Kejayaan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu berpotensi sebagai pengganti kepada diesel yang disulingkan bagi pengguna industri diesel seperti marin, penjana kuasa mudah alih dan penerbangan dan pada masa ini tidak ada teknologi seumpamanya atau produk sedia ada di pasaran.

Lebih menarik, biodiesel seumpama itu merupakan sumber yang sentiasa tersedia kemampuannya sebagai pengganti diesel tanpa perlu perubahan kepada enjin selaain mesra alam dan bersifat boleh diperbaharui.

Justeru pihaknya yakin projek pembangunan Program Biodiesel WCO itu akan memberi impak positif dari aspek sosal ekonomi dan alam sekitar.

Sebagai contoh , dari aspek sosial program tersebut memelihara kesihatan dengan penggunaan minyak paket daripada minyak masak kitar semula selain membantu menghadapi isu sensitif dalam agama dan isu prinsip diet (vegetarian) akibat makanan tercemar.

Dari aspek persekitaran, program tersebut berjaya membantu mengelak pencemaran air, mengurangkan pencemaran udara dan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga ke 86 peratus berbanding minyak sayur segar iaitu 57 peratus sahaja.

Dari aspek ekonomi, program tersebut membantu mengurangkan kos rawatan udara dan air yang tinggi akibat pencemaran minyak dan menyelesaikan kepada ketidakcekapan insinerator di tapak pelupusan sampah akibat pembuangan WCO.

Satu lagi aspek yang tidak kurang pentingnya adalah pembangunan tenaga bahan api mesra alam dan boleh diperbaharui.

Ini adalah sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon dioksida dan berkait rapat dengan hasrat dalam Dasar Teknologi Hijau Negara 2009, Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) 2011, Dasar Bahan Api Kelima, Dasar Tenaga Kebangsaan dan menyumbang kepada komiten Malaysia terhadap Persidangan Pelbagai Pihak ke-15 (COP 15).

Walau bagaimanapun kata ketua penyelidik Uniten, Dr. Ir. P. Kumaran, kumpulannya terus menjalankan penyelidikan sebagai limpahan daripada penyelidikan utama melibatkan beberapa ahli kumpulannya.

Sebagai contoh, salah seorang anggota penyelidiknya Gopinathan Muthaiyah terlibat dalam penyelidikan meningkatkan kualiti biodiesel dengan teknologi gelombang mikro (microwave) bagi penggunaan gas turbin untuk menghasilkan tenaga elektrik di stesen jana kuasa.

Kajian awal mendapati biodiesel juga boleh digunakan untuk penggunaan gas turbin untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Walau bagaimanapun sifat-sifat semula jadi biodiesel menghalang bahan api berkenaan boleh digunakan sebagai gas turbin.

Maka, Uniten telah mengambil initiatif untuk memperbaiki sifat-sifat biodiesel tersebut supaya ia boleh digunakan untuk turbin. Dalam tahun 2014, Uniten telah berjaya membuat penemuan baharu (novelty) dengan menggunakan teknologi microwave untuk menghasillan Biodiesel Generasi Kedua (SGB) dengan sifat-sifat (bahan kandungan) yang memenuhi spesifikasi gas turbin mengikut piawaian antarabangsa.

Seorang lagi penyelidiknya, Dr. Grace Pua memanfaatkan bahan buangan organik atau biomas dan juga bahan buangan daripada kilang untuk menghasilkan pemangkin.

Sebagai contoh, tandan kosong sawit (EFB) yang menyumbang sisa lignosellulosik dalam kuantiti yang banyak di negara ini digunakan untuk menghasilkan pemangkin baharu yang boleh digunakan dalam proses penghasilan biodiesel.

Pemangkin baharu yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik ini boleh diguna semula dan berpotensi menggantikan mangkin asid tradisi dalam penghasilan biodiesel.

Lebih banyak penyelidikan akan dijalankan untuk mencari potensi bahan buangan organik dan biomas dalam negara kita.

Ini bermakna, Institut Tenaga Lestari Uniten itu yang mempunyai fokus penyelidikan biodiesel dan biomas bergerak ke arah sisa sifar.