Walau bagaimanapun, penggunaan cermin gelap perlu mematuhi piawaian atau tahap yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Pun begitu, penetapan piawaian untuk kadar penembusan cahaya cermin gelap didapati tidak seragam antara pihak berkuasa dan industri dan sering menjadi pertikaian.

Menurut Ketua Makmal Photometri dan Radiometri, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), Dr. Mohd Nizam Abdullah, kedai-kedai aksesori kereta sering mendakwa produk menggelapkan cermin kereta yang dijual adalah menepati piawaian.

“Tetapi apabila pengguna-pengguna tersebut berdepan dengan pihak berkuasa mereka dikenakan tindakan undang-undang kerana pelindung cahaya yang digunakan terlalu gelap dan tidak menepati piawaian.

“Jadi di sini berlaku permasalahan dan pertikaian yang menyebabkan pengguna sering menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Keadaan itu disebabkan penggunaan alat penentu ukur cermin gelap yang berbeza oleh penjual aksesori kenderaan dan penguatkuasa.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membenarkan had maksimum kegelapan cermin adalah sekitar 70 peratus dan ada cadangan kadar tersebut perlu dinaikkan kepada 80 peratus.

JPJ menetapkan kenderaan bercermin gelap adalah salah di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.

Kadar peratusan yang dibenarkan masih kekal iaitu 70 peratus untuk cermin belakang, 50 peratus bagi empat cermin sisi dan 30 peratus bagi cermin hadapan.

Jadi bagaimana menentukan peratusan tersebut dengan tepat?

Lebih memeningkan, tiada rujukan standard untuk menentukan peranti yang digunakan memberi ukuran yang benar-benar tepat.

Hal demikian kerana setiap peralatan pengukuran ketelusan cahaya yang digunakan adalah berbeza-beza di antara penjual dan pihak berkuasa.

“Kami di NMIM terpanggil untuk menghasilkan MyRM Tint bagi menyelesaikan pertikaian tersebut,” katanya.

MyRM merujuk kepada Malaysia Reference Material iaitu bahan rujukan yang dihasilkan sebagai garis panduan dan Tint adalah merujuk kepada lapisan yang dipasang pada cermin kenderaan bagi mengurangkan ketelusan cahaya.

Inovasi tersebut merupakan beberapa kepingan kaca yang berlainan ketebalan dan kegelapan mengikut peratusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Objektif utama inovasi tersebut dihasilkan adalah sebagai panduan memastikan alat pengukuran ketelusan cahaya di negara ini lebih seragam.

“Kita boleh menentukan ukuran sesebuah alatan penentukur ketelusan cahaya itu dengan mengujinya menggunakan MyRM Tint ini.

“Jika bacaan yang diberikan tepat maka alat tersebut boleh terus digunakan, jika sebaliknya, alat itu perlu di kalibrasi untuk memastikannya memberi bacaan yang sepatutnya atau tidak lagi boleh digunakan,” katanya.

MyRM Tint dihasilkan menerusi kombinasi optik berketepatan yang tinggi dan memenuhi kriteria yang dilihat dalam menghasilkan alatan tersebut.

Antaranya adalah kestabilan, homogeniti dan kebolehulangan yang baik.

Pasukan penyelidik tersebut memakan masa 15 hingga 20 bulan untuk mengkaji dan membangunkan MyRM Tint. Inovasi tersebut dilihat sebagai bahan rujukan wajib bagi pihak berkuasa dan pengeluar eksesori tersebut kerana terdapat pelbagai peralatan pengukuran yang perlu dikalibrasi.

Di dalam perspektif metrologi perundangan, kaedah pengukuran dan alat pengukuran perlu dikawal selia untuk melindungi kepentingan sesebuah agensi penguatkuasaan undang-undang dan juga masyarakat.

MyRM Tint kini telah sedia untuk dikomersialkan sepenuhnya dan diharapkan inovasi tersebut dapat memudahkan aktiviti penguatkuasaan dan penggunaan cermin gelap dengan lebih berkesan.

 

NMIM bangunkan 13 MyRM

Pada tahun 1978, Unit Metrologi telah ditubuhkan oleh SIRIM Berhad untuk menyokong kerajaan menerima pakai Sistem Metrik di Malaysia.

Setelah itu, pada tahun 1984, unit tersebut telah dinaik taraf dan ditukarkan nama kepada Pusat Metrologi Kebangsaan dan seterusnya di tukar kepada Makmal Metrologi Kebangsaan (NML-SIRIM) pada tahun 2000.

Menurut Pengarah Kanan makmal tersebut, Dr. Osman Zakaria, setahun selepas makmal tersebut dinaik taraf, NML-SIRIM telah menandatangani Konvensyen Meter dan menjadi penandatangan (signatory) kepada CIPM-MRA(Comite' International de Pours et Mesures - Mutual Recognition Agreement) pada tahun 2001.

“Setelah sekian lama beroperasi, kami telah mengambil keputusan untuk mempertingkatkan perkhidmatan yang disediakan dengan berpindah ke bangunan baharu yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor,” katanya.

Tidak hanya terhenti di situ, potensi NML-SIRIM turut dikenal pasti dan sekali lagi dinaiktaraf kepada Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan (NMSL) dan diletakkan di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675).

Jelas Dr. Osman lagi, selaras dengan usaha memartabatkan NML-SIRIM agar setanding dengan makmal metrologi kebangsaan di negara-negara lain akhirnya NML-SIRIM telah dikenali sebagai Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM).

NMIM kini merupakan salah satu makmal terkemuka dalam menyediakan bahan rujukan bagi pelbagai kaedah pengukuran di negara ini.

Bahan rujukan itu diberi nama MyRM (Malaysia Reference Material) dan berfungsi sebagai satu standard pengukuran fizikal yang diiktiraf digunakan untuk pengukuran dan tentukuran sesuatu parameter.

Bagi memastikan ketepatan tentukur, NMIM telah membangunkan 13 MyRM untuk kegunaan jabatan kerajaan dan juga industri.

Pada masa hadapan NMIM menerusi MyRM akan diperluaskan skopnya pengukurannya melalui peningkatan teknologi dan dana yang mencukupi dari pihak kerajaan.

Skop bekalan bahannya juga akan dibesarkan merangkumi semua aspek pengukuran berkaitan kepada pihak kerajaan mahupun swasta.

Di Malaysia, metrologi perundangan adalah berdasarkan Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

Di samping itu, Akta Pengangkutan Jalan (alat mengukur ketelusan cahaya) dan juga Akta Alam Sekitar (meter asap diesel) juga turut memerlukan proses kalibrasi (tentu ukur) agar dapat berfungsi dengan baik, mengukur dengan tepat dan dipercayai agar tidak timbul keraguan.

Mengulas mengenai inovasi yang dihasilkan, Dr. Osman berkata, ia bakal memberi manfaat kepada pelbagai agensi penguatkuasa seperti JPJ, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta masyarakat.

“Inovasi tersebut dapat memastikan prestasi alat pengukur ketelusan cahaya berada pada had ralat yang dibenarkan iaitu sekitar lima peratus,’’ujarnya.

Selain itu, alat penentukur tersebut juga boleh digunakan untuk menilai alatan pengukur ketelusan cahaya sebelum memulakan proses penguatkuasaan di jalanraya.