Denggi merupakan jangkitan viral yang disebarkan oleh nyamuk aedes dan insiden global denggi telah meningkat secara mendadak sejak beberapa dekad ini sehingga menyebabkan separuh daripada populasi dunia berada dalam risiko.

Dikatakan lebih daripada 50 hingga 100 juta jangkitan denggi berlaku setiap tahun dengan 500,000 orang mengalami demam denggi berdarah.

Oleh itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan sebuah projek perdana yang tertumpu kepada pembangunan kaedah baharu untuk mencegah penyebaran denggi dipanggil Komuniti Bebas Denggi (KBD).

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Zainol Ariffin Pawanchee adalah antara individu yang telah menghasilkan salah satu inovasi dalam kit tersebut.

Katanya, usaha kerajaan dan agensinya itu adalah satu kaedah mengintegrasikan hasil ciptaan inovasi bioteknologi yang bertindak untuk membunuh jejentik nyamuk aedes.

Dalam masa yang sama, ia juga merupakan satu aktiviti sistematik untuk mengaktifkan penglibatan warga komuniti dalam usaha untuk menangani wabak denggi.

“Apa yang telah saya hasilkan bagi inovasi tersebut ialah Aedes Larva Ovi Trap (ALOT) iaitu sejenis peralatan yang direka khas untuk memerangkap dan membunuh jentik-jentik.

“ALOT ini juga dapat mengawal dan mengesan populasi nyamuk apabila dicipta untuk kelihatan seakan-akan kawasan pembiakan nyamuk dalam kontena.

“Kemudian, Mousticide iaitu sejenis bahan aktif semulajadi berbentuk sekam yang berperanan untuk membunuh nyamuk akan mengeluarkan Trypsin Modulation Oostatic Factor (TMOF) dan Bacillus thuringiensis Israelensis (Bti) ke dalam air seterusnya membunuh larva,” katanya.

Jelasnya, sekam Mousticide hasil daripada penyelidikan Entogenex Sdn. Bhd. itu lebih berkesan berbanding kaedah konvensional menggunakan bahan toksik.

Selain itu, kit berkenaan juga dilengkapi satu botol Denguard iaitu losyen penghalang gigitan nyamuk yang diperbuat daripada teknologi semulajadi.

Losyen tersebut mengandungi EGX-1, satu ramuan aktif daripada tomato liar yang telah diperkaya dengan BluOxy, sanitizer berasaskan tumbuhan yang terbukti dapat menghapuskan sebanyak 140 patogen.

Projek KBD yang telah dimulakan di beberapa kawasan berisiko tinggi di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor itu diterajui MOSTI yang diuruskan oleh agensi dibawahnya iaitu Inno Biologics Sdn. Bhd. dan Entogenek Industries Sdn. Bhd.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Madius Tangau berkata, menerusi program itu, sebanyak 100 000 kit rumah akan diagihkan kepada rumah-rumah terpilih di beberapa negeri.

Katanya, program pencegahan denggi itu turut melibatkan penubuhan kumpulan kerja khas dalam setiap komunti yang dikenali sebagai Skuad Bebas Denggi (SBD).

“Anggota skuad ini ditugaskan untuk memimpin dan melatih warga komuniti masing untuk mengendalikan peralatan khas dan rawatan kawalan wabak denggi di kawasan perumahan mereka.

“Turut serta dalam program ini adalah pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seramai lebih 250 pelajar yang menjadi sukarelawan semasa aktiviti program komuniti berkenaan,” katanya.

Madius berkata, satu metodologi bagi menjamin keberkesanan program juga telah diperkenalkan iaitu kaedah REAP (Reduce, Educate, Activate, Prevention).

Jelasnya, Reduce adalah usaha untuk mencapai pengurangan kadar kes denggi dengan mengurangkan populasi jentik-jentik, manakala Educate atau pendidikan adalah berkaitan dengan hal denggi misalnya kitaran hayat aedes dan simptom demam denggi.

Activate pula adalah langkah untuk mengaktifkan semula komuniti untuk sama-sama menjayakan kegiatan proaktif KBD yang berfokuskan kepada aktiviti membanteras denggi.

Akhir sekali, Prevention atau pencegahan iaitu satu kaedah penting untuk mengelakkan pembiakan aedes selain melindungi masyarakat daripada gigitan nyamuk dan secara tidak langsung mengawal pembiakan wabak denggi.

Sementara itu, wakil penerima kit bebas denggi Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor, Mariah Jaafar, 48, berkata, mereka merupakan ahli SBD pertama yang ditubuhkan di negeri berkenaan.

