Menerusi program yang diadakan sebelum ini, sebanyak 180 unit TED telah diagihkan kepada 180 orang nelayan PTMT di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan (30), Terengganu (55), Pahang (65) selain Johor sebanyak 30 unit.

Penggunaan TED ke atas vesel PTMT dapat menyelamatkan penyu daripada terperangkap dalam pukat tunda, di samping meningkatkan hasil tangkapan nelayan antara tiga hingga lima peratus serta hasil tangkapan tidak bercampur dengan sampah dan kotoran.

Kaedah tersebut juga berjaya mengurangkan penangkapan ikan baja antara 12 hingga 15 peratus dan menjimatkan penggunaan bahan api diesel antara 10 hingga 12 peratus serta mengurangkan kerosakan pukat kerana sampah dan objek besar terlepas keluar daripada pukat.

Amerika Syarikat telah menetapkan satu syarat atau peraturan agar semua negara yang ingin mengeksport hasil tangkapan udang di laut hendaklah menggunakan alat TED pada pukat yang digunakan.

Tanpa penggunaan alat ini hasil udang yang ditangkap adalah dilarang untuk dieksport

Jabatan tersebut baru-baru ini melepaskan enam ekor penyu agar di Pulau Kapas, Terengganu sebagai sebahagian program pemuliharaan spesies berkenaan.

Seekor penyu berusia 15 tahun dipasang dengan peranti satelit dan lima ekor yang berusia dua hingga lima tahun.

Penyu betina seberat 140 kilogram (kg) dengan panjang 108 sentimeter (cm) dan lebar 96 cm yang dipelihara oleh penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu bagi tujuan penyelidikan tabiat pemakanan dan tumbesaran akan dipasang dengan peranti satelit untuk mengesan pergerakan penyu tersebut apabila dilepaskan ke laut.

Menurut Pengarah FRI, Rantau Abang, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, pergerakan penyu yang diberi nama Puteri Kapas itu dikesan oleh Satelit Argos yang berpangkalan di Perancis dan data satelit boleh diperoleh oleh penyelidik melalui website Satelit Argos.

Beliau berkata, pemasangan alat tersebut adalah berfungsi untuk tiga perkara iaitu bagi mengetahui laluan migrasi serta mengenal pasti kawasan pemakanan penyu berkenaan.

Fungsi ketiga adalah bagi memberi peringatan kepada nelayan supaya melepaskan mana-mana penyu yang terperangkap pada pukat mereka.

Menurutnya, empat spesies penyu yang mendarat di negara ini berdepan dengan masalah kepupusan. Malah spesies penyu belimbing pun sudah tidak lagi mendarat di pantai negara ini.

Berdasarkan rekod, hanya penyu agar yang masih ditemukan di Terengganu, Melaka, Pahang dan Johor, penyu karah masih terdapat di Melaka, manakala penyu lipas di Pulau Pinang.

“Pada 2016, pendaratan penyu agar paling tinggi dicatatkan di Terengganu iaitu 10,000 selepas 20 tahun.

“Dalam kajian kita, penyu betina akan kembali ke perairan negara selepas 14 tahun dengan tujuan untuk bertelur,” ujarnya sambil memberitahu lokasi bertelur biasanya di Pulau Redang dan Pantai Kemaman,” ujarnya.

Beliau juga berkongsi maklumat bahawa dalam 1,000 anak ekor penyu yang dilepaskan ke laut, hanya seekor mungkin bertahan sampai ke peringkat dewasa.