Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan), terdapat 61 jaringan jalan raya dan lebuh raya yang pernah dicatatkan berlakunya kes langgar haiwan.

Lima laluan telah dikenal pasti sebagai kerap berlaku kemalangan melibatkan haiwan iaitu Jalan Kuala Lipis-Gua Musang, Jalan Kulai-Kota Tinggi, Jalan Gua Musang-Kuala Krai; Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Jalan Taiping-Selama.

Sebanyak 133 titik panas juga telah dikenal pasti. Laluan-laluan yang dikenal pasti ini merupakan jalan raya yang merentasi hutan penting habitat hidupan liar. Antara contoh kes kemalangan tapir di jalan raya adalah di Kilometer (Km) 25 jalan Kuantan Gambang, Km 20 Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul, jalan raya Jeli-Dabong di kawasan Hutan Simpan Kekal Soko Taku Jeli, Kelantan dan di Jalan Pintasan Kuantan-Gebeng.

Beberapa laluan seperti Jalan Kuantan-Pekan dengan Kampung Lamir serta Jalan Nenasi-Rompin Batu 16 juga dikesan menjadi kawasan lintasan tapir. Pemantauan berterusan perlu dilakukan di kawasan-kawasan sensitif ini.

Kawasan hutan simpan yang terpencil seperti Hutan Simpan Bukit Cerakah adalah antara habitat penting tapir. Apabila pembangunan pesat berlaku di sekitarnya, ia menyebabkan hutan menjadi kecil dan mengancam populasi tapir.

Dalam tempoh 2005 hingga 2013 sahaja, empat tapir Malaya dilaporkan mati akibat dilanggar oleh kenderaan di sekitar Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) di samping dua tapir dikesan mati akibat tua.

Tapir yang mati adalah yang betina dan jantan dewasa dan ada juga yang masih muda. Kalau dilihat kepada bilangan tapir yang ada di Semenanjung Tanah Melayu, keadaan hutan yang semakin mengecil, kepulauan hutan, dan pembangunan yang berterusan menghampiri hutan dan merentasi hutan, populasi tapir akan terus terancam.

Riwayat hidup tapir, aktiviti harian dan kawasan keliaran mereka, tempoh matang dan kebolehan beradaptasi dengan habitat manusia memerlukan kajian yang terperinci untuk pemuliharaan.

Kekurangan maklumat biologi dan ekologi tapir serta kadar kematian yang meningkat membuatkan tapir tergolong dalam kumpulan spesies yang mengarah kepada kepupusan.

Bilangan tapir di Semenanjung Tanah Melayu tidaklah banyak dan tambahan lagi ancaman yang berterusan oleh kekurangan habitat, mati dilanggar kenderaan, perburuan haram, ancaman penyakit dan kadar pembiakan yang perlahan menjadikan populasi tapir terus terancam.

Sekiranya kita ingin memulihara tapir di Semenanjung Tanah Melayu perhatian serius perlu diberikan segera. Dengan adanya gerakan untuk mengaktifkan semula populasi tapir di Borneo, kajian tentang tapir mestilah dilakukan segera.

Tabung penyelidikan tapir Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS) mestilah diaktifkan dan sumbangan pihak korporat dialu-alukan.

Tabung ini nanti boleh menaja penyelidikan dan program pendidikan tentang tapir.

Tapir pernah direkodkan wujud di Borneo berdasarkan fosil yang dijumpai.

Sekiranya benar tapir pernah wujud di Borneo, mungkin faktor cuaca, perubahan landskap tumbuhan terutama habitat dan makanan, perubahan kualiti tanah dan pemburuan mempengaruhi kepupusan tapir di Borneo. Sifat tapir, biologi dan ekologinya memungkinkan kepupusan boleh berlaku.

Antara perkara penting yang boleh dilakukan bagi melindungi tapir ialah memantau tempat-tempat yang dikenal pasti adanya tapir dan kawasan yang mungkin mengancam tapir.

Tindakan seperti kawasan berkenaan dipagar, membina laluan khas untuk haiwan melintas atau memberikan pendidikan kepada orang ramai misalnya boleh dilakukan.

Lebih banyak papan tanda isyarat yang sesuai untuk menarik perhatian orang ramai agar berhati-hati di kawasan keliaran tapir juga boleh diadakan. Kerana haiwan ini aktif pada waktu malam, maka tanda isyarat khas dan sesuai boleh disediakan. Sewajarnyalah peruntukan kewangan yang besar perlu disediakan sekiranya kita ingin memulihara tapir dan haiwan liar lain.

Sebab itulah, perancangan dan kajian yang teliti perlu dilakukan sebelum sesuatu pembangunan hendak dilakukan. Pembangunan kawasan pertanian, perusahaan, perumahan dan jaringan jalan raya termasuk laluan kereta api laju yang dicadangkan berhampiran atau merentasi hutan simpan mestilah merujuk kepada pakar bidang berkaitan.

Mungkin semua agensi berkaitan hutan, hidupan liar dan jalan raya, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perlu bekerjasama bagi menyelaraskan peraturan dan undang-undang untuk memantapkan lagi program pemuliharaan tapir.

Walaupun Perhilitan khususnya telah mengambil tindakan proaktif di sesetengah tempat, namun menerusi kajian terperinci, kerjasama masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tindakan yang lebih baik boleh dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan hidupan liar termasuklah tapir.

Antara tindakan yang telah diambil oleh Perhilitan ialah memasang kemudahan di lokasi lintasan hidupan liar di kawasan Central Forest Spine (CFS) selain membina viaduct bagi tujuan lintasan hidupan liar.

Baru-baru ini media membincangkan kisah tapir mati di Batu 14 Hulu Langat, Selangor yang mencetuskan banyak kontroversi. Masyarakat dan agensi terlibat nampaknya seperti mempunyai kesedaran yang tinggi ingin menyelamatkan tapir. Namun yang demikian mungkin kaedahnya salah menyebabkan tapir berkenaan tidak dapat diselamatkan.

Oleh kerana tapir merupakan haiwan yang sensitif dari segi pemuliharaannya di dunia, maka ia telah mendapat perhatian media antarabangsa. Tapir Malaya (Tapirus indicus) adalah yang paling besar antara empat spesies tapir di dunia, dan hanya terdapat di Asia Tenggara iaitu di utara Myanmar, Thailand, Sumatera (Indonesia) dan Semenanjung Tanah Melayu.

Koresponden Channel News Asia (CNA) di Malaysia misalnya, telah mengesyaki tapir itu mati berpunca daripada “tangan manusia”. Tafsiran pelbagai boleh dibuat tentang kes ini.

Namun bagi pihak yang memulihara tapir mungkin mempunyai jawapan berbeza dan suatu tindakan perlu dilakukan agar perkara serupa tidak berulang. Kes yang berlaku di Hulu Langat sangat menarik perhatian pencinta alam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bukan sahaja kaedah menyelamat yang dikatakan tidak baik malah ditinggalkan sehinggakan ada bahagian badan tapir pada kulit, telinga, kaki kanan hadapan dan belalainya diambil orang.

Kaedah yang digunakan seolah-olah tapir mengancam keselamatan manusia. Sepatutnya, perkara ini tidak berlaku jika orang ramai faham tindakan yang perlu diambil berkaitan hidupan liar.