Mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain, nanas juga mempunyai kandungan asid sitrik yang dikatakan berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan.

Sebagai antara salah sebuah negara pengeluar utama nanas dunia, Malaysia sangat terkenal dalam menghasilkan nanas kaleng yang berkualiti dengan warna kuning keemasan.

Melihatkan peluang pasaran nanas yang cukup besar, pengusaha tanaman nanas, Zulkafli Saidin, 48, mengambil kesempatan untuk mencuba nasib mengusahakan tanaman yang menguntungkan itu.

Menurut Zulkafli, projek tanaman nanasnya dimulakan sejak 13 tahun lalu dengan menanam hanya 2,500 pokok nanas varieti Morris.

“Dalam beberapa tempoh waktu, tanaman yang saya usahakan semakin bertambah dan saya mula menubuhkan syarikat sendiri, BreeOne Agro Sdn. Bhd.

“Sehingga kini, saya telah menanam nanas dalam keluasan 100 ekar dan menambah beberapa jenis varieti nanas serta tanaman lain seperti ubi keledek dan jagung,” katanya ketika ditemui di Kedah baru-baru ini.

Dia kini giat menanam nanas daripada varieti MD2 yang mempunyai ciri-ciri warna, rasa, bentuk, tahap kematangan yang sesuai, lebih tahan lama serta menepati kehendak pasaran antarabangsa.

“Disebabkan nanas MD2 lebih popular, saya telah berjaya memasuki pasaran antarabangsa seperti negara Korea Selatan, Taiwan dan Arab Saudi.

“Istimewanya nanas jenis ini adalah kerana tahap kemanisannya yang tinggi selain warna kulit keemasan menjadikannya nanas hibrid yang berpotensi tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun nanas MD2 dijual pada harga yang lebih mahal, namun kos pengurusan nanas Morris adalah lebih tinggi.

Bagi nanas varieti Morris, ia dijual kepada pembekal pada harga RM2 sebiji iaitu kira-kira 2.5 kilogram (kg), manakala nanas varieti MD2 dijual pada harga RM3 sebiji.

Jelasnya lagi, tanaman nanas memerlukan formulasi pembajaan yang teliti bagi memastikannya dapat hidup subur dan menghasilkan buah nanas berkualiti.

“Selain itu, saya juga menjalankan proses aruhan pembungaan bagi menggalakkan pendebungaan kerana faktor seperti suhu, jangka masa dan sinaran cahaya matahari mampu merangsang proses aruhan bunga secara semula jadi.

“Bagi mendapatkan buah nanas yang berkualiti, selain pokok yang sihat, proses aruhan akan dilakukan pada awal pagi dan lewat petang,” ujarnya.

Zulkafli juga berkata, satu jambul pokok nanas mampu menghasilkan induk maksimum sebanyak lapan kali.

Setelah 18 bulan, buah nanas sudah boleh dituai dan dipasarkan.

Berkongsi lanjut mengenai projek tanaman nanasnya Zulkafli Saidin dalam nada ceria berkata, penglibatan dalam bidang pertanian didorong oleh minat mendalam. Malah menurut Zulkafli, minat sahaja mungkin tidak mencukupi sebaliknya, seseorang petani perlu mempunyai matlamat jelas untuk berjaya.

Justeru, selain berjaya menubuhkan syarikat sendiri dan memperluas kawasan penanaman, Zulkafli turut meletakkan sasaran jumlah bilangan pokok yang ditanam setiap tahun.

“Sehingga kini saya telah menanam sebanyak 300,000 pokok nanas dan menjelang hujung tahun hadapan saya menyasarkan untuk menanam sehingga 1.5 juta pokok nanas.

“Selain itu, menjelang tahun 2018 juga, saya telah merancang dan menetapkan sasaran untuk mendapatkan untung bersih sebanyak RM6 juta,” katanya.

Menurut petani yang bersemangat tinggi ini, kejayaan yang diperoleh itu banyak dibantu oleh Jabatan Pertanian, yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

Selain tunjuk ajar dari segi pengurusan dan pemasaran, dia turut diperkenal dengan pakej teknologi dari Jabatan Pertanian terutama dari segi pembajaan dan kaedah menanam.

“Secara tidak langsung, saya juga telah diperkenal dengan Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi memastikan hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan serta tidak mengundang risiko kepada alam sekitar,” ujarnya.

Selain itu, perniagaan bawah Syarikat BreeOne Agro Sdn. Bhd. ini turut menyumbang kepada masyarakat dari segi pendidikan apabila memberikan bantuan mengajar kepada pelajar dari kolej pertanian.

“Kami membantu pelajar dari segi penyediaan tempat dan model pembelajaran untuk pelajar. Dengan ini mereka dapat belajar dengan lebih dekat dan merasai sendiri dunia pertanian.

“Kami juga tidak mengambil sebarang hasil daripada pelajar-pelajar ini. Mereka bebas untuk menjual hasil mereka kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Ujarnya lagi, generasi muda perlu mengambil dan menggunakan peluang yang telah disediakan oleh pelbagai pihak untuk berjaya tidak kira dalam apa jua bidang.

“Golongan belia perlu menghargai usaha pihak kerajaan mahupun persendirian yang membuka peluang untuk menceburi pelbagai bidang terutama bidang pertanian kerana ia menawarkan pendapatan yang sangat lumayan.

“Apa yang penting, setiap perkara yang dilakukan haruslah dilaksanakan mengikut perancangan selain usaha berterusan dan tidak mudah putus asa,” katanya.