Pelan tindakan pemuliharaan tapir mestilah dibangunkan segera dan dilaksanakan sebelum terlewat terutamanya apabila dilaporkan hutan yang ditebang melibatkan 50 peratus habitat tapir. Kita tidak mahu tapir Malaya turut pupus di muka bumi Semenanjung ini.

Tapir Malaya merupakan spesies tapir yang terbesar dalam kalangan spesies tapir di dunia dan hanya terdapat di Thailand, Myanmar, Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Semua negara tersebut melindungi tapir Malaya dengan pelbagai cara. Indonesia sudah pun membangunkan Pelan Tindakan Pemuliharaan Tapir pada 2013 walaupun belum jelas perlaksanaannya. Malaysia juga sudah membangunkan Pelan Tindakan Pemuliharaan Tapir Kebangsaan pada November 2014.

Thailand belum lagi mempunyai pelan berkenaan. Tapir Malaya disenaraikan dalam Apendiks I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) sebagai spesies paling terancam. CITES yang juga dikenali sebagai Konvensyen Washington ialah perjanjian antara kerajaan antarabangsa yang dirangkakan hasil resolusi yang diterima dalam mesyuarat IUCN pada 1973, bertujuan memastikan perdagangan spesimen-spesimen haiwan dan tumbuhan liar di peringkat antarabangsa tidak mengancam kemandirian hidupan berkenaan. CITES memberikan perlindungan kepada 33,000 spesies haiwan dan tumbuhan. Dalam senarai Apendiks I CITES tapir Malaya dilarang untuk diperdagangkan dan dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang.

Pelan tindakan pemuliharaan tapir kebangsaan yang diwujudkan akan dapat memandu program pemuliharaan tapir jangka pendek dan panjang di habitat liar serta dalam kurungan.

Pengurusan populasi tapir di habitat liar dan dalam kurungan mestilah diberikan perhatian sepatutnya demi kelestarian populasi mereka. Bagi memastikan kemandirian populasi tapir, kajian terperinci tentang pembiakan, pemakanan, genetik dan ekologinya mesti dilakukan secara mendalam.

Tapir Malaya (Tapirus indicus Desmarest, 1819) yang diketahui sejak 200 tahun dahulu masih belum difahami secara terperinci tentang biologi dan ekologinya.

Walaupun pada setiap tahun seluruh dunia menyambut Hari Tapir Sedunia pada 27 April, perhatian tentang pemuliharaan tapir masih di peringkat awal.

Habitatnya masih terus terganggu, kematian tapir akibat dilanggar kenderaan terus berlaku dan pemburuan haram masih terjadi. Sebanyak 92 ekor tapir dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya sejak 10 tahun lepas.

Bilangan ini sangat mempengaruhi masa hadapan populasi tapir di habitat liar. Program pendidikan dan kesedaran tentang tapir mesti terus aktif agar seluruh rakyat Malaysia faham tentang pemuliharaan tapir.

Tapir Malaya mula di senaraikan sebagai spesies terancam pada 1986 akibat daripada kehilangan habitat, pemecahan habitat dan peningkatan pemburuan.

Pengurangan populasi dianggarkan 50 peratus dalam masa 36 tahun dikaitkan dengan peralihan hutan dara kepada penanaman sawit dan kegunaan manusia.

Semenanjung Malaysia merupakan kawasan yang berpotensi bagi mempertahankan populasi tapir kerana taburannya yang meluas dan hutan yang masih dapat menampung populasi tapir. Ahli sains berkaitan yang ada perlu digemblengkan segera dengan peruntukan jangka pendek dan panjang bagi menjalankan penyelidikan tentang tapir Malaya.

Kira-kira 57 peratus hutan di Semenanjung Malaysia hilang melibatkan 50 peratus habitat tapir.

Di Thailand 40 peratus hutan dilindungi manakala di Myanmar hanya lima peratus. Dijangkakan 24 tahun lagi bersamaan lebih kurang dua generasi tapir, 20 peratus habitat lagi akan hilang. Pembiakan dalam kurungan perlu ditingkatkan bagi menyokong kelestarian populasi tapir. Kajian nisbah haiwan dalam kurungan dan hidupan liar perlu diadakan segera demi kelestarian tapir Malaya daripada kepupusan.

