunakan dana sebanyak RM100,000 dari MOSTI dan sudah dipasang di Nuklear Malaysia.

“Sekarang ini kita telah bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk mengembangkan pemasaran penggunaan sistem ini di dalam negara,” ujarnya sambil memberi tahu sistem ini telah berjaya mendaftar harta intelek (IP) di Pertubuhan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Tambah beliau, bagi menjayakan pembangunan sistem ini, beliau turut mendapat kerjasama daripada rakan kerja seperti Hasfazilah Hassan dan Mohd. Fajri Osman yang turut membantu menyumbangkan kepakaran masing-masing.

Beliau juga berjaya menambah baik sistem tersebut dengan menambah aplikasi kamera video, bateri yang mampu bertahan selama 48 jam jika bekalan elektrik terputus.

Beliau juga juga membangunkan perisian untuk menghasilkan laporan mingguan dan bulanan secara automatik berkaitan kadar dos di lokasi pemantauan serta penggunaan sistem tersebut bersama panel solar untuk kawasan luar bandar tanpa bekalan elektrik.

“Saya berharap dengan adanya sistem ini yang dibangunkan dengan menggunakan kepakaran dan bahan-bahan tempatan, industri yang memerlukan dapat memanfaatkan sistem ini dengan kos yang lebih murah, namun kualiti yang standing dengan sistem yang boleh didapati daripada luar negara.”

Dr. Rasif berharap pada masa yang akan datang beliau bercadang untuk membangunkan lebih banyak sistem pintar seperti ini bagi kesejahteraan manusia.