“Program di kawasan perumahan kami telah dilaksanakan sejak Ogos 2015 dan sehingga kini terdapat seramai 148 orang ahli SBD.

“Menerusi program ini,pasukan kami juga telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti majlis penyerahan KBD kepada komuniti dalam sebuah karnival dan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Sepanjang pelaksanaan aktiviti, penurunan kes denggi di kawasan Taman Mawar telah menurun sebanyak 50 peratus, malah penglibatan penduduk setempat juga sangat menggalakkan,” katanya.

Menurutnya lagi, inisiatif yang dilaksanakan pihak kerajaan ini merupakan satu aktiviti yang sangat bagus kerana semua pihak harus sama-sama mendidik dan mengubah sikap terutama masyarakat setempat mengenai kesedaran denggi.

Dalam pada itu, ahli SBD Bandar Baru Bangi, Ahmad Maznan Madon, 29 , berkata, insiatif yang dilaksanakan oleh pihak kementerian adalah satu perubahan ke arah negara yang lebih sihat dan wajar diteruskan dengan lebih meluas.

Katanya, pendekatan yang dilaksanakan itu dapat mendidik individu untuk mengaplikasi dan berkongsi apa yang mereka tahu mengenai denggi dengan masyarkat setempat.

“Jika diikutkan, bagi kawasan bandar Baru Bangi, setakat ini kami masih dalam proses untuk cuba mendapatkan kerjasama daripada wakil-wakil setiap seksyen untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti mengawal wabak denggi.

“Secara keseluruhan, sehingga kini kes denggi di kawasan ini telah berkurang lebih kurang 30 peratus, namun penglibatan meyeluruh penduduk sangat diharapkan,” jelasnya.

Kesan titik panas denggi

Merupakan sebuah aplikasi yang diinovasi menerusi rangkaian maklumat dan data yang dikumpul, iDengue menawarkan informasi terkini berkenaan titik panas kes denggi terkini.

Aplikasi Mobile iDengue Komuniti ataudikenali sebagai i-Dengue merupakan satu medium bagi menyalurkan maklumat denggi yang tepat dan terkini kepada orang awam.

Dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik dari Agensi Remote Sensing Malaysia (Remote Sensing) di baSwah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, i-Dengue menawarkan maklumat pantas setiap hari menerusi telefon bimbit mahupun komputer riba anda.

Selain maklumat setempat atau sekitar kediaman, pengguna juga boleh menggunakan pekhidmatan yang sama untuk menilai atau mendapatkan maklumat titik panas dengi di sesuatu kawasan yang ingin dilawati.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, selain titik panas denggi, pengguna juga boleh mendapatkan pelbagai lagi maklumat berkaitan wabak tersebut di seluruh negara.

“Kini orang ramai boleh mendapatkan maklumat yang lebih pantas dan tepat terhadap kawasan yang berisiko tinggi terdapatnya wabak dengi.

“Apabila memperoleh maklumat ini, orang ramai dapat mengambil langkahlangkah yang sesuai dan saya harap orang ramai dapat memuat turun aplikasi ini ke dalam telefon pintar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran aplikasi Aplikasi Mobile i-Dengue di ibu negara baru baru ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebutadalah Menteri MOSTI, Datuk Madius Tangau. Ujar Dr. S. Subramaniam lagi, sehingga kini sebanyak 26,533 kes denggi telah dicatatkan.

“Maklumat ini amat penting bagi meningkat kesedaran orang awam untuk bersama-sama dalam memastikan kawasan mereka bebas daripada wabak denggi.

“Pelbagai langkah pencegahan boleh dilakukan oleh individu dan masyarakat setempat.

``Sekiranya mereka mengetahui kawasan mereka berada dalam kawasanwabak denggi untuk memastikan tiada jangkitan dan berlakunya wabak yang berpanjangan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Madius kerjasama daripada kedua-dua kementerian tersebut dilihat telah membuahkan hasil dengan kewujudan i-Dengue.

“MOSTI akan terus meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan lebih banyak lagi aspek kerana kita juga memiliki pelbagai agensi yang berkaitan dengan kesihatan.

“Sebagai contoh teknologi sinaran dan bioteknologi khususnya dalam memacu industri farmaseutikal serta pelbagai lagi.

Aplikasi tersebut tersedia dalam dua platform iaitu Android dan juga iOS dan boleh dimuat turun secara percuma.

Selain titik panas wabak denggi, pengguna juga boleh memperoleh maklumat berkaitan status bilangan kes denggi harian mengikut negeri serta jumlahnya.