Dianggarkan bilangan Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) di negara ini hanya tinggal sekitar 300 ekor sahaja dan merupakan suatu jumlah yang kritikal.
Bilangannya dilihat semakin menurun saban tahun dan kajian mendapati tiada pertunjuk yang melihatkan angka tersebut meningkat.

Ramai dalam kalangan kita menyedari hal ini, namun terdapat juga mereka yang tidak memperduli nasibnya, namun tidak bagi Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia atau Citizens Action for Tigers (MyCAT).
Baru-baru ini, MyCAT telah melancarkan Projek Perhutanan bermula Sungai Yu di Koridor Harimau Sungai Yu bagi menghijaukan semula kawasan tersebut bagi memudahkan haiwan-haiwan liar melaluinya.

Projek tersebut telah telah menerima perkenan oleh Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah untuk dirasmikan menerusi program penanaman pokok di sekitar laluan Eko-Viaduct, Sungai Yu 3, Lipis, Pahang yang dibina di koridor tersebut.

Tengku Aishah amat memahami akan usaha MyCAT tersebut dan berharap agar kesedaran untuk terus menghijau dan menyelamatkan haiwan terancam terus disampaikan kepada rakyat.
“Di manakah lagi di dunia ini yang mempunyai hutan yang sihat dapat dipulihkan untuk kepentingan rakyat dan hidupan liar?

“Di sini, di Sungai Yu, Pahang dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan dan masyarakat setempat, kita mampu dan kami akan mencapai cita-cita ini,” katanya ketika berucap berkenan merasmikan program itu di Lipis, Pahang baru-baru ini.
Yang turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Alam Sekitar), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Datuk Sr. Dr. Azimuddin Bahari; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan  Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Datuk Khairiah Mohd. Shariff.
Tambah Tengku Aishah, baginda amat berbangga dan menyanjung tinggi usaha proaktif MyCAT dan beberapa agensi lain yang turut terlibat.

“Seperti mana yang kita tahu Koridor Sungai Yu ini merupakan hubungan hutan terakhir antara Banjaran Titiwangsa dan Taman Negara. Faktor tersebut sekali gus membentuk landskap harimau yang keempat terbesar di dunia,” katanya.

Pada tahun 2009 hutan yang menghubungkan Banjaran Titiwangsa dan Taman Negara telah dipisahkan bagi tujuan menaik taraf laluan Persekutuan 8 ke lebuh raya empat lorong yang dilengkapi penghadang.
Berdasarkan penyelidikan di antara MyCAT dan Perhilitan, kerajaan kemudiannya melaburkan hampir RM60 juta untuk membina Eko-Viaduct dalam projek menaikkan lebuh raya Central Spine Road di laluan kritikal hidupan liar.

Struktur berupa jambatan tersebut dibina di atas laluan haiwan berkenaan dan dicatatkan sebagai struktur eko-viaduct terpanjang untuk pemuliharaan harimau di dunia.
Rewilding Yu, salah satu komponen program Pemuliharaan Harimau Sungai Yu, MyCAT menyasarkan untuk mengembalikan biodiversiti hidupan liar dan hutan di koridor tersebut menerusi penglibatan orang awam dan masyarakat setempat.

Menurut Pengurus Besar MyCAT, Dr. Kae Kawanishi, menerusi bantuan daripada hampir 1,000 sukarelawan dari 32 buah negara yang menyertai program CAT Walk untuk memelihara hutan dan mencegah pemburuan haram sejak lima tahun lalu kini telah menunjukkan kesan positif.

“Hidupan liar sudah mula kembali ke sini dan kami berharap dapat mengembalikan hutan di kawasan eko-viaduct ini.
“Ini kerana laluan berhutan ini penting agar mereka dapat melaluinya dengan selamat dari kedua-dua arah hutan utama (Banjaran Titiwangsa dan Taman Negara),” katanya.
MyCAT juga bercadang untuk menanam hampir setengah juta pokok menjelang tahun 2020.