Perlu kajian asas mengenai pembiakan tapir

Di seluruh dunia terdapat 160 ekor tapir Malaya hidup di dalam zoo dari benua Amerika hingga Eropah, India hingga ke China dan Australia. Misalnya di Zoo St Louis Amerika Syarikat, International Zoo Yearbook 1986 melaporkan sebanyak 18 tapir Malaya telah dipamerkan sejak 1956. Sembilan ekor dilahirkan dalam zoo dan tiga habitat liar.

Walaupun sudah lama tapir dipelihara dan dibiakkan dalam zoo, namun kajian tentang keselesaan tapir serta saiz kurungan yang optimum untuk pameran, pembiakan seperti di habitat liar masih lagi belum mantap.

Zoo juga menjalankan pertukaran tapir antara zoo untuk tujuan pembiakan, misalnya tapir Malaya di Zoo Adelaide, Australia dilahirkan di Amerika Syarikat pada 1996 dan datang ke Adelaide pada 1998 kemudiannya melahirkan anak pada 2000.

Banyak lagi contoh pertukaran tapir dalam kalangan zoo di Eropah. Malah zoo Eropah mempromosikan selamatkan tapir Malaya memandangkan kurang daripada 2,000 ekor tapir itu di habitat liar.

Pada 2016, Zoo Taiping dilaporkan mempunyai enam ekor tapir Malaya, Zoo Negara (lima ekor, Zoo Johor (tiga ekor), Zoo Melaka dan Zoo Kemaman masing-masing dua ekor, manakala Zoo Sunway dan Zoo Gambang masing-masing satu ekor.

Di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Sungai Dusun terdapat 12 ekor tapir. Pembiakan tapir dalam kurungan dapat membantu pengurusan populasi tapir Malaya dalam kurungan dan habitat liar.

Semua maklumat tentang genetik tapir dalam kurungan mesti lengkap agar populasi tapir terkawal dan berguna dalam pengurusan populasinya terutama bagi program melepas semula tapir ke habitat liar.

Menurut Jurnal Zoo Biology 2013, tapir Malaya mudah dibiakkan dan dijaga dalam kurungan walaupun mereka kurang aktif dan menjadi gemuk.

Banyak faktor yang mempengaruhi pembiakan dan keselesaan haiwan seperti pemakanan, aktiviti harian, kurungan dan faktor persekitaran. Di dalam kurungan, tapir boleh hidup selama antara 25 hingga 36 tahun berbanding kira-kira 24 tahun di habitat liar. Umur kematangan tapir antara tiga dan lima tahun. Haiwan betina lebih cepat matang berbanding jantan.

Tapir yang sihat boleh menghasilkan anak setiap dua tahun, tempoh bunting 13 bulan dengan kitaran estrous selama 30 hari dan tempoh menyusu antara 390 hingga 395 hari. Tapir biasanya melahirkan anak seekor dan jarang kembar. Anak tapir yang baharu lahir berwarna coklat kemerahan dengan garis-garis dan bulatan putih. Semua anak tapir berbeza warna dengan tapir dewasa sehinggalah umur mereka mencapai empat hingga enam bulan.

Dengan teknologi terkini boleh membantu pembiakan yang lebih berkesan dan pengurusan genetik yang baik. Setakat 2014, pernah dilaporkan sebanyak 13 tapir Malaya telah dilahirkan dalam kurungan di bawah kawalan Jabatan Perhilitan, dua ekor di Zoo Melaka dan 11 dilahirkan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Sungai Dusun.

Sembilan daripada anak tapir yang dilahirkan dilepaskan di habitat liar apabila telah sesuai untuk hidup bebas, selain terlibat dalam program pertukaran tapir antara zoo.

Berdasarkan kepada populasi tapir semasa, ancaman yang terus berlaku dan permintaan pembangungan yang berterusan, kajian tentang tapir mesti disegerakan. Menurut Jurnal Integrative Zoology 2013 walaupun sudah ada kajian-kajian di habitat liar tetapi masih banyak kajian asas perlu dilakukan tentang pembiakan demi kelestarian spesies ini.