Tidak banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan minat golongan muda dalam bidang sains melainkan usaha berterusan dilakukan bagi membuka mata golongan tersebut mengenai seronok dan pentingnya sains.

Usaha tersebut perlu dilakukan berterusan dan menggunakan pendekatan yang mudah, santai dan menyeronokkan.

Satu daripada pendekatan tersebut adalah mempromosikan bidang sains angkasa kerana jelas terbukti ramai golongan muda cepat tertarik dalam bidang tersebut.

Seperti kata Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul, bidang sains angkasa amat luas dan pelbagai tetapi boleh dimanfaatkan untuk menarik generasi muda antaranya teknologi satelit dan penggunaan teleskop.

“Bidang sains fundamental mampu menarik minta mereka terutama penggunaan elemen yang dekat dengan dunia mereka seperti kartun,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan program Night at Planetarium dan Earth Hour di Planetarium Negara baru-baru ini.

Strategi kedua adalah mengetengahkan ikon yang berjaya dalam bidang sains untuk dijadikan teladan kepada generasi muda mengikuti jejak langkah mereka.

Ini kerana kata Dr. Ramzah, sejarah membuktikan bahawa golongan muda cepat teruja dengan kejayaan tokoh-tokoh tertentu dalam bidang tertentu dan mudah mempengaruhi mereka.

Sementara itu, Pengarah Planetarium Negara, Mhd. Fairos Asillam juga sependapat bahawa bidang sains terutama astronomi memang popular dalam kalangan masyarakat.

“Apabila ditanya apakah Kimia dan Fizik, pelajar agak sukar tetapi mereka lebih popular dengan astronomi. Ini sekali gus dapat menarik minat mereka kepada Sains Teknologi dan Matematik

Sementara itu, mengenai program Earth Hour, Mhd. Fairos berkata, program tersebut telah dimulakan pada 2009 bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya rakyat negara ini menyedari masalah pencemaran cahaya yang kini semakin serius.

Katanya, pelancaran program Earth Hour yang dimulakan sejak 2009 itu juga bertujuan supaya orang ramai memahami masalah tersebut yang menganggu kerja-kerja ahli astronomi.

“Jika tanpa kawalan kami di Planetarium menghadapi masalah mencerap menyebabkan balai cerap ditubuhkan di Langkawi sebagai alternatif,” ujarnya.

Malah beliau berkata, kerja-kerja pencerapan kini terjejas sehingga ke satu peringkat bahawa hanya satu bintang dapat dikesan apabila pencerapan dilakukan menggunakan teleskop berbanding 10 sebelum ini.

Beliau menjelaskan, pada keamatan cahaya yang tinggi atau dalam cahaya yang terang, kerja-kerja mencerap tidak lagi tepat kerana bintang atau objek yang dilihat di bawah teleskop kelihatan samar.

“Sekarang kalau hendak buat kerja pencerapan bintang kena pergi pinggir Kuala Lumpur,” ujar beliau sambil menambah jika keadaan berterusan, minat orang ramai dalam bidang astronomi akan berkurangan.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi mengawal masalah pencemaran cahaya yang melibatkan pelbagai pihak yang terlibat.

Pada peringkat awal, program kesedaran perlu dilakukan seperti yang dianjurkan oleh Planetarium Negara dan kemudian disusuli dengan penggubalan garis panduan bagi mengawal pencemaran cahaya.

“Buat masa ini kita bekerja sama beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana hal berkaitan lampu seperti lampu jalan dan iklan di bawah selian mereka, ujarnya.

Pihaknya kini sedang dalam proses mengadakan kerjasama dengan pelbagai balai cerap dan jabatan mufti bagi membentuk satu jawatankuasa dalam usaha untuk menggubal akta pencemaran cahaya.