Mungkin ada dalam kalangan pengusaha yang kecundang di tengah jalan akibat berhadapan dugaan, ada juga yang bangun dan bangkit untuk melihat diri berjaya, serta tidak kurang juga hanya memasang angan-angan untuk berjaya, namun segalanya bergantung kepada diri sendiri. Bak kata orang, tepuk dada tanya selera.

Berjaya dalam sesuatu bidang dan mencapai sasaran adalah berita paling berharga bagi seseorang pengusaha selepas berjaya merentas rintangan sepanjang perjalanan untuk ke puncak, apatah lagi jika bidang yang diceburi adalah industri yang kurang diminati anak bangsa Melayu.

Sesuatu pencapaian itu lebih dibanggakan apabila kaum Melayu berjaya mengembangkan empayar perniagaan yang banyak dikuasai kaum asing.

Perjalanan Pengasas dan Pengarah Urusan Tropical BioEssence Sdn. Bhd. (TBESB), Mohd. Khairil Said wajar dijadikan inspirasi bahawa rintangan tidak menghalang sesiapa untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

Beroperasi secara aktif pada 2012, pengilang dan pengeluar minyak pati dan ekstrak terbesar di Melaka itu kini berjaya mengeluarkan produk yang ke-90 jenama Sutra selepas beroperasi di Masjid Tanah, Melaka sejak 10 tahun lalu.

Produk produk terbaharu itu, jelasnya masih mengekalkan tiga kategori iaitu aromaterapi, wangian dan penjagaan diri sebagai produk utama yang memenuhi cita rasa pengguna, sekali gus meletakkan TBESB sebagai syarikat pilihan ramai.

Tidak seperti pengusaha lain, Mohd. Khairil tekad menghasilkan produk yang mempunyai manfaat serta nilai tambah dalam kehidupan seharian.

Sutra merupakan jenama nombor satu yang memain peranan untuk mengimbangi minda, jiwa dan fizikal dalam kehidupan seharian.

“Dalam kata lain, produk keluaran syarikat ini dicipta untuk mengurangkan tekanan yang berlaku di dalam kehidupan harian bermula dari bangun pagi sehingga tidur.

“Ketiga-tiga kategori ini memenuhi permintaan sama ada yang ditawarkan melalui pihak stokis, pengedar atau melalui tiga kedai Sutra Shoppe yang terletak di Seremban 2, Shah Alam dan Pinggiran Subang di Selangor,” katanya ketika lawatan media ke kilang pemprosesan TBESB di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.

TBESB bermula sebagai syarikat penyelidikan dan pembangunan mula beroperasi pada Mac 2005 di Institut Bioteknologi Melaka.

Selepas 10 tahun syarikat tersebut beroperasi, pencapaian semakin meningkat dengan memiliki kilang pengeluaran produk sendiri di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Melaka yang diberi nama Sutra.

Kini, TBESB terus berkembang dan menjadi antara pembekal utama minyak pati dan ekstrak herba dalam industri produk semula jadi atau organik terutama aromaterapi di negara ini. TBESB merupakan syarikat bertaraf Bio Nexus yang dianugerahkan oleh Bioeconomy Corporation Malaysia (Bieoconomy) bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan terlibat secara langsung dalam pemprosesan herba-herba dan hasil bumi, tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan.

Formula kandungan produk dan teknik pemprosesan dilakukan dengan terperinci dan menggunakan kaedah berteknologi tinggi bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

Mohd. Khairil menambah, faktor yang mendorong syarikatnya menambah jumlah hasil formulasi kerana mahu memberi lebih kebaikan kepada pengguna dalam menjalani kehidupan dengan cara yang lebih sihat dan segar tanpa perlu runsing dengan tekanan yang sedang dihadapi ekoran faktor kerja atau peribadi.

“Setiap produk yang dihasilkan melalui formulasi sendiri yang dilakukan di makmal serta mempunyai kegunaan dan kelebihan serta manfaat yang berbeza. Ini diakui pelanggan setia selain berharap dapat menarik perhatian pelanggan baharu,” ujarnya.

Selain terkenal sebagai pengeluar minyak pati dan ekstrak herba, TBESB turut dikenali sebagai pengeluar aromaterapi, Malah syarikat berkenaan menerima tempahan secara pengeluar produk tulen (OEM) untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Perniagaan berasaskan OEM bagi memberi peluang kepada usahawan di luar membina jenama dan empayar perniagaan. Ia juga disokong atas faktor membantu golongan peniaga memilih produk berkualiti atas kemahiran yang saya miliki sebagai penyelidik di Institut Bioteknologi Melaka dahulu,” jelasnya.

Pada 2016, syarikat telah menambah baik perkhidmatan dengan memiliki pelbagai kelebihan yang disokong oleh beberapa agensi kerajaan dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, persijilan Halal dari Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

 

Bekalan mencukupi, kualiti terjamin

Bagi memenuhi permintaan produktiviti yang semakin memberangsangkan, Mohd. Khairil Said memberitahu, syarikatnya turut mengamalkan pendekatan Amalan Pertanian Baik (GAP) dengan menyediakan pelbagai jenis tanaman seperti serai di tanah seluas dua hektar (lima ekar) bagi setiap 20 pengusaha dalam memastikan bekalan mencukupi dan kualiti bahan mentah terjamin.

“Selain ditanam sendiri, kami mempunyai rakan niaga dan pembekal yang akan menghantar pelbagai jenis hasil tanaman yang diperlukan seperti daun pandan, buah Melaka, buah zaitun dan nanas mengikut tempahan,” katanya lagi.

Tambahnya, melalui teknologi terkini di kilang serta perkhidmatan yang ditawarkan seperti proses untuk pengeringan, pengisaran bahan; pengekstrakan dan semburan kering bahan mentah; penyulingan minyak pati; formulasi dan kontrak pengeluaran produk dan latihan untuk pelajar sekolah menengah atau universiti berjaya mengembangkan lagi cabang perniagaan syarikat, sekali gus meletakkan TBESB sebagai pilihan utama usahawan lain.

“Kini TBESB mempunyai lebih 400 pengedar di seluruh negara selain turut memiliki pengedar untuk pasaran antarabangsa di Singapura, Indonesia, Brunei, Vietnam, Turki, Pakistan dan Qatar,” jelas Mohd. Khairil.