Pusat yang dibina di Kampung Labohan ini terletak bersebelahan Sungai Kertih bertujuan memberikan kemudahan pendidikan berkaitan alam sekitar kepada pelajar sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Pusat yang benilai hampir RM5 juta ini adalah sumbangan Petronas sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dan diurus tadbir oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Penubuhan pusat pendidikan berfokuskan kepada bakau adalah satu langkah yang baik sesuai dengan cabaran semasa berkaitan kehilangan hutan bakau dunia termasuk di Terengganu disebabkan aktiviti manusia. Pusat ini telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 20 November 2013.

Pendidikan alam sekitar dan alam semula jadi sangat penting terutama kepada penduduk tempatan kerana merekalah yang pertama akan menjaga sumber semula jadi di kawasan masing-masing. Sumbangan Petronas melalui pembinaan kompleks Ecocare Kertih adalah satu langkah yang tepat dan sangat diperlukan oleh komuniti setempat. Di samping itu, pusat tersebut boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.

MNS yang bertanggungjawab mengurus dan menjalankan program pendidikan alam semulajadi di Ecocare Kertih telah menyediakan program khas yang bersepadu terutama untuk masyarakat di situ.

Masyarakat negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terutama pelajar sekolah bersama guru-guru mereka boleh menggunakan khidmat Ecocare Kertih sebagai lokasi menjalankan aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Pusat tersebut mempunyai kemudahan tempat tinggal yang mampu menampung lebih 100 pelajar dan kemudahan pendidikan alam semula jadi yang mengkhususkan kepada ekosistem hutan bakau dan sungai. Semua aktiviti dibimbing oleh kakitangan MNS dan sukarelawan terlatih.

Aktiviti pendidikan alam sekitar ini bertujuan mempromosikan kesedaran, memberikan kefahaman dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar dan alam semula jadi terutama kepada komuniti setempat dalam menguruskan isu alam sekitar.

Semua aspek berkaitan ekologi dan kepelbagaian biologi ekosistem bakau dan sungai di Lembangan Sungai Kertih akan didedahkan kepada pelajar sebagai model pendidikan.

Dalam menjalankan aktiviti berkaitan, MNS melatih sukarelawan komuniti setempat bagi membantu aktiviti pendidikan alam sekitar.

Sukarelawan dilatih dalam kalangan penduduk tempatan yang terdiri daripada nelayan, peniaga, pegawai kerajaan, kontraktor, pesara dan suri rumah.

Penduduk tempatan mengetahui selok belok hutan bakau dan persekitaran Lembangan Kertih. Latihan yang diberikan oleh MNS adalah bagi meningkatkan pengetahuann mereka secara sistematik dan saintifik berkaitan kepelbagaian spesies bakau, haiwan dalam hutan bakau, peranan hutan bakau dan sebagainya.

Antara aktiviti yang mereka jalankan adalah mengutip benih bakau, menyemai anak benih, menjaganya dan menanam bakau apabila diperlukan. Pengetahuan, pengalaman dan kemahiran mereka digunakan untuk membimbing peserta yang mengikuti program pendidikan alam sekitar di Ecocare Kertih.

Majoriti peserta adalah dalam kalangan pelajar di sekitar Daerah Kemaman dan daerah lain di Terengganu serta pantai timur. Ada juga peserta dari kawasan lain di Malaysia dalam kalangan ahli Kelab Pencinta Alam (KPA-sekolah), KPA-Youth dan swasta.

Malah, ada juga peserta antarabangsa seperti dari Jepun yang membuat latihan industri di Ecocare Kertih.

Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) merupakan rakan strategik MNS yang boleh membantu menjayakan program pendidikan alam sekitar untuk perlindungan dan pemuliharaan ekosistem bakau.

Berdasarkan laporan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), terdapat 10 PNK di Terengganu. Persatuan-persatuan itu adalah PNK Kemaman, Kemasik, Kijal, Paka, Dungun, Marang, Kuala Terengganu Selatan, Kuala Terengganu Utara, Setiu dan Besut.

Persatuan-persatuan ini mungkin boleh bersama MNS menjadi sukarelawan dan menyumbang kepada pendidikan dan penyelidikan berkaitan ekosistem bakau.

Program kesedaran tentang pemuliharaan hutan bakau di Ecocare Kertih telah dijalankan sejak penubuhan pusat ini pada 2005. Tumpuan awal adalah menanam pokok-pokok bakau untuk pemulihan habitat yang telah rosak akibat aktiviti manusia dan perubahan semula jadi.

Sejak itu, sebanyak 14,500 pokok bakau telah ditanam.

Semua pokok bakau itu ditanam oleh sukarelawan Ecocare Kertih dan peserta program berkala aktiviti pendidikan alam sekitar.

Semua yang menyertai program itu sudah mendapat maklumat dan memahami tentang fungsi pokok bakau yang bertujuan menghalang hakisan jangka panjang. Air pasang besar, arus air kuat boleh menyebabkan kawasan tebing Sungai Kertih terhakis.

Kawasan seluas 11, 000 meter persegi sepanjang Sungai Kertih telah ditanam dengan pokok bakau dan dipantau pertumbuhannya.

Baru-baru ini aktiviti sukarelawan alam sekitar telah diadakan di Ecocare Kertih sempena Hari Sukarelawan Sedunia. Sukarelawan yang terlibat adalah dalam kalangan kakitangan jabatan kerajaan Terengganu dan Petronas.

Sukarelawan menyasarkan 1,000 anak benih bakau pelbagai spesies akan ditanam setiap tahun. Setakat ini pemantauan menunjukkan antara 50 hingga 60 peratus hidup.

Hari Sukarelawan Sedunia disambut pada 5 Disember setiap tahun. Pada hari tersebut, sukarelawan dan organisasi menyambut kejayaan usaha mereka dan berkongsi nilai kesukarelaan serta mempromosikan aktivti mereka dalam kalangan komuniti dan NGO, sektor swasta dan agensi kerajaan.