Perlombongan pelbagai mineral di sekitarnya masih lagi rakus dilaksanakan. Aktiviti tersebut menyebabkan sedimen memenuhi dasar serta menjadikan tasik tersebut semakin cetek saban hari.

Tasik Chini semakin mati menurut Ketua Penyelidik, Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mushrifah Idris jika tiada program pemeliharaan dan pemuliharaan dilakukan segera.

Jelasnya, Tasik Chini merupakan tasik semula jadi di Malaysia yang memiliki keunikannya tersendiri namun kini pada ambang kemusnahan akibat kerakusan manusia.

“Ramai yang tidak menyedari akan masalah yang dihadapi tasik ini dan masih meneruskan usaha meneroka hutan di sekelilingya.

“Pelbagai usaha telah kami laksanakan seperti melaksanakan penyelidikan bagi menunjukkan tasik tersebut sedang pada ambang kemusnahan akibat aktiviti itu (penerokaan) masih berlarutan namun masih tiada tanda-tanda dihentikan ,” katanya ketika di Pekan, Pahang baru-baru ini.

Ramai dalam kalangan kita bertanya-tanya apakah kepentingan tasik air tawar sepertinya diperlihara dan dipulihara. Tasik sebenarnya bertindak sebagai petunjuk kepada perubahan iklim biarpun keberkesanannya masih belum dianalisis dengan teliti.

Seperti Tasik Chini, kawasan tersebut menyumbangkan pelbagai keperluan masyarakat di sekitarnya termasuklah masyarakat asli yang menetap di sana sejak berkurun-kurun lamanya.

Kajian yang dilaksanakan unit-unit bawah PPTC mendapati, saiz tasik berkenaan semakin mengecil dan menjadi semakin cetek akibat mendapan sedimen yang masuk ke dalamnya.

Kesan buruk Tasik Chini yang semakin cetek tidak hanya memberi kesan buruk kepada penduduk sekitarnya sahaja.

Sebaliknya, ia boleh menyebabkan sebahagian besar bandar Pekan berpotensi dilanda banjir besar kemudian hari.

Hal demikian kerana Tasik Chini merupakan zon penampan semula jadi banjir untuk menakung sebanyak mungkin curahan air hujan sebelum dialirkan ke Sungai Pahang.

“Tasik ini merupakan kawasan tadahan dan takungan semula jadi yang dapat menampung jumlah air yang banyak pada musim tengkujuh atau ketika aliran air yang tinggi. Jika pemendapan berlaku akibat pencemaran sedimen dan hakisan hasil perlombongan berhampiran pastinya fungsi tasik itu sebagai takungan semula jadi juga akan terjejas,” katanya.

Penyelidik PPTC juga telah bertindak dengan merevolusikan teknik hijau untuk kawalan hakisan tebing Sungai Chini namun aliran banjir yang terlalu kuat menjadikan usaha tersebut tidak begitu berkesan.

“Pengubahsuaian biotekstil tetap diperlukan bagi memperbaiki pembinaan yang telah dilaksanakan sebelumnya,” ujarnya lagi.

Selain itu, anak-anak sungai yang mengalir ke dalam Tasik Chini juga telah terjeas dengan teruk. Sungai-sungai pembekal yang terjejas adalah seperti Sungai Jemberau, Sungai Melai, Sungai Merapuh sedang diancam pembangunan yang tiada henti.

Aliran air dari sungai mahupun anak sungai merupakan sumber air untuk tasik.

Sebarang perubahan dalam kualiti air sungai akan memberi kesan terhadap ekosistem sesebuah tasik terutama ikan dan populasinya.

Di PPTC, mereka turut menjalankan penyelidikan berkaitan ikan bagi memahami populasi dan cara untuk membiakkan ikan dominan menggunakan kaedah konvensional dan teknologi hijau.

“Kajian kami adalah untuk memastikan bahawa kualiti air tasik mencapai piawaian bagi kegunaan keperluan pelan pengurusan,” katanya.

Kualiti air adalah alat asas dalam pengurusan sumber air tawar di Tasik Chini dan PPTC memiliki stesen pemantauan khas untuk tujuan tersebut.

Stesen tersebut menyumbang kepada keupayaan dalam bidang pemantauan kualiti air dan penilaian di dalam Tasik Chini.

“PPTC berhasrat untuk terus melaksanakan rangkaian pemantauan bagi menyediakan data pemerhatian tasik bagi permukaan dan air di bawah tanah. Selain itu kami juga melaksanakan persampelan dan kaedah analisis sebagai salah satu pendekatan bersepadu bagi kajian hidrologi, kimia,biologi dan ukuran sedimen serta kaitannya dengan ekosistem tasik tersebut,” katanya.

Selain penyelidikan kualiti air dan ekohidrologi, PPTC turut melaksanakan kajian lain seperti kajian terhadap fauna, flora, klimatologi, kejuruteraan alam sekitar dan ekopelancongan.

Selain itu, mereka turut menubuhkan Kumpulan Penyelidik Transformasi Komuniti Chini (Citra) untuk masyarakat setempat terutama Orang Asli yang menetap di sekitar tasik tersebut.

Kajian tersebut adalah bidang penyelidikan sejak awal penubuhan PPTC dan selaras dengan Pelan Strategik Untuk Konvensyen Kepelbagaian Biologi. Data asas yang telah dikumpulkan pada tahun 2010 adalah bagi memastikan maklumat berkaitan biodoversiti tempatan dapat disediakan sebanyak mungkin.

Sekumpulan saintis sosioekonomi telah diwujudkan untuk memastikan hubungan secara keseluruhan antara manusia dan persekitaran dapat dipelajari dalam keadaan seimbang.

Konflik antara pembangunan dan kesannya terhadap masyarakat perlu dikaji dan situ kewujudan PPTC amat diperlukan.

Dalam tempoh 10 tahun, PPTC telah menjalankan penyelidikan sains dan kerja lapangan berkenaan kepelbagaian biologi, fungsi ekosistem, kejuruteraan alam sekitar, pengurusan tasik bersepadu dan penglibatan komuniti.

PPTC juga telah membawa penyelidikan berkaitan tasik ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai disiplin sebagai usaha untuk menjana maklumat yang diperlukan oleh pembuat keputusan dalam kerajaan negeri Pahang dan pada peringkat Persekutuan.